Selamat Tahun baru Cina saya ucapkan kepada para pembaca blog yang merayakan Tahun Baru Cina dan terima kasih kerana masih lagi bersama saya, Raymond Chua dalam Bicara Selasa .
Setelah seminggu sibuk membuat persediaan untuk merayakan Tahun Baru Cina, akhirnya hari yang ditunggu-tunggukan tiba jua. Walaupun banyak masa diluangkan untuk menziarahi sanak saudara dan mengeratkan silatulrahim sesama ahli keluarga, tetapi saya tidak akan lupakan anda sekalian di blog ini.
Baiklah, mari kita mula dengan Bicara Selasa Minggu ini…
Steve Jobs, Walt Disney dan Michael Jordan.
Apakah persamaan yang terdapat dalam diri mereka?
Mereka semua pernah diberitahu oleh orang-orang yang mereka hormati dan percaya bahawa mereka harus kemaskan apa yang mereka lakukan, lupakan impian mereka dan buat sesuatu yang lebih mudah dan kurang mencabar.
Ramai yang akan mengambil “nasihat” ini dengan serius, kembali kepada norma masyarakat dan menyembunyikan impian mereka seumur hidup.
Akan tetapi, ada sesuatu yang terdapat di dalam diri individu-individu di atas yang membuatkan mereka lain daripada yang lain. Mereka mempunyai semangat yang kuat. Semangat yang tidak dapat dihentikan.
Mereka melakukan sesuatu dengan kepersisan yang tinggi dan mencapai kejayaan yang amat luar biasa.
Persoalannya, apakah yang menghasilkan semangat yang tidak dapat dihentikan ini?
Ia bukan peluang. Pun bukan nasib.
Anda juga mempunyai semangat yang kuat ini di dalam diri anda. Cuma anda belum mengeluarkannya sahaja.
Salah satu perkara yang amat penting yang perlu anda tahu ialah:
“Keadaan persekitaran bukan faktor yang menentukan realiti kita”
Keadaan persekitaran yang saya maksudkan adalah seperti “nasihat-nasihat” yang kurang membantu yang sering menusuk ke dalam telinga kita seperti:
“Keluarga kita ditakdirkan untuk bekerja makan gaji”
“Mengapa nak memberhentikan kerja yang memberikan pendapatan yang lumayan ini hanya semata-mata nak mencapai impian anda yang belum pasti berjaya?”
“Baik kau lupakan angan-angan kau tu”
Jangan salah faham. Niat mereka mungkin baik tetapi bagaimana pula dengan kesannya terhadap anda.
Banyak pencapaian yang hebat-hebat di dunia ini mungkin tidak dapat dirasai sekiranya mereka tidak mempunyai semangat yang kuat untuk mencapai kejayaan tersebut.
Walt Disney, pada suatu ketika dahulu, jatuh bankrap setiap 18 bulan selama 30 tahun dan beliau terpaksa meminjam wang daripada polisi insurans hayatnya untuk membiayai ideanya iaitu membuat dan menayangkan siri kartun melalui televisyen.
Beliau membawa ideanya ke NBC (salah satu stesyen TV di Amerika) dan pihak NBC menolaknya dengan mengatakan bahawa TV bukan media untuk hiburan. (Pada masa itu, TV hanyalah sumber maklumat)
Kemudian Walt Disney pun mambawa ideanya ke ABC (juga merupakan nama salah satu stesyen TV di Amerika – Bukan Air Batu Campur) yang merupakan stesyen TV yang kurang maju pada masa itu.
ABC membeli ideanya dan mula menayangkan siri kartun Walt Disney. Hasilnya, tindakan tersebut menghasilkan kejayaan yang paling besar dalam sejarah penayangan pada masa itu.
Beliau tidak dipengaruhi oleh persekitarannya seperti jatuh bankrap, hutang-piutangnya dan nasihat yang kurang membantu daripada kawan-kawan serta ahli keluarganya.
Semangat yang terdapat di dalam dirinya memang tidak dapat dihentikan.
Pada hari ini, nama Walt Disney sudah sebati dengan dunia kartun dan animasi dan terkenal di seluruh dunia. Nama serta hasil kerja beliau mempunyai pengaruh begitu besar sehingga boleh menyatukan ataupun memusnahkan dunia ini.
Itulah kehebatan kuasa yang tidak dapat dihentikan.
Sehingga berjumpa lagi dalam Bicara Selasa minggu depan.
Salam Tahun Baru,
Raymond Chua
P.S. Dapatkan podcast financial blueprint anda di sini !
P.P.S. Nak belajar cara-cara untuk menjemput rezeki ke dalam kehidupan anda? klik sini .