Salam perkongsian untuk semua, semoga hari-hari yang kita lalui sentiasa berada di dalam lindungan-NYA.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat ALLAH SWT kerana kita semua masih dilimpahkan rezeki dan kesihatan yang baik dan masih diberi peluang untuk melalui Ramadhan kali ini.
Tanpa kita sedari, masa berlari dengan begitu pantas sekali dan kita telah pun berada pada hari yang ke 17 di bulan yang mulia ini.
Sebagaimana kebiasaannya pada hari ini iatu 17 Ramadhan akan dikaitkan dengan sambutan Nuzul Al-Quran.
Memang ramai di antara kita yang mengetahui apakah peristiwa yang berlaku pada hari ini tetapi apa pula sikap kita terhadap Al-Quran ?
Tidak semua di kalangan manusia yang bernama Islam memiliki cita-rasa yang sama terhadap al-Quran, perkara ini ditegaskan sendiri oleh ALLAH SWT menerusi ayat 32 surah Fatiir yang bermaksud;
“Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yanag kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiayai diri mereka sendiri, ada di antara mereka yang bersederhana dan di antara mereka ada yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan dengan izin ALLAH. Yang demikian itu adalah kurniaan yang amat besar.”
Namun dalam ayat di atas terdapat tiga jenis manusia di kalangan hamba ALLAH yang Islam yang berbeza pendirian atau sikap mereka terhadap al-Quran:
1- Yang menganiayai diri mereka sendiri : Iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan, kerana mereka tidaka membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi untuk beramala dengan perintah ALLAH di dalamnya.
2- Adapun golongan yang bersederhana : Ialah golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala, mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia untuk melaksanakan isi-isi kandungannya yang terdiri daripada hukum-hakam ALLAH.
3- Sementara golongan yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan : Ialah golongan yang amat banyak kebaikan yang dilakukannya dan amat jarang berbuat kesalahan, mereka adalah golongan yang bersedia untuk melaksanakan hukum perintah ALLAH dalam al-Quran seperti hukum Hudud, Qisas dan Ta’zir, kerana hukum-hukum itu sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat manusia sepanjang masa.
Terserahlah kepada kita untuk meletakkan kedudukan diri di antara tiga jenis orang Islam seperti ayat di atas, apa yang jelas, al-Quran bukanlah kitab untuk dipertandingkan semata-mata, malah lebih daripada itu bagi mencapai maksud untuk mendapatkan cahaya keredaan ALLAH SWT.
Salam Hormat
- Ima Harlina -




