Diari terapi- Tahu tetapi tidak sedar


Meneliti catatan jurnal refleksi membuatkan hadirnya rasa sebak. Ada beberapa kes yang saya bantu selepas selesai sessi terapi saya akan mencatatkannya untuk dijadikan refleksi diri ( tidak kesemuanya) mengapa saya perlu ada jurnal seperti tersebut? Itulah cara bagaimana untuk saya memperbaiki diri dan kehidupan sendiri kerana sesiapa pun yang hadir dalam hidup adalah mediator yang ALLAH hadirkan untuk menjadi cermin kepada diri dan kehidupan.

Antara masalah besar yang majoriti dialami oleh individu yang pernah saya bantu iaitu,pertama, ‘tahu tetapi tidak sedar’ dan masalah kedua berada di level victimhood atau dalam kata lain sentiasa menjadikan diri sebagai mangsa. Dari mana datangnya punca kepada masalah tersebut? Ianya datang dari keegoan yang cukup tinggi.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘tahu tetapi tidak sedar’ , kita tahu ALLAH itu sentiasa memberikan yang terbaik dan sempurna kepada hambaNYA, tetapi kita tidak pernah sedar pun akan kebaikan dan kesempurnaan yang ALLAH telah berikan, buktinya, kita banyak mengeluh, sukar untuk bersyukur.

Kita tahu ALLAH itu sentiasa ada dan memberi jaminan rezeki kepada kita, tetapi kita tidak pernah sedar, kerana itu bila wang kita semakin berkurang hidup kita menjadi gelisah, keluh kesah dan marah-marah. Sekiranya anda membaca coretan jom sama-sama kita lakukan refleksi adakah situasi ini pernah berlaku kepada diri sendiri.Jika ya jom sama-sama kita istigfar.

Bagaimana pula dengan berada di level victimhood atau merasakan diri adalah mangsa? Contoh mudahnya, kita bersedih dengan masalah yang dialami, kita meletakkan kesalahan itu kepada orang lain yang menyebabkan diri bersedih.Kita marahkan orang lain di atas kesusahan diri yang dialami. Kenapa kita tidak sendiri yang bertanggungjawab di atas setiap masalah yang dialami.

Adakalanya kita inginkan orang menjaga hati kita supaya tidak terluka, mengapa tidak kita sendiri yang mengambil tanggungjawab untuk menjaga diri dari dilukai? Atau mengapa tidak kita mengambil tanggungjawab untuk merawat hati yang luka? Fokus pada penyelesaian adalah lebih baik daripada fokus kepada masalah. Jom sekali lagi kita sama-sama lakukan refleksi sekiranya kita berada di situasi tersebut, sama-sama kita bangkit dari kelukaan itu dengan mengambil tanggungjawab atas setiap masalah yang berlaku.