Hidup adalah pilihan, pilihlah yang membahagiakan
Alhamdulillah kerana diizinkan ALLAH untuk terus berkongsi cerita bersama sahabat Terapi Kekayaan semua. Saya doakan semoga kita semua dibuka kesedaran dan dicelikkan hati supaya mampu melihat hal-hal positif yang berada disekeliling kita.
Seperti mana yang kita semua tahu tiada yang buruk ALLAH berikan kepada kita tetapi terpulang bagaimana kita memberikan persepsi samada negatif atau positif di atas sesuatu kejadian tersebut.
Ketika kita diuji dengan masalah kesihatan, kita pasti mengeluh bila kita merasakan sakit itu menyusahkan disebabkan sakit kita tidak dapat buat apa-apa, mungkin apa yang dirancang sebelum ini terbengkalai.
Tetapi jika kita mampu melihat hikmah disebalik kesakitan kita pasti mampu dan redha untuk menerima sakit tersebut. Contohnya kita boleh melihat sakit itu sebagai satu peringatan ALLAH bahawa kehidupan ini sementara dan tidak kekal pasti kita rasa bertuah kerana ALLAH sentiasa memberi peringatan kepada kita tentang kematian.
Mereka yang lebih celik hatinya mungkin melihat sakit ini sebagai penghapus dosa, apa sangat sakit di dunia asalkan bahagia di akhirat nanti kerana itu mereka sanggup bersabar dan redha dengan ketika ditimpa ujian. Apa pun hidup ini adalah satu pilihan jadi pilihlah jalan atau cara yang mampu membuat kita rasa bahagia.
Kita juga sentiasa diuji dengan masalah kewangan. Bagi sebahagian dari kita masalah kewangan ini memberikan kesan atau impak yang lebih teruk dari masalah kesihatan.
Rentetan disebabkan oleh masalah kewangan ini kita ditimpa dengan pelbagai penyakit. Kerisauan, ketakutan, kesedihan, kemarahan dan pelbagai emosi negatif yang hadir mengakibatkan hadirnya pelbagai penyakit fizikal. Apabila spiritual kita bermasalah fizikal kita juga pasti bermasalah.
Secara fizikal ketika kita diuji dengan masalah kewangan dan kita merasakan kewangan kita yang bermasalah, tetapi sekiranya kita lihat dengan lebih mendalam ianya masalah hati. Ketika diuji sejauh mana hati kita meyakini bahawa rezeki itu sentiasa ada untuk kita. Sejauh mana keyakinan kita bahawa ALLAH sentiasa menjamin rezeki kita.
Jika hati kita penuh dengan rasa keyakinan dan tauhid kita mantap pasti tiada rasa risau, sedih , malu atau emosi-emosi lain yang tidak membantu menyelesaikan masalah kewangan kita. Ya kita sentiasa ada pilihan untuk memilih dan pastikan pilihan yang kita lakukan itu membantu kearah kehidupan yang yang lebih bahagia. Apa pun pilihan yang kita lakukan, secara tidak sedar itulah prasangka kita kepada ALLAH.
Hadits abu hurairah r.a. ia berkata rasulullah saw.bersabda: “Allah berfirman: ‘Aku berada pada sangkaan hamba-Ku, Aku selalu bersamanya jika ia mengingat-Ku, jika ia mengingat-Ku pada dirinya maka Aku mengingatnya pada diri-Ku, jika ia mengingat-Ku dalam suatu kaum, maka Aku mengingatnya dalam suatu kaum yang lebih baik darinya, dan jika ia mendekat kepada-Ku satu jengkalmaka Aku mendekat padanya satu hasta, jika ia mendekat pada-Ku satu hasta maka Aku mendekat padanya satu depa, jika ia datang kepada-Ku dengan berjalan kaki, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari.”
wangsa says:
Alhamdulillah.
Thank you so much Sis Lin!