Kucing dan kehidupan

4

Category : Bina Kejayaan, Info, komentar, Petua & Tips, Renungan

Salam perkongsian semua. Rasa saya semua orang tahu makanan kegemaran kucing ialah ikan. Tapi pernah tak kita tengok kucing memancing atau membeli ikan di pasar. Emm memang tak pernah kan ?

kalau ada, pasti berita ini menjadi berita yang tehangat di pasaran. Kerana mana mungkin kucing boleh memancing….jadi apa yang kucing lakukan untuk mendapatkan ikan yang diidam-idamkannya ?

Kucing akan menggesel-geselkan dirinya kepada tuannya, dan cuba memanjakan dirinya. Maka dengan belas ihsan dan kasih sayang tuannya, kucing akan diberikan ikan sebagai santapannya.

Begitulah juga dengan kita ini. Untuk mendapat kehidupan yang baik,
maka kita kena dekati TUAN kita. Siapa TUAN kita? Tuan kita ialah ALLAH SWT.

Kita mesti kenali,dekati dan cubalah ‘bermanja’ kepada-NYA. Nescaya kelak, pasti kita akan disayangi dan dirahmati olehNya. Pastinya kita akan dikurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Jangan ingat dengan hanya kudrat, segala usaha dan susah payah kita, maka kita pasti mampu mendapatkan sebarang rezeki. Rezeki tidak akan kita dapat tanpa belas ihsan dan rahmat daripada TUAN kita. Kita tidak mungkin dapat rezeki tanpa izin TUAN kita.

Lihatlah bagaimana si kucing yang dikejar dan diburu oleh tuannya kerana mencuri ikan. Walau mungkin kucing dapat ikan, tapi tuannya tidak redha, marah dan bengang padanya.

Jika itu yang terjadi..… apakah ada gunanya???

Jumaat penghulu segala hari

4

Category : Info, Minda Separa Sedar, Renungan

Salam perkongsian, ceria dan bahagia untuk semua. Harapan saya jiwa kita juga tenang dan ceria seindah pagi Jumaat yang penuh dengan kedamaian ini.

JUMAAT penghulu segala hari kerana kemuliaan dan kelebihannya. Malah, peristiwa agung banyak berlaku pada Jumaat.

Banyak hadis menerangkan kelebihan hari Jumaat, misalnya hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan Abu Hurairah berkenaan penghulu hari, bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai `Sayyidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat. Pada hari itulah Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang ber maksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat. Pada hari itu terdapat suatu masa seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran ALLAH daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.

Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.

Wirid meluaskan pintu rezeki

7

Category : Info, Petua & Tips, Renungan

Salam perkongsian. Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk terus menulis dan berkongsi dengan anda semua.

Orang kata hidup dalam zaman ni kalau tak berhutang, kiranya tak sah. Tak kisahlah apa hutang sekalipun. Ada juga yang berhutang sehingga sanggup meminjam dari along dan sebagainya. Akibatnya kaum keluarga menjadi mangsa, sama ada diganggu ataupun dibunuh.

Orang kata tidak mustahil kerana wang kita sanggup berbunuhan antara satu sama lain, dan kerana wang juga kita sanggup melakukan apa saja, meskipun ia melanggar batas-batas kemanusiaan.

Adakah jalan keluar untuk kemelut yang dihadapi ? Bagaimana kita nak meloloskan diri dari beban hutang yang dihadapi. Saya kongsikan cerita dan petua ini.

“Aku tidak melihatmu di masjid semalam,” Rasulullah s.a.w. menegur Sayidina Muaz Bin Jabal r.a, sesesai berjemaah Zuhur.

“Maafkan aku, wahai Rasulullah. Aku tidak berpeluang untuk menunaikan solat Jumaat semalam. Semasa dalam perjalanan ke masjid, aku telah dihalangi oleh seorang kaum Yahudi. Aku dikurung dirumahnya dan tidak dibenarkan ke mana-mana,” jawab Sayidina Muaz dengan panjang lebarnya.

“Kenapa?”

“Aku telah banyak berhutang kepadanya,” akui Sayidina Muaz terusterang. “Sehinggalah aku merayu dan berjanji akan menjelaskan hutang-hutangnya apabila beroleh wang nanti, barulah aku dilepaskan,”

Rasul tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu Saydina Muaz berkata, ” Aku ajarkan kepadamu dua potong ayat. Jika engkau mahu mengamalkannya, Allah akan meluaskan rezekimu untuk menjelaskan semua hutangmu, walaupun hutangmu sebesar gunung banyaknya.”

“Mahu..mahu, wahai Rasulullah,” jawab Saydina bersungguh-sungguh.

Rasulullah s.a.w. pun membacakan dua ayat al-Quran dari Surah Ali Imran iaitu ayat 26-ayat 27. Sayidina Muaz mendengarnya dengan cermat dan teliti, sebelum ikut membacanya semula. Selepas itu dia terus mengamalkannya dua potong ayat yang banyak khasiatnya itu. Sehingga Saydina Muaz menjadikan ayat tersebut sebagai wirid hariannya.

Berkat daripada kata-kata Rasulullah tersebut, akhirnya Sayidina Muaz telah menjadi orang yang berjaya dan maju dalam bidang perkerjaannya. Dengan jayanya itu membolehkan ia melunaskan semua hutangnya.

Mungkin kita juga boleh menjadi seperti Sayidina Muaz yang berjaya melunaskan beban hutang yang ditanggung. InsyALLAH dengan pengamalan wirid ini akan melapangkan pintu rezeki kita. Saya tinggalkan anda semua dengan terjemahan bagi kedua-dua ayat yang dimaksudkan.

Surah Ali Imran Ayat 26.
Katakanlah, “Ya Allah, yang merajai kerajaan, Engkau memberikan kerajaan kepada siapa yang Engkau mengkehendaki, dan melucutkan kerajaan daripada siapa yang Engkau mengkehendaki, dan Engkau memuliakan siapa yang Engkau mengkehendaki, dan Engkau menghinakan siapa yang Engkau mengkehendaki. Di tangan Engkau yang baik; sesungguhnya Engkau berkuasa atas segala sesuatu.

Surah Ali Imran Ayat 27.
Engkau menjadikan malam memasuki ke dalam siang, dan Engkau menjadikan siang memasuki ke dalam malam, dan Engkau mengeluarkan yang hidup daripada yang mati, dan Engkau mengeluarkan yang mati daripada yang hidup, dan Engkau memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau mengkehendaki tanpa perhitungan.”

Renungan pagi

3

Category : Info, Motivasi, Renungan

Salam perkongsian semua. Setelah berehat di hujung minggu pasti ada yang malas untuk memulakan rutin harian di pagi isnin yang ceria ini. Ramai yang mengatakan, kurang mood untuk berkerja pada setiap hari isnin. Ada juga yang menggelarkannya sebagai black Monday, kerana masih dipengaruhi mood cuti rehat.

Saya kongsikan kata-kata ini untuk menyuntik semangat kita semua.

Jangan sesali apa yang sudah pergi. Jangan tangisi apa yang sudah tiada. Tetapi bangkitlah dan bina kembali apa yang telah hilang dan pergi.

Jika anda berkerja kerana wang, anda tidak akan kaya kerananya. Tetapi jika anda menyintai perkerjaan yang anda lakukan, kejayaan itu akan menjadi milik anda.

Kita sering melihat derita hari ini, tapi kita jarang ingat kebahagian untuk esok hari, jadi belajarlah untuk menghargai apa yang kita miliki hari ini, kerana kita tak akan dapat mencapai penghargaan untuk esoknya jika semuanya telah tiada.

Anda mungkin ditipu jika terlalu mempercayai, tetapi hidup anda akan terseksa jika tidak cukup mempercayai.

Ketika anda melontarkan sesuatu dalam kemarahan, kata-kata itu meninggalakn bekas seperti lubang di hati orang lain. Ibarat menusuk pisau ke dalam dada dan mencabutnya. Tidak kira berapa kali kamu meluahkan kata-kata maaf, luka itu akan tetap ada.

Kemaafan mungkin terlalu berat untuk diberikan kepada mereka yang telah melukakan hati kita, tetapi hanya dengan kemaafan dapat mengubati hati yang terluka.

Seseorang itu harus cukup rendah hati untuk mengakui kesalahannya, cukup bijak untuk mengambil manfaat dari kegagalannya dan cukup berani untuk memperbetulkan kesilapannya.

Bermimpilah tentang apa yang ingin kamu lakukan dan jadilah seperti apa yang kamu impikan kerana kita hanya memiliki satu kehidupan dan satu kesempatan untuk melakukan apa yang kita inginkan.

Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan. Kita tidak akan dapat melangkah dengan baik dalam kehidupan sehingga kita melupakan kegagalan dan rasa sakit hati lalu.

Dunia ini umpama lautan yang luas dan kita adalah kapal yang belayar di atasnya. Telah banyak kapal yang karam di dalamnya. Andai muatan kita adalah iman, dan layarnya adalah takwa nescaya kita akan terselamat dari tersesat di lautan hidup ini.

Hiduplah seperti lilin yang akan menerangi orang lain, janganlah hidup seperti duri mencucuk diri dan menyakiti orang lain.

Akal itu menteri yang menasihati, hati itu adalah raja yang menentukan, harta itu adalah tamu yang akan berangkat, kesenangan itu suatu masa yang akan ditinggalkan.

Harta yang paling menguntungkan adalah sabar, teman yang paling akrab adalah amal, pengawal yang paling waspada adalah diam, bahasa yang paling manis adalah senyum dan ibadah yang paling indah adalah khusyuk.

Hidup memerlukan pengorbanan, pengorbanan memerlukan perjuangan, perjuangan memerlukan ketabahan, ketabahan memerlukan keyakinan, keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagian.

Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal, tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah.

Tinggalkan seketika masalah anda…..

2

Category : Motivasi, Renungan

Salam perkongsian untuk semua. Semoga hari-hari yang kita lalui indah belaka seindah pagi sabtu yang ceria ini.

Seorang pensyarah sedang menyampaikan kuliah yang bertajuk stress management. Dia mengangkat segelas air dan bertanya kepada para pelajarnya, berapakah berat segelas air pada fikiran anda semua ? Para pelajarnya menjawab, beratnya dianggarkan 20 – 500 gram.

Ini bukan masalah berat secara total tetapi berapa lama anda memegangnya. Jika kita memegangnya selama 1 minit, ianya bukanlah masalah yang besar. Jika saya memegangnya selama 1 jam, lengan saya akan berasa sakit, dan jika saya memegangnya sepanjang hari, berkemungkinan anda semua terpaksa memanggil ambulan untuk saya. Berat sebenarnya adalah tetap sama, tapi makin lama saya memegangnya maka makin terasa bertambah bebannya.

Begitu juga dengan hidup kita ini, jika kita terus menerus membawa beban kita, lambat laun kita tidak akan mampu membawa dan menanggung beban tersebut. Beban itu akan meningkat beratnya. Apa yang harus kita lakukan adalah dengan meletakkan gelas tersebut, merehatkan tangan kita sebelum kita mengangkatnya semula

Kita seharusnya meninggalkan beban kita secara periodic agar kita lebih segar dan mampu membawanya lagi. Jadi sebelum kita pulang ke rumah dari pejabat dan sebagainya, tinggalkan beban perkerjaan yang ada. Jangan bawanya pulang ke rumah. Apa jua beban yang tergalas di bahu kita, cuba tinggalkan sejenak, setelah berehat, ambilnya kembali.