Saya merasakan indeks untuk kecenderungan untuk fokus ke arah sesuatu yang negatif makin meningkat. Saya melihat senario politik makin menuju ke arah sesuatu yang amat negatif dengan pelbagai peristiwa besar yang saban hari disiarkan di dada akhbar.
Walaupun saya sudah lama tidak membaca akhbar, namun dengan iklim politik yang semakin panas ini, adakalanya membuatkan saya tertarik untuk mengetahui tentang kisah yang sebenar. Terutamanya pengakuan bersumpah blogger raja Petra mengenai pembunuhan Altantuya, dan yang terbaru adalah kisah pengakuan seorang lelaki yang berumur 23 tahun, kononnya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semua maklumat ini saya perolehi daripada internet.
Sebenarnya saya tidak berminat untuk mengulas samada benar Datin Rosmah Mansur terlibat dengan pembunuhan warga Mongolia tersebut , atau mengulas pendapat saya tentang pendapat saya tentang kebenaran bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat pembantu khas beliau iaitu Saiful Bahari. Tetapi saya sekadar ingin berkongsi pendapat kesan yang bakal berlaku akibat daripada permainan politik para pemimpin negara ini.
Sebenarnya otak saya agak penat apabila meneliti senario yang berlaku hari ini terutamanya selepas berakhirnya pilihanraya yang ke 12 yang lepas. Betapa banyaknya cerita yang tidak menguntungkan rakyat terpampang di dada akhbar ketika ini, ketika rakyat Malaysia merintih dengan keadaan ekonomi yang kurang baik, kita ditarik pula dengan cerita-cerita negatif yang disebarkan secara sengaja akibat mengikut nafsu pemimpin yang takut kehilangan kuasa dan akhirnya ia langsung tidak menguntungkan rakyat.
Alangkah baiknya , jika ketika ini, para pemimpin tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang sama-sama bersatu hati dalam menangani krisis ekonomi yang semakin meruncing dan sama-sama membangunkan ekonomi negara .
Malangnya para pemimpin negara kita lebih mementingkan survival politik, walaupun terpaksa mengorbankan individu lain, daripada membantu menyelesaikan masalah rakyat yang semakin meruncing.
Wahai pemimpin-pemimpin Malaysia yang disayangi, Dunia bukan segalanya..yang kekal abadi hanyalah alam Akhirat!





