Jiwa mantap, Minda Hebat…

Category : kuasa Minda


Tidak mungkin ada seorang manusia walau apapun latarbelakang agama, budaya dan pemikiran yang tidak bersetuju bahawa ketenangan hati dan ketenteraman jiwa ialah satu perkara paling penting bagi seseorang manusia. Mungkin mereka berbeza dari segi cara untuk mencapai ketenangan hati, ketenteraman jiwa dan keheningan rohani; tetapi mereka tetap bersetuju bahawa perkara ini adalah satu perkara yang penting dalam kehidupan.

Satu perkara yang saya pelajari selepas saya mengkaji penggunaan minda terhadap diri saya,(InsyaALLAH saya akan bercerita tentang kajian saya ini suatu hari nanti) keutuhan dan kemantapan emosi anda adalah berkait rapat dengan dengan ketenangan dan kemantapan minda seseorang. Tidak percaya?

Bagi yang memiliki anak kecil, anda boleh memerhatikan melalui situasi dibawah:
1.Seorang anak kecil akan merasa selamat dan tenang apabila berada di sisi ibu dan bapa-Nya. Bukan sekali kita melihat senario seorang budak yang menangis kerana terpisah daripada ibu dan bapanya semasa membelibelah di pasaraya. Kenapa? Adakah kerana fizikalnya tercedera? Tentu tidak, tetapi ‘ketenteraman’ dan ‘ketenangan hatinyalah’ yang tercedera.

2.Dan kita dapat lihat bagaimana seorang anak kecil yang menangis kerana lututnya berdarah lantaran jatuh; berhenti menangis hanya kerana si ibu berkata, “Dah, jangan menangis… sikit je tu! Nanti ibu sapukan ubat!”. Adakah dengan berkata demikian, sakit luka yang dirasainya sudah hilang? Tidak! Sakit luka di lututnya masih terasa, tetapi tangisannya terhenti kerana rasa ‘sakit’ pada jiwa dan emosinya telahpun diubati dan telah hilang diganti dengan rasa tenteram, kerana budak itu yakin, ibunya memahami ‘penderitaannya’ dan ibunya ‘mampu’ mengubati luka di lututnya dengan ubat yang akan disapu nanti.

Ini menunjukkan, ketenteraman hati dan ketenangan hidup ini adalah satu kuasa yang sangat diperlukan dalam hidup seorang manusia. Dan adalah satu hukum serta prinsip alam, seseorang itu akan merasa aman dan tenang apabila mengetahui dan merasai bahawa di sana adanya satu ‘kuasa’ yang mampu mengatasi segala kebimbangan dan rasa terancam yang ada.

Bagaimana genius sekalipun diri anda, tanpa kemantapan dan kecemerlangan emosi ,pasti anda tidak dapat menggunakan kegeniusan dan ketinggian IQ anda dengan sebaiknya jika jiwa anda sentiasa bercelaru dan tidak mantap. Kecemerlangan dan kemantapan jiwa inilah yang disebut sebagai EQ. Tetapi jika anda mempunyai EQ yang mantap, walaupun anda seorang yang buta huruf dan bekerja di sawah bendang, tetapi dengan ketenangan jiwa yang miliki, anda dapat menghadapi hidup dan segala masalah hidup ini dengan penuh ketenangan dan kedamaian. Tidak percaya? Kaji datuk nenek kita dahulu yang mampu memiliki banyak harta walaupun buta huruf dan bekerja hanya sebagai petani…InsyaALLAH anda akan mendapat jawapannya

Bercakap je..apa guna!

4

Category : komentar

Orang yang tidak berbuat apa-apa boleh berkata apa sahaja mengikut apa yang disuka.Boleh membuat apa sahaja tanggapan mengikut hati mereka.”Apabila melihat orang berniaga kecil-kecilan,dia akan kata, “buat apalah berniaga tepi jalan, bila nak kaya?”

Hakikatnya dia tidak pernah berbuat apa-apa. Kerana itulah dia bebas berkata apa-apa sahaja. Jika dia melakukan perkara yang sama, dia akan berfikir banyak kali sebelum memberikan komen. Dia tahu jerih-perihnya untuk membina gerai di tepi jalan, berhadapan dengan cabaran pelanggan dan penguatkuasaan.

Orang begini pastinya tidak akan ke mana-mana. Dia akan sentiasa menjadi pemerhati dan pengkritik. Ramai sungguh orang yang menjadi penganalisa tidak bertauliah. Cakapnya pandai, hujahnya kadang-kadang bernas juga tetapi satu benda pun dia tak prnah buat.

Apa pun yang ingin kita lakukan, kita harus berfikir, gunakan minda yang dianugerahkan dengan sebaiknya. Sentiasalah memandang orang lain dari aspek yang positif sebelum memandang rendah kepada apa yang orang lain telah lakukan.
Kena lihat setiap sesuatu yang besar itu bermula daripada sesuatu yang kecil. Setiap yang lahir terus gagah, biasanya tidak bertahan lama. Perniagaan yang gah dan terkenal ketika ini juga bermula dari satu perniagaan kecil. Kebanyakan Jutawan asalnya orang biasa. Pemimpin yang walau bagaimana hebat pun asalnya rakyat biasa.

Orang yang tidak berbuat apa-apa memang boleh berkata apa-apa sahaja. Bercakap itu mudah kerana itulah ramai orang melakukannya. Apabila tiba masa untuk berbuat, selalu menyerah sebelum mencuba. Jadi orang seperti ini tidak akan kemana..

Gagal lagi? Penyelesaiannya ialah…

4

Category : Motivasi

Ramai yang terlalu fobia dengan perkataan GAGAL. Saya juga pernah termasuk dalam golongan manusia yang pernah takut dengan kegagalan. Mengapa semua itu berlaku? Kerana sejak dari kecil kita ditakutkan dengan kegagalan. Sejak dulu lagi kejayaan dan kegagalan mempunyai ukuran. Tidak percaya dengan apa yang saya nyatakan?

Ketika dibangku sekolah, selepas menghadapi peperiksaan, sesiapa yang memperolehi markah yang baik akan dianggap berjaya dan diberi tempat pertama di dalam kelas bagi menunjukkan kejayaan pelajar tersebut. Namun begitu, bagaimana sekiranya pelajar tersebut mempunyai ranking dalam kelas dengan nombor yang bernilai besar. Sebagai seorang yang pernah mendapat tempat terakhir di dalam kelas, melalui pengalaman saya,nenek saya akan membezakan saya dengan cucu-cucunya yang cemerlang.Selain itu saya juga diejek dan direndahkan. Jadi tidak mustahil jika saya takut untuk menerima kegagalan. Namun begitu, persepsi saya ketika ini sudah pastinya berubah, kerana kegagalan akan dianggap pemangkin untuk mencapai kejayaan.

Sekiranya anda mempunyai anak atau adik yang masih bersekolah, jangan ulangi kesilapan ini, didik mereka supaya berani menghadapi kegagalan.
Jika anda sering gagal dalam hidup, apa yang perlu anda lakukan ialah keluar dari kepompong minda yang selama ini anda gunakan untuk mencari penyelesaian kerana apabila anda berada dalam tekanan anda akan menjadi tidak rasional dan seringkali keputusan yang dibuat tidak mendatangkan hasil bahkan menambahkan beban.

Apabila minda kita berserabut atau berada dalam tekanan maka seringkali keputusan yang dibuat itu salah atau tidak mendatangkan hasil. Situasi ini akan membuat kita lebih tertekan dan sebarang tindakan atau keputusan susulan akan lebih membawa kepada ketidakberhasilan. Dalam keadaan ini kita dapat melihat wajah mereka tidak ceria, muram serta membosankan. Apabila wajah atau expresi diri ini ditonjolkan kepada umum pastinya jawapan untuk apa jua soalan bertukar negatif. Dan ini menyebabkan mereka hilang keyakinan diri, menjadi pemarah dan secara tidak langsung kesihatan lahiriah terganggu. Jika hal ini tidak diubah, perjalanan kehidupan seseorang itu akan terganggu terutamanya hal-hal yang melibatkan wang ringgit.

TenangKan jiwa anda kerana jiwa yang tenang adalah jiwa yang mantap yang mampu menjana minda positif dan mampu memberi jalan penyelesaian dalam setiap masalah. Jiwa yang tenang akan selalu mengingat kepada Penciptanya dan jiwa menjadi lebih mantap hasil keyakinan yang jitu kepada ALLAH.

Selain itu kita juga harus melihat siapakah disekeliling kita, bersesuaian dengan hadith nabi saw, barangsiapa berkawan dengan penjual minyak wangi maka wangilah dia. Justeru jika kita dikelilingi oleh mereka yang bermasalah maka kita akan terikut bermasalah. Ini kerana apabila bermasalah, gelombang fikiran berada dalam gelombang beta. Jika anda dikelilingi mereka yang berada pada gelombang beta yang tinggi, maka gelombang tersebut akan mempengaruhi pemikiran serta gelombang otak anda secara langsung. Jadi jika anda bermasalah carilah tempat-tempat yang mempunyai gelombang alpha seperti masjid terutamanya dibawah kubah dan duduklah dengan santai selama 30 minit, insya Allah anda akan dapat melihat jalan penyelasiannya. Ingatlah jiwa mantap, minda hebat, hasil cemerlang.

Gagal sekali, anda gagal selamanya?

5

Category : Motivasi

Sekiranya anda merancang ingin membina sebuah rumah yang akan menjadi milik anda dalam masa 2 tahun lagi, dan pada di bulan pertama pembinaan rumah tersebut anda dihimpit masalah, adakah anda akan terus menghentikan pembinaan tersebut dan terus membina sebuah lagi rumah yang lain?. Saya yakin, walaubagaimana pun, anda pasti akan berusaha untuk membina rumah tersebut, kerana rumah itu adalah rumah impian anda yang pasti akan menjadi tempat anda dan keluarga anda berteduh.

Sekiranya anda mengidamkan kebebasan kewangan, masa dan kehidupan dalam masa 4- 6 tahun dari usaha anda sekarang, Adakah anda akan berundur diri apabila anda menemui kegagalan pada bulan pertama dan mencuba sesuatu yang baru? Mungkin ya bagi orang yang hanya hangat-hangat tahi ayam,hanya menetapkan azam, apabila melihat orang lain melakukan perkara yang sama.

Tetapi tidak bagi sesiapa yang benar-benar fokus dan menginginkan kejayaan, setiap kegagalan bagi bulan pertama, adalah satu cabaran yang akan membantu mereka untuk terus berusaha bagi mendaki tangga kejayaan yang seterusnya, kerana setiap kegagalan adalah satu pelajaran baru yang dapat membantu mereka untuk terus berjaya.

Sekiranya anda mengimpikan kejayaan tanpa dihantui sebarang kegagalan, bangkitlah, kerana ketika ini anda masih lagi bermimpi. Bangkitlah dari mimpi tersebut, hidup di alam realiti. Tiada kejayaan tanpa kegagalan, itulah realiti yang kita mesti hadapi sekiranya kita benar-benar inginkan kejayaan.

Adakah sekali anda gagal, anda akan gagal selamanya? Adakah ALLAH ciptakan kita sebagai manusia untuk gagal dan terus gagal? Anda fikir sendiri, dan saya tahu anda juga mempunyai jawapan anda sendiri dan saya yakin jawapan kita tetap sama.

Fokus dalam meditasi

2

Category : Meditasi

Teringat saya pada waktu kanak-kanak dahulu,Saya selalu bermain dengan kanta pembesar kepunyaan pakcik saya. Pada ketika itu, ianya bagai satu keajaiban apabila saya dapat membakar kertas dengan hanya meletakkan kanta tersebut di bawah cahaya matahari tanpa perlu menggunakan mancis. Namun begitu, apabila memiliki sedikit ilmu, barulah saya ketahui semua itu disebabkan oeh panas cahaya matahari berkumpul pada titik fokus kanta tersebut, apabila kanta dijauhkan dari kertas tersebut ianya tidak mampu menyalakan api kerana tiada titik fokus yang utama.

Begitu juga dengan kita sebagai manusia, apabila kita melakukan sesuatu perkara dengan lebih fokus, tekun dan memberi tumpuan yang sebaiknya ia akan dapat memberikan hasil yang baik kepada kita. Fokus memberi banyak kebaikkan kepada kita. Apabila kita Fokus dalam melakukan sesuatu kerja, hasil kerja kita akan menjadi lebih berkualiti.Selain itu dengan fokus juga dapat menolong kita meningkatkan kualiti diri, serta dapat menjayakan sesuatu pekerjaan dengan mudah.

Ketika melakukan meditasi, Kuasa fokus adalah penting, tanpa fokus anda hanya melakukan meditasi yang sia-sia. Dengan memiliki daya konsentrasi yang tinggi, ianya akan memberikan anda kawalan pemikiran yang baik, minda yang tenang,serta daya keyakinan yang tinggi.

Kekuatan daya ingatan anda juga bergantung kepada keupayaan fokus atau tumpuan yang anda berikan kepada sesuatu perkara atau objek tertentu. Jika daya tumpuan ini lemah, maka lemahlah daya ingatan dan daya tanggapan secara keseluruhannya. Anda semua sedia maklum, sekiranya anda memberikan sepenuh konsentrasi terhadap sesuatu perkara, maka anda akan dapat menyelesaikan perkara tersebut dengan lebih baik dan teratur. Ini kerana seluruh tenaga minda ditumpukan terhadap perkara yang dihadapi dan ini dapat menentukan daya ingatan seseorang kerana makin tinggi daya konsentrasi yang diberikan, makin tinggi pula daya ingatan anda mengenai perkara itu. oleh itu, untuk mendapat sesuatu hasil yang baik dalam pekerjaan anda, fokus memainkan peranan yang amat penting dalam menjayakannya.