Alhamdulillah kerana masih diberi kesempatan untuk berkongsi cerita bersama sahabat pembaca semua. Terasa amat sekejap kita sudah pun masuk bulan keenam 2010 iaitu bulan Jun.
Datang terdetik dalam fikiran , apakah manfaat yang telah saya perolehi pada tahun 2010 yang sudah pun sampai ke pertengahan tahun dari segi fizikal, emosi dan spiritual.
Banyak juga cubaan, cabaran yang dihadapi, malah saya hampir hanyut dengan cubaan dan dugaan tersebut, terutama dan segi kesihatan dan emosi. Alhamdulillah selepas saya cuba melihat kembali apa yang ada dalam diri,saya menganggap ianya bukanlah satu masalah tetapi hanya satu ujian yang perlu saya hadapi bagi meneruskan kehidupan yang lebih baik.
Kita sentiasa di suruh berfikir besar, bagi mencapai kejayaan yang lebih besar. Namun adakah di antara kita yang membesarkan diri dalam menghadapi masalah?
Tidak kira dimanakah level diri kita, betapa hebatnya diri kita, kita masih tidak dapat lari dari masalah. Masalah masih perlu kita hadapi, tetapi apa yang kita perlu fokus adalah bagaimana kita memandang masalah,seperti yang pernah dikongsikan oleh sebelum ini oleh Ima harlina pada perkongsian yang lepas.
Bila saya mengatakan kita perlu membesarkan diri dari masalah itu bukan bermakna kita perlu bersingkap angkuh atau bongkak. Tidak, bukan itu yang saya maksudkan.
Katakan saya letakkan diri dan masalah itu kepada beberapa level iaitu pada level 1 hingga 10. Katakan anda meletakkan diri anda berada di level 6 dan anda meletakkan masalah tersebut berada pada level 7 , sudah pasti anda merasakan amat sukar untuk masalah itu diselesaikan.
Ianya mungkin berbeza jika anda yang berada pada level 6 meletakkan masalah tersebut pada level 2 , pasti anda menganggap masalah itu hanya kecil dan anda dapat menyelesaikan dengan mudah.
Bagaimana pula jika anda meletakkan diri anda berada pada level 10 pula? Anda fikirkan, betapa mudahnya menghadapi kehidupan ini.





