Dunia hanya sementara


 

 

Alhamdulillah..bersyukur padaMu Ya ALLAH atas segala nikmat yang berkelimpahan dan tidak terhitung oleh kami ..rezeki yang melimpah ruah tanpa henti diberikan cuma adakalanya mati hatiku tertutup untuk melihat segala yang positif berada disekeliling kami.

Syukur kepadaMU ya ALLAH kerana sentiasa memberikan yang terbaik kepada kami namun disebabkan besarnya ego yang ada di dalam diri kami gagal untuk menerima diri kami seadanya sehingga kami membandingkan diri kami dengan orang lain sehingga adakalanya kami merasakan betapa teruknya diri kami sedangkan Engkau adalah Yang Maha Baik pastinya sentiasa memberikan yang terbaik terhadap hambaNya.

Pagi ini saya bertemu lagi dengan dua orang wanita cina yang pernah saya nyatakan . Saya suka memerhati beliau kerana kagum dengan kegigihan anaknya yang berumur 60 tahun melayani karenah ibunya yang berumur 90 tahun.

Sebenarnya apa yang saya ingin ceritakan disini adalah tentang refleksi saya. Saya sudah pun lama mengenali wanita ini, dari waktu ibunya masih mampu berjalan sehingga terpaksa berada di kerusi roda.

Sehingga pada satu malam, saya terserempak dengan kedua wanita ini di depan lift. Kali pertama terserempak ketika turun dan kali kedua ketika ingin naik untuk pulang ke rumah. Tiba-tiba mulut saya ini rajin bertanya apa yang berlaku dan jawab anaknya ‘tiada apa-apa dia cuma mahu buat ibunya keletihan supaya ibunya dapat tidur” .

 

Rupa-rupanya ibu tersebut mengalami masalah takut untuk tidur. Ibunya risau beliau tidak akan bangun lagi jika tidur kerana sudah pun berumur 90 tahun. Adakalanya 3 hari tidak tidur malah pernah tidak tidur selama 2 minggu. Pendek kata saya menganggap ibunya mengalami depression.

 

Refleksi yang datang ketika itu. banyak sungguh perkara yang boleh disyukuri sebagai orang islam. Banyak ayat di dalam Al-Quran yang bercerita tentang dunia ini bersifat sementara. Dunia ini hanya senda gurau dan sandiwara malah akhirat adalah tempat kita yang abadi.

 

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?” (Surah Al-An’Am ayat 32)

 

Betapa beruntungnya kita dilahirkan sebagai muslim dan sentiasa diberi peringatan demi peringatan tentang kehidupan dunia dan akhirat. Tetapi adakah kita semua mengambil iktibar dari peringatan tersebut.

Kita sanggup membiarkan hati dan akhirnya diri berpenyakit kerana takut melepaskan dunia . Kita sanggup biarkan diri mengalami hidup dalam keadaan stress dan sampai ke tahap depresi kerana terlalu taksub dengan dunia.

 

Ambillah dunia sekadarnya. Saya tidak mengatakan bahawa kita tidak perlu memiliki harta. Carilah kekayaan yang diinginkan tapi jangan sampai ianya melekat di hati. Ketika ALLAH pinjamkan harta tersebut jagalah sebaiknya tetapi sekiranya ia perlu dilepaskan, lepaskanlah dengan hati yang tenang kerana tiada apa pun yang pernah menjadi milik kita semuanya pinjaman. ALLAH itu Yang Maha Mencukupkan. DIA ambil semula apa yang dipinjamkan tetapi pasti diganti dengan yang lebih baik. Yang penting jaga hati dan jangan biarkan mata hati tertutup rapat sehingga tidak mampu melihat setiap kebaikan yang ALLAH berikan kepada kita.

 

Jangan rosakkan hati sendiri. Seperti yang saya ada nyatakan di dalam ebook ‘terapi rezeki’ sekiranya ditanya apa yang paling penting untuk saya jaga, jawapan saya cuma satu iaitu HATI kerana jika hati terjaga kebahagiaan itu datang secara autopilot kepada diri kita.