Ada apa dengan cinta

12

Category : Cabaran

Salam perkongsian untuk semua. Sambutan Tahun Baru Cina dan Valentine Day diraikan pada hari yang sama. Namun saya tidak berniat untuk berkongsi mengenainya. Apa yang ingin saya kongsikan ialah ada apa dengan cinta ? dan benarkah cinta itu buta ? kalau iya pun cinta itu buta adakah cinta turut membutakan mata kita ?

Saya bukannya doktor cinta apa lagi pakar cinta, hanya membicarakannya menurut pandangan dan pemahaman saya. Bagi saya cinta itu sangat abstrak. Sehingga banyak misteri yang muncul di ruang minda kita. Salah satunya ialah erti cinta itu sendiri. Bagi saya sendiri terdapat beberapa komponen penting dalam cinta. Komponen yang saya maksudkan ialah perasaan suka dan sayang. Komponen inilah yang menjadi sumber dari mana cinta itu datang.

Perasaan Suka – rasa suka adalah perasaan ingin memiliki, ingin menguasai, gelisah kerana rindu dan cemburu.

Ingin memiliki dan menguasai, bila kita menyukai seseorang, kita akan mempunyai keinginan untuk memiliki dan menguasai dengan kata lain kita tidak ingin orang lain yang memilikinya.

Gelisah kerana rindu dan cemburu.Perasaan rindu yang kuat kerana didasari rasa sayang. Rindu merupakan rasa ingin berjumpa antara satu sama lain, ingin mendengar suara atau terkadang hanya sekedar ingin tahu khabar atau keadaan orang yang dirindukan. Aneh kan….? Kadangkala bila kita merindui sesorang kita akan mencari pelbagai alasan untuk bersms, berhubung melalui telefon bahkan keluar untuk berjumpa . Bak kata orang tak dapat melihat wajahnya hanya mendengar suara sudah mampu mengubat kerinduan di hati. Sehari kita tidak bersua atau mendengar suara, rasanya har-hari kita tidak sempurna dan menyeksakan.

Rasa rindu akan mengundang rasa gelisah. Kegelisahan inilah yang nanti akan menjadi ketakutan atau rasa tidak ingin kehilangan seseorang yang kita cintai. Rasa takut ini jugalah yang nantinya menyebabkan munculnya perasaan cemburu. Kata orang cemburu tu tandanya sayang dan menjadi ramuan penting dalam alam percintaan. Kerana apabila sudah tidak ada lagi perasaan cemburu, maka orang sudah tidak takut lagi untuk kehilangan. Kalau tidak ada rasa takut maka tidak ada kegelisahan dan tidak ada rindu. Apabila rindu sudah tidak ada, rasa takut untuk kehilangan pun tidak wujud maka rasa sayang hanya tinggal kata-kata yang mudah untuk diucapkan namun sukar untuk dibuktikan. Apa pun cemburu itu perlulah berpadah-padah kerana rasa cemburu yang keterlaluan dikhuatiri akan membunuh sesebuah perhubungan. Berilah sedikit kepercayaan. Tanpa kepercayaan mana mungkin sesebuah perhubungan dapat berjalan dengan lancar.

Perasaan Sayang – rasa sayang adalah rasa yang muncul dari hati, yang berupa dorongan yang kadangkala cenderung memaksa kita untuk ‘melindungi’, ‘menghormati’, ‘menghargai’, ‘mengasihi’, ‘menolong’, ‘menemani’, dan banyak lagi perasaan yang lainnya.

Melindungi adalah perbuatan yang kita lakukan agar orang lain merasa aman dan selamat dari gangguan apapun yang mungkin terjadi di sekitarnya. Banyak cara untuk mencurahkan perasaan melindungi, salah satunya dengan cara memberi perhatian, nasihat atau peringatan kepada orang tersebut. Namun lakukanlah dengan wajar. Kerana dikhuatiri perhatian kita itulah yang membuat kan orang lain merasa terancam …..

Menghormati dan menghargai, perasaan ini akan menjadi cerminan diri kita terhadap pandangan orang yang kita sayangi. Apa bila kita menyayangi orang lain kadangkala kita tidak dapat menghormati atau menghargai orang tersebut maka akan terjadi konflik yang nantinya menjadi penghalang munculnya rasa sayang.

Mengasihi adalah keinginan kita untuk memberi atau mengorbankan sesuatu kesenangan atau kebahagian untuk orang yang kita sayang. Bagi kita kebahagiaannya adalah kebahagiaan kita juga.

Menolong dan menemani, untuk yang satu ini biasanya banyak kita jumpai dalam persahabatan. Orang yanga bersahabat biasanya rela mengorbankan sesuatu yang dimilikinya untuk menolong atau menemani sahabatnya. Kita sering menyatakan suatu saat nanti mungkin suatu hari nanti kita akan memerlukan pertolongan mereka dan susah bersama-sama lebih indah bila dibandingkan senang sendirian.

Perasaan lain yang juga termasuk dalam kategori sayang adalah seperti: ‘segan’, ‘malu’, ‘saling percaya’ dan masih banyak lagi. Rasa sayang seperti inilah yang membuat kita terkadang ‘takut kehilangan’ orang yang kita cintai.

Kita tidak perlukan alasan untuk menyintai seseorang kerana hadirnya tanpa diduga dan diminta dan perginya tanpa perlu diusir. Cinta ada di mana-mana diruang dunia ini. Dalam mengharungi cinta terdapat pelbagai adunan perasaan. Cemburu, bimbang, gembira, sedih dan pelbagai rasa menyulam perasaan. Cinta sebenarnya mengajar kita menjadi seorang yang tabah bila kita kesakitan dan kecewa kerananya tetapi cinta juga membuat kita bahagia apabila kita gembira dengannya.

Cinta juga tidak bermakna memiliki tetapi melihat orang yang kita cintai berbahagia sudah memadai untuk kita meski zahir tak terucap dan kita perlu memendam sebuah perasaan. Uniknya perasaan cinta.

Walau banyak mana pun tafsiran cinta terserahlah kepada kita untuk mengemudinya tanpa melangkaui batas-batas yang telah digariskan.

Sebelum mengundurkan diri, ingin saya kongsikan doa yang banyak manfaatnya untuk kita dalam melayari cinta. Mungkin ada diantaranya yang tahu tetapi bagi mereka yang terlepas pandang akannya, marilah sama-sama kita menghayatinya.

Ya Allah jika aku jatuh cinta
Cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMU
agar bertambah kekuatanku untuk menyintaiMU

Ya Muhaimin jika aku jatuh hati
izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMU
agar tidak aku terjatuh dalam jurang cinta nafsu

Ya Rabbana jika aku jatuh hati
jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling daripada hatiMU

Ya Rabbul Izzati jika aku rindu
rindukanlah aku pada seseorang yang merindu syahid di jalanMU

Ya ALLAH jika aku menikmati cinta kekasihMU
janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMU

Ya ALLAH jika aku jatuh hati pada kekasihMU
Jangan biarkan aktu tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMU

Ya ALLAH jika kau halalkan aku merindui kekasihMU
jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMU

Salam Hormat
- Ima Harlina -

Comments (12)

Salam,

Satu perkongsian panjang lebar yang hebat berkaitan cinta , kasih dan sayang. Terpaku setelah membacanya. Terima kasih atas perkongsian hebat ini.

ingin berkongsi sesuatu tentang Hati dan Cinta

Tajuk: Raja Dunia
siapa kita tampa hati,
tiada cinta tampa perasaan,
bagai kain putih yang menyelaputi,
menghangat tubuh setiap kehidupan,
meratap dan merintih sendiri,
sayup ditelinga jiwa dibelantan,
hidupnya cinta setelah mati,
apabila putih mempunyai teman,
raksa cinta menutup mimpi,
bangkit kursani mendokong tangisan,
pintu dikunci membelah bumi,
hilang golongan berjabat tangan,
bangsa diangkat dari hati,
Raja Dunia menjulang insan.

Dari: Mansor

Salam membebel.net

Harta itu makin lama didiamkan makin bertambah usang sedangkan ilmu itu tidak akan lapuk dan dimamah usia.

Hi Mansor,

Terima kasih di atas perkongsian yang diberikan.Mana mungkin kemuliaan diraih dengan kesombongan. Kemuliaan diraih justru dengan ketundukkan & kerendahan hati.Semua orang mesti mati tetapi cinta tak dapat dikuburkan kerana tidak ada kubur yang dapat membatasi antara cinta yang mati dan cinta yang hidup. :neutral:

Ada sesuatu yg indah dengan cinta,tak tertulis dgn tinta kerana ianya sebuah rahsia yg akan dirasai oleh individu yg dilamun cinta itu sendiri.Untuk mengetahui cinta masuklah ke alam percintaan tak kiralah cinta pada apa sekali pun.Tapi di alam dunia ini cinta pada lawan jenis adalah anugerah cinta Agung.Kejadian Adam …dan Hawa menjadi saksi..betapa mulianya Cinta..sekadar ini dahulu buat kali ini.Jumpa lagi..Slm

Salam,
Cinta itu seperti seni yang indah dan agung. Berbahagialah mereka yang pernah mendapatkannya, meskipun tidak abadi.

Jadi ketika cinta memanggilmu, dekatilah ia walau jalannya terjal berliku. Jika cinta memelukmu, dakaplah ia walau pedang disela sayapnya melukaimu.

Semoga kita sama-sama dapat mencintaiNYA, seumpama kita yang sentiasa dicintaiNYA.

Salam…

Cinta untuk Ibu

sentiasa ia basah,
dengan kasih dan sayang,
umpama embun pagi yang indah,
mengungkap hukumnya alam,
tentang lahiriah insan,
hanya padamu ibu tersayang,

sentiasa ia panas,
dengan cinta dan harapan,
umpama mentari penyinar alam,
memeluk setiap tubuh dengan rela,
membakar diri tampa paksa,
kau hangus dengan sayangmu,
sedangku mekar dengan abumu,
wahai ibuku,

terkadang ia bisa,
dengan hakikat dan hikayat,
menghiris hati berkecai mati,
setiap lafazmu ada aku,
tiada lafazku semuliamu,
tertanam segar disanubari,
untukku wahai ibuku,

wahai ibuku,
ampunilah dosa anakmu,
yang sentiasa mengalirkan air mata sucimu,
ampunilah dosa anakmu,
yang sentiasa mengganggu tidurmu,
ampunilah dosa anakmu,
yang sentiasa mengusik hatimu,
walaupun engkau dialam sana,
ampunilah aku wahai Ibu…

Salam Linn,

Sering kali manusia hanya menghitung kesulitannya – bukan kebahagiaannya.
Ketika tiba saat perpisahan janganlah kita berduka, sebab apa yang paling kita kasihi darinya mungkin akan nampak lebih nyata dari kejauhan – seperti gunung yang nampak lebih agung terlihat dari padang dan dataran. :smile:

Hi Ramlee,

Emm memang betul kadangkala cinta itu tak terucap dan terungkap dek kata-kata. Tiada kata secantik bahasa yang dapat menggambarkannya dalam erti kata sebenar. Kadangkala ia hanya mampu untuk dirasai dan dinikmati tapi kenikmatan dan kegembiraan yang dikecapi kadangkala membuatkan lidah kelu untuk menterjemahkannya.

Cintailah dia hanya kerana ALLAH dan bukan hanya kerana suatu tujuan duniawi. :smile:

Hi Mansor,

Terima kasih dengan titipan yang diberikan. Diharap ianya akan menyuntik rasa kesedaran bagi mereka yang terlupa atau buat-buat lupa sesungguhnya Kasih ibu membawa ke syurga……

Perasaan kasih, cinta dan sayang tidak terbatas…ianya amat luas seluas alam cinptaanNYA. Hanya kita yang membataskannya dari terus subur untuk menjamah dan menyelesuri hati kita.

Cinta…tiada akhirnya

direntap kasih jiwa ini
sinar mata menusuk hatiku
tak terlepas dek sanubari
takkan terungkai ikatan sejati

Namun kesempurnaan masih bertatih

Gelombang jiwa musykil angkara
pasukan nista adat dunia
menerobos rakus diruang minda
resah dan gundah mencalar rencana

Dan terus ku tatap bayang rindu

Ku gagahi setiap gelagat
ku pohon doa kurniaan iradat
kutetapkan hati lorongan iradat
kasihmu ku paut ku peluk erat

kini resah menghilang, rindu mendatang

Persada cinta seteguh dunia
resapan rindu usapan bayu
kasih membara sinaran mutiara
ku yakini dirimu bernafas cintaku

ku rela
cinta tiada akhirnya :wink:

sekadar berkongsi..

Ya Allah
Kurniakan daku cintaMu
Kurniakan aku cinta insan yang mencintaiMu
Kurniakan aku cinta apa saja yang mampu menghadirkan cinta kepadaMu
Jadikanlah cintaMu lebih kudambakan dari seteguk air yang dingin

Amin

Ynalin,

Terima kasih di atas perkongsiannya, semoga kita semua bertemu cinta yang didambakan dan biarkan ia bertamu dikalbu.

Post a comment