DIA bersama kita


Spread the love

 

Alhamdulillah, bersyukur kerana masih diizinkan ALLAH untuk terus berkongsi bersama sahabat semua. Semoga walau di mana kita berada kita sentiasa bahagia dan gembira di bawah pemeliharaanNYA.

ALLAH telah menciptakan manusia dengan penuh kesempurnaan supaya manusia menjadi wakilnya untuk mentadbir dunia ini. Sekiranya kita kaji, kita teliti dengan sebaiknya , manusia sentiasa menginginkan kecantikan dan keindahan, ingin dipandang mulia, ingin dipandang dengan penuh kehebatan. Semoga kita semua sentiasa ingin menjadi yang terbaik disisi ALLAH kerana itulah yang sebaiknya untuk kita sebagai hambaNYA.

Itulah hakikat kita sebagai seorang manusia. Inilah jiwa yang ditakdirkan oleh ALLAH kepada kita sebagai seorang manusia. Itulah suara hati yang ditiupkan oleh ALLAH ke dalam jiwa kita sebagai seorang manusia.

Tidak salah sekiranya mempunyai cita-cita yang besar, tidak juga menjadi satu kesalahan sekiranya mempunyai impian untuk hidup dalam penuh denga kemajuan. Kita tidak diciptakan untuk rebah. Kita juga tidak diciptakan untuk kalah. Kita juga tidak diciptakan untuk menjadi seorang yang penuh dengan kekecewaan .Malahan kita diciptakan supaya menjadi wakil ALLAH bagi memajukan dan memakmurkan bumi, kerana itulah manusia dikenali sebagai Khalifah ALLAH.

ALLAH sentiasa berada dekat bersama kita. Sentiasa mendampingi kita. Malahan lebih dekat daripada urat nadi kita. ALLAH akan sentiasa bersama , dan sentiasa menginginkan kita berjaya.

Sekiranya ketika ini kita jatuh atau gagal, sedarlah bahawa masih banyak ilmu ALLAH yang tidak kita ketahui.

“Katakanlah (Muhammad),Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku,
meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).”
(QS 18 Al Kahfi ayat 109)

Pelajari kesalahan atau kesilapan tersebut, cari punca atau jawapan yang sebenar mengapa kita gagal.Bangkitlah usaha untuk seterusnya, kerana ALLAH yang maha agung dan maha penyayang sentiasa menunggu kejayaan dan kemenangan kita, kerana ALLAH terlalu mencintai kita sebagai hambaNYA.

“Sesungguhnya , telah kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik acuan” (Surah At Tiin, ayat 4.)