Sama, bersatu dan saling berhubung


Hidup berkeluarga pastinya tidak lepas dari ujian.Adakalanya diuji dengan masalah kewangan, termasuklah diuji dengan suami atau isteri yang hilang pendapatan.

Malah pastinya terlalu banyak ujian yang perlu dilalui selagi kita hidup di dunia ini kerana sememangnya selagi kita hidup akan sentiasa diuji.

Terdapat beberapa sahabat yang diuji dengan suami hilang punca pendapatan kerana masalah kegawatan ekonomi. Isteri perlu mengambil tanggungjawab untuk menyara pendapatan keluarga. Ada beberapa isteri yang tertekan sehingga pernah ada keinginan untuk bercerai kerana merasakan beban yang terlalu besar kerana masalah kewangan ini.

Elak jadikan wang sebagai punca rasa tidak bahagia. Wang tidak bersalah tetapi hati sendiri yang bermasalah kerana

1.Kita lupa rezeki itu datang dari ALLAH, kita usaha sekuat mana pun jika ALLAH tidak izinkan pasti rezeki itu tidak datang.

2. Kita stress kerana tanpa sedar kita ego dan sombong kepada DIA kita rasa apa yang kita perolehi itu adalah usaha kita, bukan dari DIA.

3. Kita juga lupa di dalam rezeki yang kita perolehi itu bukan milik kita 100 peratus. Ada rezeki anak-anak , ada rezeki suami, malah adanya rezeki makhluk yang lain seperti kucing, anjing dan sebagainya.

4. Jadi lepaskan rasa memiliki tersebut, kerana sememangnya tiada apa pun yang kita miliki, semuanya ALLAH yang punya.

5. Jadi berlapang dada bila diuji, memberi dan berkongsi dengan tenang kerana ketenangan itu menunjukkan keyakinan kita bahawa rezeki itu datang dari DIA, semakin tinggi keyakinan kita semakin banyak rezeki yang kita perolehi.

6. Kita adalah sama, bersatu dan saling berhubung, semakin kita positif terhadap orang lain, sebenanya kita mendoakan sesuatu yang positif terhadap diri kita sendiri. Jadi sentiasa bersangka positif dan saling mendoakan kebaikan.