Imbasan semalam- Maafkanlah..


 

 

Alhamdulillah, dengan izin ALLAH semalam sahabat-sahabat yang menghubungi saya untuk bantuan lebih ramai dari biasa dengan pelbagai isu yang berbeza. Ada yang memang memerlukan bantuan terapi terutama yang mempunyai masalah emotional pain sehingga sukar untuk ‘move on’ dengan izin ALLAH saya membantunya dengan terapi.

Ada juga saya hanya membantu dengan memberikan saranan dan cadangan untuk melakukan ‘task’ secara istiqamah kerana saya tahu masalah ini tidak akan selesai hanya dengan satu sessi terapi. Terutamanya mereka yang mempunyai masalah ‘scarcity’ atau sentiasa rasa tidak cukup . Duit dah ada tapi masih rasa tak cukup, ada duit tapi takut kehilangan duit sehingga datangnya kerisauan yang tidak berasas dan hidup terasa tidak selamat,kerana masalah itu pastinya datang dengan pelbagai punca yang berbeza.

Niat saya membantu dengan memberikan sessi terapi percuma supaya dapat merasakan perbezaan bagaimana keadaan diri kita setelah memaafkan dengan sebenar.

Ada yang kata sudah memaafkan tetapi tetap hadir rasa sedih, kecewa apabila diminta mengimbas kembali keadaan tersebut, itu bermakna diri masih belum memaafkan. Kadangkala mereka yang telah melukakan hati kita sudah pun meninggal dunia tetapi apabila diminta untuk mengenang kembali masih ada dendam,kesedihan dan kekecewaan yang ada pada diri. Perlukah kita berdendam kepada mereka yang telah pergi lebih-lebih lagi mungkin dia itu ibu atau bapa kita sendiri ( kisah benar melalui pengalaman yang telah saya bantu).

Memaafkan bukan sekadar ucapan, memaafkan juga bukan sekadar di fikiran. Memaafkan itu perlu datang dari hati yang dalam dan seikhlasnya seterusnya dibuktikan dengan tindakan. Iaitu anda semakin gembira, semakin bahagia lebih-lebih lagi bila mengingati semula kejadian tersebut, kita mampu senyum dengan rasa syukur kerana yakin pasti ada hikmah disebalik yang berlaku.

Apa pun saya ucapkan terima kasih kepada sahabat yang mengizinkan saya menjadi ‘asbab’ dengan izin ALLAH untuk membantu. Segala kesembuhan dan perubahan yang positif, segalanya datang dari ALLAH.