Kegawatan ekonomi, anda juga gawat?


 

Di sana sini banyak yang bercerita tentang ekonomi yang semakin merudum, duit semakin jatuh dan ramai dikalangan sahabat yang diberhentikan kerja atas alasan masalah ekonomi ini.

Sebenarnya sejak bulan lepas lagi saya ada berbincang dengan beberapa teman bagaimana solusi yang terbaik untuk menjalani kehidupan di dalam situasi sebegini. Terfikir pula saya untuk berkongsi pandangan saya tentang kegawatan ini bersama teman di group ini.

Ada yang mengatakan kita perlu berjimat cermat bagi menangani masalah ini. Ya, pendapat ini benar jika kita berjimat cermat dengan mindset yang BERKELIMPAHAN, bukan dengan mindset scarcity atau kekurangan. Sekiranya kita berjimat cermat dengan mindset yang penuh kekurangan ia memberikan kesan yang lebih teruk kepada ekonomi.

Pada pendapat saya isu kegawatan ekonomi ini adalah manifestasi kasih sayang ALLAH kepada semua hambaNYA. Sekiranya kita fahami apakah mesej yang tersirat disebalik kegawatan ini, pasti masalah ini dapat diatasi.

Pada situasi inilah sebaik-baiknya kita menyebarkan energi kasih sayang kita sesama manusia dan makhluk yang lain kerana masalah ekonomi ini hanya dapat diatasi dengan lebih banyak MEMBERI dengan penuh kasih sayang.

Memberilah dengan penuh keyakinan bahawa ALLAH sentiasa memberikan rezeki yang terbaik untuk kita.

Memberilah dengan mindset yang penuh berkelimpahan bahawa rezeki yang ALLAH tentukan sentiasa berkelimpahan dan tidak pernah berkurang.

Memberilah dengan penuh rasa cinta dengan keyakinan bahawa cinta ALLAH itu amat luas kepada semua hambaNYA.