Refleksi kehidupan 6


Spread the love

Perkongsian refleksi kehidupan 6, teringat saya pada salah satu ungkapan Jalaludin Al-Rumi katanya jika ada ranting yang patah atau daun yang gugur, jika akar masih kuat, pohon tetap akan tumbuh.

Katanya lagi, Jika kehidupan yang sedang dilalui ketika ini jauh menyimpang, rawatlah dengan cinta, kerana cinta itu menghidupkan jiwa yang mati.

Dalam melalui kehidupan ini, kita pasti menemui pelbagai ragam manusia. Sehingga adakalanya hilang kesabaran kerana karenah yang pelbagai.

Tetapi situasi seperti itu tidak seharusnya berlaku. Tidak perlu bersabar pun dengan sikap dan karenah itu. Tetapi cukuplah dengan kita memiliki hati yang berbelas kasih, memahami dan berempati dan tidak merasa diri lebih baik dari mereka.

Kerana bahagian kita yang melihat bukanlah menilai tentang pelbagai karenah dan sikap itu. Namun sentiasa bertanya kepada diri, apakah pelajaran yang diperolehi dari pengalaman ini.

Mereka yang datang hanyalah perantara untuk kita sentiasa belajar dan terus belajar tentang kehidupan. Ketika kita marah, sakit hati dan sebagainya dengan karenah mereka, Inilah masanya untuk kita merawat hati kita sendiri.

Seharusnya bukan kita berprasangka terhadap mereka, tetapi perlu berterima kasih kerana dengan kehadiran merekalah kita mempunyai kesempatan untuk memperbaiki diri dan menurunkan ego diri.

Sentiasalah kita berusaha untuk membersihkan ego dan diberikan hati yang penuh dengan cinta, belas kasih, mampu memahami, mengerti dan berempati terhadap orang lain tidak kira dalam apa jua situasi.

Saya hebat dan anda juga hebat, Cinta kasih setulusnya & semua makhluk berbahagia.

#linncomel
#terapikekayaan
#terapikehidupan