Diari Terapi – Sukar menyimpan wang


 

Bismillah..
Alhamdulillah, perkongsian seterusnya untuk menyambung perjalanan journey kita yang seterusnya. Sejak dari siang, terfikir untuk berkongsi tentang menjadi magnet kepada segala kebaikan dan merancang untuk berkongsi pengalaman ketika membantu mereka yang sukar membina hubungan baik dengan wang.

Sebenarnya dalam tempoh ini, saya sudah pun menemui pelbagai kes yang berbeza. Disebabkan ketika ini saya berada di luar kawasan, jadi segala catatan jurnal saya tinggalkan di rumah . Jadi untuk perkongsian ini, saya memilih satu kisah yang saya bantu dalam tempoh setahun atau 2 tahun yang lepas. Sebenarnya terdapat beberapa kes yang puncanya agak sama, tetapi memberi kesan yang berbeza.

Dalam lebih kurang setahun yang lepas, saya telah dihubungi oleh seorang sahabat , agak panjang juga perbincangan kami dan antara topik yang kami bincangkan ialah masalah kewangan yang telah beliau hadapi.

Sahabat kita ini, memiliki kelulusan yang agak tinggi, berpangkat dan Pendapatan yang beliau perolehi agak lumayan. Tiada komitmen hutang tetapi belum sempat hujung bulan wang sudah pun habis tak tahu kemana wang itu dibelanjakan. Situasi itu telah menyebabkan datangnya kerisauan sehingga wujud rasa takut bila berurusan dengan wang. Pendek kata duit yang diperolehi hanya singgah sekejap dan tidak mampu untuk menyimpan.

Secara ringkasnya dalam perbincangan saya dengan sahabat saya tersebut apa yang saya sentuh berkaitan dengan isu ketakutan dan kelukaan emosi .

Isu ketakutan- Tanpa sedar wujudnya attachment atau pergantungan terhadap duit sehingga hadirnya rasa takut. Sahabat kita ini telah mengalami masalah ketagihan wang. Ianya umpama mereka yang ketagihan dadah, apabila terputus bekalan, hidup jadi gelisah , stress dan marah-marah dan pelbagai lagi emosi yang negatif hadir.

Kelukaan emosi- Saya menjangkakan sahabat kita ini mengalami kelukaan emosi disebabkan wang, mungkin ketika dizaman kanak-kanak atau ketika di masa lalu, beliau pernah terluka akibat tidak memperolehi apa yang diinginkan?

Tiba-tiba sahabat kita ini menangis dan berkata ketika dizaman kanak-kanak banyak benda yang beliau inginkan tetapi sukar untuk beliau miliki jika dibandingkan dengan adik beradik yang lain.

Malah yang paling membuatkan beliau sedih, ketika sahabat lain ke sekolah dengan uniform baru, beliau hanya mendapat uniform lama yang pernah digunakan oleh abang beliau.Malah pernah beliau dengan sengaja merosakkan uniform sekolah, barulah ibunya membelikan uniform baru kepada beliau.

Disebabkan banyak kelukaan yang dialami ini juga menyebabkan beliau juga berusaha untuk menjadi seorang pelajar yang cukup cemerlang dalam akademik dan memiliki jawatan yang cukup hebat ketika ini.Mengapa? Kerana setelah berjaya, beliau berazam untuk keluar dari rumah dan bekerja di tempat yang jauh dari rumah, kerana diri rasa tidak disayangi oleh keluarganya.

Jadi dengan izin ALLAH saya membantu sahabat kita ini untuk berdamai dengan masa lalu beliau, kerana itulah punca utama penyebab kepada masalah kewangan tersebut.

Kelukaan itulah menyebabkan duit beliau mengalir seperti air,kerana kelukaan itu juga tanpa sedar beliau banyak membelanjakan wang malah adakalanya ia dibelanjakan untuk sesuatu yang tidak perlu, kerana itulah cara beliau untuk memenuhi keinginan masa lalu yang tidak dapat dimiliki iaitu dengan cara membalasnya ketika memiliki wang, banyak membeli sesuatu yang tidak perlu sehingga tiada simpanan kerana sukar untuk menyimpan wang.

Sahabat,sebenar banyak lagi punca yang menyebabkan kita sukar untuk membina hubungan kita dengan wang. Sudah tentu ianya datang dari peristiwa lampau. Sudah pasti kita sentiasa diuji dengan pelbagai ujian, namun ianya bergantung bagaimana kita menguruskan hati dan kehidupan kita.

Adakah anda pernah mengalami kelukaan disebabkan wang? Saya mengaku saya pernah melaluinya. Banyak juga air mata mengalir ketika cuba berdamai dengan kelukaan itu. Tetapi berbaloi kerana selepas itu aliran kewangan lebih baik dengan izin ALLAH. Jika pernah, boleh berkongsi di ruangan komen?

Insya ALLAH journey ini masih panjang, semoga saya sentiasa sabar untuk berkongsi dan sahabat bersabar untuk menunggu perkongsian seterusnya.