Tips bahagia, Jaga kondisi hati


Alhamdulillah, rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat tahun baru 2018 kepada sahabat pembaca semua.Saya doakan semoga sahabat semua berada di dalam keadaan tenang dan memiliki hati yang sihat dan bahagia.

Mengapa hati? Ini kerana keadaan hati kita bakal menentukan bagaimana keadaan kehidupan kita. Hati yang sihat dan bahagia bakal menjadikan kehidupan yang bahagia dengan izin ALLAH. Begitu juga sebaliknya, jika kita memiliki hati yang penuh dengan ‘zulumat’ kehidupan kita juga tidak akan bahagia.

Bercerita soal kondisi hati salah satu punca yang menyebabkan hati kita tidak bahagia ialah keinginan untuk memiliki. Keinginan untuk memiliki sesuatu yang dipinjamkan dan bukan milik kita akan membuatkan kita sakit terutama ketika kita perlu melepaskannya. Tiada apa yang menjadi milik kita sepenuhnya kerana apa yang ada di dunia ini segalanya pinjaman.

Jangan salahkan sesiapa sekiranya ketika ini kita sakit dan mungkin berlaku depresi kerana secara sedar atau tidak itu adalah pilihan kita sendiri seperti.

Kita inginkan penghargaan dan dipandang tinggi oleh orang lain, apabila kita rasa sukar untuk mendapatkannya pelbagai kesakitan emosi yang hadir, rasa kecewa, sakit hati dan pelbagai emosi lagi yang menjurus kepada rasa tidak bahagia.

Sekiranya ada yang mengalami situasi seperti yang saya kongsikan di atas mohon ambil tanggungjawab. Jangan sesekali merasakan anda adalah mangsa kerana setiap apa yang berlaku adalah pilihan sendiri.

Banyakkan memberi, jadikan ia satu latihan untuk ‘ detach’ dengan sesuatu yang sememangnya bukan milik kita.

walaupun menerima akan membuat diri gembira tetapi dengan memberi ia akan membuat diri menjadi lebih bahagia.

Semoga 2018 menjanjikan kehidupan yang lebih baik untuk kita semua.