Semalam, ketika saya sedang leka menonton drama korea kegemaran saya Hwang Ji ni, saya menerima satu panggilan telefon daripada seseorang yang mengatakan bahawa suaminya telah pun meninggal dunia. Sekiranya anda telah pun lama mengikuti blog ini, anda pasti akan teringat, saya pernah bercerita tentang kekuatan minda seorang pesakit saya yang mengidap barah paru-paru.
Doktor pernah menjangkakan beliau hanya dapat hidup selama 6 bulan dan berkat kekuatan dan keazaman beliau, sehingga semalam beliau dapat meneruskan kehidupan lebih daripada 2 tahun, daripada jangkaan yang telah doktor berikan. Al-fatihah untuk beliau.
Sebenarnya saya tidak terkejut, kerana kematian adalah sesuatu yang pasti bagi beliau. Malahan bagi sesiapa sahaja dan makhluk hidup di dunia ini. Sebenarnya sebulan yang lepas, kami pernah berhubung. Salah satu perkara yang beliau berkongsi bersama saya , beliau berkata ” Walaupun saya sentiasa bersemangat untuk melawan penyakit dan kesakitan saya, tetapi adakalanya saya pasti jua akan tewas, apabila terdapat individu yang datang melawat saya, memberikan tanggapan negatif tentang kanser. Walaupun mereka bercerita tentang individu lain, tetapi apabila saya mendengarnya kerisauan saya pasti akan ada”.
Masih jelas di telinga saya kata-kata tersebut, kerana saya sentiasa berfikir, bagaimana untuk membantu beliau bagi menangani masalah tersebut. Ya, minda separa sedar sentiasa cekap bekerja dan akan terus bekerja untuk beliau dan untuk sesiapa sahaja, tetapi akibat kebodohan minda separa sedar yang tidak dapat membezakan sesuatu yang positif ataupun negatif, akhirnya memakan diri apabila dikuasai oleh minda separa sedar. Itulah bukti bahawa faktor persekitaran dan orang sekeliling benar-benar mempengaruhi minda dan kehidupan seseorang individu. Jadi apa yang perlu dilakukan? . Adakah pesakit tersebut perlu dikuarantin?. Apa guna hidup lama, jika tidak dapat menikmati keindahan dunia.
Sebenarnya orang disekeliling juga perlu memainkan peranan penting dalam membantu apa jua pesakit dalam mengharungi kehidupan. Mereka tidak ingin dilayan seperti seorang raja. Cukuplah jika sentiasa memberikan saranan yang positif, bercakap sesuatu yang positif, supaya mereka sentiasa gembira,kuat dan bersemangat di dalam mengharungi cabaran seperti itu.
Bagi seorang manusia, sesuatu yang paling penting adalah kegembiraan. Dengan adanya kegembiraan segalanya pasti akan menjadi milik anda. Gembira dapat menghilangkan kesedihan, gembira dapat menghilangkan kesakitan, gembira juga dapat menghilangkan keresahan. Pendek kata, anda boleh memprolehi apa sahaja jika anda gembira. Bak kata Joe Vitale di dalam bukunya ‘attractor factor ‘ kunci kejayaan adalah kegembiraan. Jadi tidak rugi sekiranya kita memberi dan berkongsi kegembiraan dengan individu yang lain. Tidak salah sekiranya berkongsi kegembiraan jika ada individu disekeliling anda yang menderita dalam kesakitan. Peganglah prinsip, anda akan gembira jika melihat individu lain gembira. InsyaALLAH saham kebahagiaan dan kagembiraan tersebut juga menjadi milik anda. Bukankah ianya juga satu keuntungan bagi diri kita. Inilah yang dinamakan hukum ganjaran.




