3 bulan lepas, saya telah menaiki satu teksi yang dipandu oleh seorang pemandu Melayu. Ketika itu, saya dalam perjalanan ke KLIA, untuk bercuti, dan sememangnya percutian itu tidak saya rancang. Disebabkan kebosanan yang saya alami. Jadi saya terus mengambil keputusan ke mana-mana saja saya akan pergi , ianya bergantung kepada kekosongan tiket ketika itu. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk bercuti ke Cherating. Percutian itu tidak saya maklumkan kepada sesiapa kecuali Labanon.Ketika itu beliau masih lagi belum menjadi penghuni asrama.
Seperti biasa, jika saya menaiki sesebuah teksi pasti saya akan berborak rancak dengan pemandu teksi tersebut. Dan salah satu topik yang dibincangkan adalah pendapatan harian yang diperolehi. Pemandu tersebut adalah anak muda yang masih bujang dan baru saja 3 bulan pengalaman membawa teksi.Sebelum ini, beliau bertugas sebagai pemandu peribadi dan juga pemandu lori.
Seperti biasa yang saya lakukan terhadap pemandu teksi yang lain, saya juga lakukan terhadap pemandu muda ini. Sebenarnya bila ditanya tentang pendapatan harian, pasti setiap pemandu teksi akan mempunyai pelbagai jawapan yang berbeza.
Ada yang hanya bekerja mengikut office hour, tetapi pendapatan yang diperolehi adalah lumayan. Ada juga yang bekerja bagai nak rak, tetapi mempunyai pendapatan lebih kurang hanya RM100 sehari. Apabila ditanya kepada pemandu muda ini, jawapan yang saya perolehi adalah dalam golongan kedua iaitu RM50 pagi dan petang.
Apabila saya bertanya dan bertanya, jawapan yang diberikan tetap negatif terhadap pendapatan yang diperolehi. Walaupun saya cuba meyakinkan beliau bahawa terdapat pemandu teksi yang agak lumayan pendapatan. Dan masa kerja yang digunakan adalah dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang.
Setelah saya cuba dan cuba untuk mencari punca masalah, akhirnya puas hati saya apabila saya sudah pun menjumpai punca sebenarnya. Jawapannya ialah “4 orang pakcik saya, semua bercerita kepada saya bawa teksi tak boleh cari makan. Cuma paling banyak RM100 sehari“. Itulah punca sebenarnya , pemandu muda ini mengalami mental block yang menyebabkan konsep diri beliau lemah. Rupa-rupanya 4 pakcik beliau menanamkan keprcayaan tersebut di minda separa sedar beliau.
Lega hati saya, setelah saya mengetahui punca beliau yang sebenar. Namun disebabkan masa dan keadaan yang tidak mengizinkan, jadi saya hanya sempat memberikan beliau kad nama saya, dengan mengatakan jika beliau ingin dibantu, boleh hubungi saya. Saya sekadar membantu secara ikhlas, tanpa meminta apa-apa ganjaran. Jadi pertemuan tersebut hanya berakhir di situ.
Lebih kurang selepas 2 minggu , saya menerima panggilan dari nombor yang tidak pernah saya lihat. Rupa-rupanya panggilan tersebut datang dari pemandu tersebut.Beliau menyatakan bahwa beliau benar-benar inginkan bantuan seperti yang saya nyatakan. Akhirnya saya bersetuju untuk bertemu dengan beliau. Dan cerita pertemuan pertama saya akan saya sambung pada esok hari..




