Refleksi Lockdown 39


Spread the love

Perkongsian refleksi yang ke 39, sebelum saya meneruskan perkongsian refleksi saya hari ini, saya ucapkan terima kasih kepada beberapa orang sahabat yang menghubungi saya untuk bersama-sama dalam kelas bimbingan dan terapi untuk kemakmuran. Disebabkan sudah ada yang mendaftar jadi saya menetapkan kelas dijalankan pada minggu hadapan iaitu pada 15/7 namun ianya masih tertakluk pada perbincangan bersama peserta untuk tarikh yang paling sesuai. Jadi jika ada dikalangan sahabat yang berminat masih boleh hubungi saya untuk pendaftaran.

Ketika ini jam menunjukkan 3.38 pagi. Pagi ini saya terjaga lebih awal dari biasa selepas melakukan beberapa aktiviti personal tadi, tiba-tiba saya teringatkan kisah yang berlaku pada minggu lepas, di mana seorang suami meminta saya membantu beliau menyelamatkan rumahtangganya kerana isteri beliau telah meminta perceraian. Selepas saya meneliti situasi yang berlaku saya mengambil keputusan TIDAK membantu beliau.

Sebenarnya ini bukan kali pertama saya menolak untuk membantu. Malah ada beberapa kes yang telah saya tolak walaupun ada yang menghubungi saya dengan tangisan. Apa yang saya boleh lakukan ketika itu membantu membersihkan emosi-emosi yang mengganggu supaya beliau merasa lebih tenang.

Wahai lelaki yang bergelar suami, jika selama ini anda terlalu banyak melukakan hati isteri, menganiaya dan menyakiti hatinya dengan kata-kata atau tindakan sehingga isteri mengambil keputusan untuk berpisah dan memfailkan pemceraian jangan sekali-kali menghubungi saya untuk meminta bantuan.

Saya menolak untuk membantu kerana beberapa alasan;

Pertama, saya tidak dapat mengubah hati seseorang, kecuali isteri itu sendiri yang datang dengan rela untuk dibantu.

Kedua, walaupun saya dianggap tidak membantu menyelamatkan masjid yang hampir roboh, jawapan saya cukup mudah, tidak guna saya menyelamatkan masjid sekiranya masjid itu tidak harmoni. Dari segi fizikal, nampak terbina indah tetapi realiti di dalamnya kosong kerana wabak. Itu perumpamaannya dengan situasi pandemik sekarang ni.

Ketiga, ini adalah alasan yang paling utama, saya tidak sesekali menganiaya kaum saya sendiri iaitu kaum wanita, semata-mata kerana wang. Mengapa saya menganggap ianya satu penganiayaan?

Wahai sang suami, adakah usaha untuk menyelamatkan rumahtangga anda kerana cinta atau kemelekatan disebabkan oleh EGO anda sendiri? Ketika isteri berada di sisi anda lukakan dan sakitkan hatinya. Anda menganiaya isteri dan kata-kata dan tindakan yang mengguris hati. Sehingga sampai ke satu tahap isteri anda menuntut perpisahan dan perceraian.
Jika sudah sampai ketahap menuntut perceraian itu apa maksudnya? Dia sudah cukup menderita adakah anda rasa masih ada cinta dihatinya?

Jika anda betul-betul mencintai isteri, apa yang penting adalah kebahagiaan isteri anda. Jika isteri sudah tidak bahagia lagi bersama , mengapa perlu dipaksa untuk tinggal dan hidup bersama anda? Bebaskan isteri anda untuk mencari kebahagiannya sendiri. Kerana cinta yang sebenar bukanlah satu paksaan atau adanya keinginan untuk mengawal.

Cinta yang sebenar adalah membebaskan, cinta yang sebenar adalah meletakkan kebahagiaan orang yang dicintai sebagai keutamaan .Anda gembira apabila melihat orang yang dicintai itu bahagia. Cinta yang sebenar tidak mementingkan diri sendiri. Hanya ego dan kemelekatan yang mementingkan diri sendiri.

Jadi wahai sang suami, jika selama ini terlalu banyak penganiayaan yang telah anda lakukan terhadap isteri. Dan jika anda benar-benar mencintai isteri anda, Berilah ruang untuk isteri mencari kebahagiaan. Jika benar jodoh masih panjang dan masih ada cinta dihati, pasti isterimu kembali bersama. Doakan kebahagiaan untuknya.
Jangan dipaksa isterimu menderita kerana kehendak dan egomu sendiri. Jangan sesekali keliru dan tidak dapat membezakan cinta dan ego anda sendiri.

Adakah saya kejam kerana tidak membantu menyelamatkan masjid yang hampir roboh? Jawapan saya cukup mudah. Tindakan saya mengikut apa yang saya percaya. Jadi apa jua tanggapan orang kain terhadap diri saya, itu mewakili diri mereka sendiri. Apa yang penting hati saya bahagia dan sudah pastinya saya meletakkan cinta sebagai satu keutamaan yang perlu saya pertahankan.

Tinggalkan komen , feedback dan sebagainya sebagai pertukaran energi untuk perkongsian yang seterusnya.

Cinta kasih setulusnya & semua makhluk berbahagia

#linncomel
#terapikekayaan
#terapikehidupan