Anda sentiasa berpeluang untuk..

Category : Bina Kejayaan

Selagi kita hidup kita pasti akan menghadapi ujian atau dugaan. Namun semua itu adalah bergantung kepada persepsi kita sendiri.

Adakalanya kita merasakan diri tidak diperlakukan dengan adil, malah merasakan dunia tidak berlaku adil kepada diri kita namun ketahuilah segalanya adalah datang dari persepsi diri kita sendiri.

Adakah anda pernah bertanya kepada diri anda sendiri, mengapa anda sudahpun bermandi peluh berusaha sekuat yang mungkin tetapi tidak menampakkan hasilnya. Tetapi terdapat golongan yang kelihatan bekerja dengan mudah tetapi memperolehi hasil yang berlipat kali ganda. Sehingga anda menyatakan kepada diri anda sendiri “ah! aku sememangnya ditakdirkan untuk hidup miskin di dunia ini”. Ketahuilah anda , semua itu datang dari persepsi anda sendiri. Segalanya adalah persepsi.

Persepsi seperti inilah yang akan memusnahkan hidup dan impian anda selama ini.

Walau apa pun persepsi anda hari ini..PERCAYALAH, anda sentiasa mempunyai PELUANG untuk berjaya. Anda sentiasa mempunyai PELUANG untuk hidup dalam kesenangan Anda juga sentiasa mempunyai PELUANG untuk hidup kaya raya asalkan anda sanggup MENUKAR MINDSET, KEPERCAYAAN dan PERSEPSI anda.

Kisah si penjual tempe

6

Category : Renungan

Salam perkongsian untuk semua pengungjung blog ini, semoga sihat walafiat berada di dalam lindunganNYA.

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Disitu ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi.Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman ALLAH yang menyatakan bahawa ALLAH dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , “Ya ALLAH , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin”

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa ALLAH pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh ALLAH. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. “Ya ALLAH, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin”.

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul.

Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban ALLAH akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. “Ya ALLAH, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin”. Lalu dia pun berangkat. Disepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa berdoa di dalam hatinya.

Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yang berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun terkejut seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada ALLAH kerana doanya tidak dikabulkan.

Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh disudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada ALLAH, pasti ALLAH akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, “Ya ALLAH, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.”

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. “Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi.” Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi.

Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya”Ya ALLAH, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin”.

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada ALLAH. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, “Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?”

Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England,si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh ALLAH…

Apa yang kita boleh rumuskan dari cerita di atas ?

1. Kita sering memaksakan kehendak kita kepada ALLAH sewaktu berdoa, padahal sebenarnya ALLAH lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

2. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa ALLAH akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.

3. Tiada yang mustahil bagi ALLAH

4. Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga SEMBAHYANG 5 WAKTU , menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan kearah kebaikan…

Sebelum mengundurkan diri saya tinggalkan anda semua dengan kata-kata ini fizikal seseorang tidak akan membuktikan dalaman seseorang, semuanya berbalik kepada hati masing-masing.

Salam Hormat
- Ima Harlina –

Kepuasan dari kekayaan

2

Category : Pengalaman

Alhamdulillah kerana masih lagi berkesempatan untuk terus mengemaskini blog ini, setelah beberapa hari saya tidak berkesempatan .Apa pun harapan saya semoga kita semua sentiasa diberkati dan di rahmati ALLAH yang Maha Penyayang dan sentiasa mengajar kita dengan penuh kelembutan.

Pagi ini saya berkesempatan untuk bersarapan pagi bersama seorang teman saya, setelah sekian lama aktiviti bersarapan ini terhenti. Sebenarnya saya sendiri tidak pasti mengapa topik perbualan tentang KEPUASAN terpacul di mulut saya.Iaitu kepuasan yang dicari dalam hidup.

Saya akui ketika diberikan nikmat sedikit mewah dan lebih baik jika dibandingkan kehidupan ketika saya diuji dengan masalah, saya berjaya mendapatkan sesuatu yang diidamkan ketika dulu, ketika saya tidak mampu memiliki.Alhamdulillah saya diizinkan ALLAH dan diberikan sedikit kemampuan membeli dan seterusnya memiliki sebahagian daripada matlamat yang saya inginkan.

Barang berjenama dan gadget seperti smartphone yang berharga ribuan ringgit. Tetapi apabila ditanya kepada diri, apakah kepuasan yang saya perolehi ketika memiliki semua itu. Jawapan yang saya berikan adalah kosong. Saya tidak sedikitpun mendapat kepuasan yang saya cari.

Jujur saya katakan, tiada bezanya apa yang dirasa apabila menggunakan peralatan yang berharga mewah dan yang rendah nilainya. Bukan saya tidak bersyukur, tetapi rasanya saya lebih mendapat kepuasan jika wang yang digunakan itu dapat diberikan untuk membantu golongan yang memerlukan. Itulah topik perbincangan ketika bersarapan pagi tadi.Itulah perasaan yang sentiasa datang di dalam diri dan sentiasa saya pendamkan selama ini.

Saya tidak memiliki kepuasan yang sama seperti kepuasan yang saya perolehi ketika dapat menyediakan makanan untuk kucing-kucing saya, saya juga lebih gembira ketika dapat menghadiahkan laptop kepada seseorang ketika beliau memerlukan untuk belajar.

Saya lebih merasa puas apabila ibu yang melahirkan saya(saya dibesarkan oleh nenek), bersuara kegembiraan apabila beliau dapat membelikan baju raya kepada adik-adik saya daripada wang pemberian saya.Tetapi perasaan seperti ini tidak datang setelah saya memiliki barang mewah seperti yang saya inginkan ketika saya masih belum mampu memiliki.

Apa yang saya pasti, saya inginkan kekayaan dan juga wang yang tidak terbatas dan sentiasa kelimpahan. Tetapi saya ingin hidup kaya raya bukan semata-mata inginkan mengumpul harta benda. Tetapi saya inginkan kekayaan kerana saya ingin merasa nikmat memberi yang lebih baik jika dibandingkan dengan golongan yang tidak berkemampuan. Ya ALLAH jadikan aku hambaMu ini seorang yang kaya di dunia dan akhirat.

Hidup umpama pusingan roda….

3

Category : Renungan

Salam perkongsian dan salam lebaran untuk semua. Agak lama juga tidak menulis di dalam blog ini. Semoga semuanya sihat sejahtera berada di dalam lindunganNYA dan masih teguh berjuang demi sebuah kehidupan.

Kita sering mendengar perumpaman mengatakan hidup ini ibarat pusingan roda, tidak selalunya kita berada di atas kerana adakalanya kita berada di bawah dan naik semula atau sebaliknya. Di sini ingin saya kongsikan sebuah cerita untuk renungan kita bersama.

Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan. Diruang tamu, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ”Tolonglah encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.”Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ”Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.” Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.

Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isterinya yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain. Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan. Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis, si isteri menangkup muka sambil menangis. Si isteri mengadu, si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suaminya yang dulu pernah menengking seorang pengemis . Suami yang baru itu menjawab dengan tenang : ”Demi ALLAH ,akulah pengemis yang dihalau dan ditengking itu .

Sebelum mengundurkan diri saya tinggalkan anda semua dengan kata-kata ini, Rasulullah SAW Bersabda: ”Sedekah itu dapat menutup 70ribu kejahatan”. Anas Malik pula meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW ada bersabda yang bermaksud ; ”Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dia dengan kekayaanmu. Barang siapa yang mempunyai ilmu, maka sedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga bersedekahlah dengan tenaganya”.

Salam Hormat
- Ima Harlina –

hikmah yang menyedarkan

Category : Pengalaman

Alhamdulillah, terima kasih ya ALLAH kerana menghadiahkan kesedaran yang berharga di dalam hidupku. Semalam ketika saya sedang asyik menonton video-video rakaman anak-anak kucing saya, terdetik di dalam hati saya, tinggal beberapa hari lagi genap setahun saya berkongsi rezeki bersama anak-anak kucing saya.

Datang rasa sebak dalam diri saya apabila diberi kesedaran apakah hikmah ALLAH menghadiahkan kucing-kucing tersebut sebagai teman .

Jika direnung kembali, kucing-kucing tersebut saya temui selepas sebulan nenek saya mengalami masalah kesihatan dan sehingga sekarang masalah kesihatan itu masih belum sembuh, namun saya redha kerana saya yakin pasti ada hikmah yang tersembunyi yang perlu dicari disebalik kejadian tersebut terutama kepada semua anak-anaknya.

Setahun nenek saya mengalami masalah kesihatan, hampir setahun juga kucing-kucing tersebut berada di bawah peliharaan saya. Kucing-kucing tersebut yang pada asalnya hanya 4 ekor ianya bertambah apabila terdapat beberapa ekor lagi yang saya temui, ada yang ditemui di depan pintu rumah dan ada juga yang saya temui di tempat yang lain.

Alhamdulillah, semuanya mempunyai kelakuan atau sikap yang amat menyenangkan. Ini yang dikatakan, apabila dipelihara dengan penuh kasih sayang, kucing-kucing tersebut juga bersifat penyayang dan mudah menerima kucing yang lain tanpa bergaduh, walau pada asalnya ada juga yang merajuk apabila wujudnya kehadiran kucing baru.

Apa pun , kesedaran yang datang dalam diri saya benar-benar membuatkan saya sebak dan menitiskan air mata. Apa yang hadir dalam diri saya, mengapa ALLAH menghadiahkan kucing-kucing tersebut, kerana ingin saya merasa perasaan seorang ibu walaupun hanya ibu kepada kucing-kucing supaya saya dapat menghargai bagaimana perasaan kasih dan sayang nenek saya ketika memelihara saya sejak kecil. Memang beliau tidak melahirkan saya, tetapi pengorbanan nenek menjaga saya juga tidak ternilai.

Walau hanya dengan memiliki anak kucing , saya sudah terasa rindu bila berjauhan, bagaimana pula perasaan rindu yang ditanggung oleh nenek saya ketika saya berjauhan dengannya.

Jika saya sudah terasa risau kucing kelaparan apabila pulang lewat kerumah, bagaimana pula rasanya kerisauan seorang ibu yang memelihara apabila tiada di depan mata.

Ketika saya bersedih dan berdoa kerana salah seekor kucing saya demam, bagaimana pula perasaan seorang ibu yang bangun ketika di awal pagi kerana mendoakan saya supaya lulus di dalam peperiksaan, malah telinga saya ini masih lagi terdengar bait-bait doa tersebut ketika terjaga di awal pagi.

Itulah hikmahnya walau hanya menjadi ibu kepada kucing-kucing sudah datang rasa sayang rindu dan resah, Bagaimana pula jika menjadi ibu kepada 7 anak dan beberapa cucu yang dipelihara olehnya.

Walau betapa hebatnya sayang dan kasih seorang anak, ia tidak dapat menandingi kasih sayang seorang ibu terhadap anak-anaknya. Percayalah, inilah yang saya rasakan . Inilah hikmah sebenar mengapa saya dihadiahkan kucing-kucing tersebut. Ya hanya ALLAH yang maha mengetahui. Terima kasih Ya ALLAH kerana diberikan kesedaran ini.

HARGAILAH ibu anda ketika masih ada..