Bahagia inikah yang kita cari?

Category : Motivasi, Renungan

Assalammualaikum dan salam perkongsian buat semua. Agak lama menyepi dari sebarang perkongsian melalui blog ini dek kerana keterbatasan dan juga sedikit masalah menghadkan perkongsian bersama pengunjung setia blog ini.

Tanpa sedar sudah 9 hari kita berada di tahun 2012, meninggalkan 2011 dengan seribu satu cerita. Saya percaya pelbagai cerita yang mewarnai kehidupan kita, gembira, suka, duka bahagia dan pelbagai rasa yang menyulam jiwa.

Gembira ? Itu perkara biasa yang jarang sekali disyukuri kehadiranya oleh kita.

Sedih ? Itu juga perkara biasa yang sering kita keluhi ketibaanya..

Kecewa ? Ini penambah perisa dalam dunia kita..

Bahagia ? Definisikan apa makna perkataan ini? Kita selalu mendengarnya.. Kita tahu ramai yang suka akan kehadirannya….

bahagiakah kita jika ia datang dalam sakit?

bahagiakah kita jika ia datang dalam luka?

bahagiakah kita jika ia datang tanpa bimbingan Yang Maha Pencipta?

bahagiakah jika kerana ia kita sanggup melakukan laranganNYA?

bahagiakah andai suatu hari kita akan tersungkur ke lembah hina?

Bahagia inikah yang kita cari?

Jadi tinggalkan masa lalu, bersedia untuk menghadapi masa depan… dugaan semalam, diharap menjadi pemangkin agar diri ini lebih matang di masa depan…..

Salam Hormat
- Ima Harlina -

Buta huruf tetapi bergelar jutawan

3

Category : Artikel, Bina Kejayaan, Cabaran, komentar, Motivasi, Renungan

Salam perkongsian dan salam ceria untuk semua pengunjung linncomel.com, semoga hari-hari yang dilalui dirahmati dan berada di dalam lindunganNYA.

Saya tertarik untuk berkongsi cerita mengenai seorang jutawan yang tersenarai selaku antara orang paling kaya di Britain. Berada di kedudukan ke 200 dengan kekayaan yang dianggarkan bernilai £400 juta iaitu Andreas Panayiotou yang berusia 45 tahun.

Bukan nilai kekayaan yang dimilikinya yang menarik minat saya, rasanya ada ramai lagi jutawan yang mempunyai kedudukan yang jauh lebih baik dari itu. Namun pengakuannya, dia tidak tahu membaca yang menarik minat saya.

Bekas peninju yang dilahirkan di London dan berketurunan Greek Cyprot ini menghadapi masalah disleksia. Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira.

Masalah asasnya adalah perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi. Oleh itu disleksia merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.

Walaupun mempunyai kelemahan tersebut ianya bukan penghalang untuk dia merubah nasib dirinya. Dia yang berhenti sekolah pada usia 14 tahun melatih fikiran agar memiliki daya ingatan yang kuat dan menjadikan dia lebih kreatif dalam menyelesaikan sebarang permasalahan.

Memetik kata-kata Andreas Panayiotou “Saya memiliki daya ingat yang luar biasa, photographic memory. Saya mengenali bentuk untuk mengenali sebuah kata, tanpa perlu membaca,”.

Meskipun memiliki kekurangan seserius itu, dia berhasil membangun sebuah perniagaan yang mengagumkan. Di usia muda, dia membeli sebidang tanah kecil di Islington. Pelahan-pelahan dia membangunnya menjadi sebuah apatment. Dari situlah perniagaannya mula berkembang.

Pada 2007, dia berhasil menjual ribuan rumah. Kini fokusnya beralih ke bidang perhotelan. Perusahaannya, The Ability Group, kini memiliki tujuh hotel. Yang paling terkenal adalah Hotel Waldorf-Astoria London bernilai £70 juta. Dia juga akan menjual “rumah termahal di Inggris”, sebuah properti yang baru diubahsuai di Hamstead. Dia berharap rumah itu akan mampu dijual dengan harga £100 juta.

Rumah peribadinya di Epping Forest seluas 20 ekar dan memiliki tiga pesawat peribadi, salah satu daripadanya ialah Jet Gulfstream berharga £40 juta, dan sebuah kapal layar berharga £12 juta.

Bak kata Andreas Panayiotou , kejayaannya adalah disebabkan oleh disleksia yang dihadapinya. Menyedari kekurangan yang dialaminya, dia harus melatih diri untuk bekerja lebih keras dan berdisiplin dibandingkan orang lain, .

Mungkin kita juga boleh mengambil iktibar dari cerita beliau, walaupun menyedari terdapat kekurangan dan kelemahan tetapi ianya bukan alasan untuk tidak berjaya sebaliknya kita mungkin mampu mengembangkan bakat yang lain. Bukan kah di dalam diri kita terlalu banyak rahsia dan potensi yang mungkin belum lagi diterokai dan diaplikasikan ?

untuk berjaya tiada sebarang halangan jika kita mahu berusaha walaupun mempunyai kekurangan. kita yang tidak mempunyai masalah seperti beliau harus bersyukur dan menggunakan keupayaan dan kebolehan yang kita miliki sebaik mungkin untuk berjaya.

Salam Hormat
- Ima Harlina -

Jika anda fikir boleh anda pasti boleh melakukanya

2

Category : komentar, Motivasi, Pengalaman, Renungan

Salam ceria, sihat, kaya dan bergaya untuk semua. Semoga hari ini lebih indah dan bermakna dari hari semalam.

Ingatkah kita suatu ketika dulu ketika kita masih kecil, ketika kita mencuba untuk belajar berjalan. Saya percaya setiap dari kita pasti melalui fasa ini Cuma mungkin kita kurang mengingatinya.

Pertama-tamanya kita harus belajar untuk berdiri, yakni sebuah proses yang melibatkan seluruh tubuh, jatuh lalu berdiri kembali.

Dalam proses tersebut kita kadangkala tertawa serta tersenyum, tapi di waktu yang lain kita akan menangis dek kerana kesakitan akibat terjatuh dan sebagainya. Tanpa kita sedari, seperti ada tekad dan keyakinan dalam diri kita bahwa kita akan berhasil, munkin tiada siapa di antara kita yang menyedari bahawa kita mempunyai motivasi yang tinggi di saat itu, walau pun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan di kala itu.

Setelah banyak berlatih akhirnya kita mengerti bagaimana untuk menyeimbangkan diri kita. Ianya suatu syarat atau platform ke fasa yang seterusnya.

Kita menikmatinya dan seolah-olah kita mempunyai kekuatan dan motivasi baru. Kita akan berdiri dimana pun kita suka, tidak kira di sofa, di pangkuan ibu atau bapa kita atau dipangkuan orang lain. Inilah waktu atau saat yang menggembirakan . Ketika kita mula berdiri dan kita mampu mengawal diri kita. Kita tersenyum dan tertawa , puas akan keberhasilan yang kita lakukan.

Langkah berikutnya adalah untuk berjalan. Kita melihat orang lain melakukannya, nampak mudah dan tidaklah terlalu sukar untuk kita melakukannya, hanya memindahkan kaki saat kita berdiri, betul kan ?

Sebenarnya tidaklah semudah itu kerana ia lebih kompleks daripada yang kita bayangkan. Kita perlu berurusan dengan rasa kecewa. Tapi kita perlu terus mencuba dan mencuba lagi sehingggalah kita tahu bagaimana untuk berjalan. Walaupun kita selalu ingin dan perlu kedua tangan kita dipegang atau dipimpin saat berjalan.

Jika orang melihat kita berjalan, mereka akan bertepuk tangan, mereka tertawa, mereka akan memberi semangat, “ wah anak mama dah boleh berjalan”. “Oh anakku sudah boleh berdiri”. “claver boy” dan lain-lain.

Dorongan ini memicu kita dan menambah rasa percaya diri kita seterusnya memotivasikan diri kita.

Lalu kita pun mencuba untuk berjalan di saat tiada siapa yang melihat kita, disaat tiada sorak sorai atau pujian. Kita akan menggunakan setiap peluang yang ada untuk berlatih berjalan, kerana kita tidak mampu menunggu seseorang untuk memotivasi dan memimpin tangan kita untuk mengambil langkah-langkah berikutnya. Sebenarnya kita sudah mula belajar bagaimana untuk memotivasikan diri sendiri

Andai kita mampu membayangkan hal-hal tersebut di saat ini , ingatlah bahwa kita boleh dan mampu melakukan apapun yang kita fikiran. Kita mampu mengatur jika kita mau dan bersedia melalui proses sama seperti itu, seperti ketika kita belajar berdiri, seperti ketika kita belajar berjalan. Kita tidak perlu menunggu orang lain untuk memotivasikan diri kita, sebaliknya kita perlu memotivasikan diri kita sendiri.

Jika kita sudah lupa bagaimana melakukan hal ini, atau merasa seperti beku, kaku dan ketandusan idea, Maka kita sebenarnya memerlukan motivasi. Renungkan kembali perjalanan singkat dalam hidup kita yang telah dan pernah kita selusuri. Lihatlah prestasi kita, tanpa mengambil kira samada pencapaian kecil atau besar , atau saat-saat dimana kita bertemu dengan cabaran dan dugaan dan dalam masa yang sama kita menemukan cara untuk berjaya.

Fokus pada semua hal yang kita fikir kita tidak mampu untuk melakukanya. Lihatlah anak-anak kita, mereka tidak pernah menyerah dan kenal erti putus asa. Mereka yakin serta percaya terhadap kita, mereka percaya di dalam semua kehidupan kita!

Sekarang kita semua harus percaya pada diri kita! Yakinkan pada hati kita bahwa kita pasti boleh melakukanya.

“Ingat, hari ini adalah hari terbaik dalam hidup kita, milikilah masa depan yang indah, dengan membuat perubahan hari ini!

Sebelum mengundurkan diri, saya tinggalkan anda semua dengan kata-kata ini “ Suatu hari nanti kita pasti berhenti berkerja dengan manusia tetapi tiada istilah berhenti berkerja dengan ALLAH melainkan perjuangan berakhir bersama nafas terakhir.

Salam Hormat
- Ima Harlina –

Sabar dan pasangannya…..

1

Category : Motivasi, Pengalaman, Renungan

Salam perkongsian untuk semua, semoga hari-hari yang dilalui memberi seribu makna buat kita semua.

Setiap yang hidup ini dijadikan secara berpasang-pasangan, siang pasangannya malam, hidup pasangannya adalah mati, bersabar pasangannya adalah bersyukur.

Dalam meniti kehidupan kita, pasti pelbagai coretan yang akan menghiasai diari sebuah kehidupan. Namun apa jua yang terhambar di depan mata kuncinya adalah sabar. Bukan hanya ketika kita ditimpa masalah malah ketika sedang diulit kesenangan.

Bila menyentuh soal sabar, ramai di antara kita merujuk kepada musibah mahupun kesusahan. Tanpa kita sedari kita juga perlu bersabar dan bersyukur di atas segala kesenangan yang diberikan kepada kita.

Sekiranya kesabaran ada dalam diri kita, kita akan tetap meneruskan amalan walaupun seluruh tubuh kita berasa sakit dan seolah-olah tidak berupaya untuk bergerak.

Bila kita terlantar di hospital, maka kita bersabar untuk terus mengingati ALLAH. Lalu bila kita sentiasa menyebut-nyebutNYA, maka “ kesusahan ” atau “ musibah ” itu sudah tiada nilai yang boleh menyebabkan rasa gundah gulana. Malah kita terus bersabar menjalankan tanggungjawab harian kita. Ia dilakukan kerana ALLAH.

Bila orang bersyukur, maka sabarnya amat mudah sekali. Bagaimana pula mahu menterjemahkan rasa syukur? Ia sama sahaja dengan kaedah bersabar. Ia sepatutnya menyebabkan manusia lebih hampir kepada ALLAH.

Sabar dan syukur padanan yang sangat harmoni. Ia bersifat kesalingan. Saya berdoa agar kita semua sentiasa diberi rasa sabar dan syukur di atas ujian atau keriangan yang dianugerah ALLAH.

Kerana hidup ini hanya bersifat sementara dan tidak ada yang kekal buat selamanya, saya beryukur kerana merasai pelbagai “ rasa ” dalam hidup ini kerana dengan “ rasa ” itulah saya terus bangkit untuk meneruskan kehidupan ini. Dengan “ rasa ” itu saya belajar erti bersabar dan dengan bersabar saya dapat melalui kehidupan ini insyaALLAH dengan sebaiknya.

Bangkitlah sebagai juara…..

4

Category : Motivasi, Renungan

Seringkali kita mendendar keluh kesah sama ada dari rakan-rakan mahupun diri kita sendiri mengenai kegagalan yang kita lalui.

Anda kecewa dengan kegagalan yang anda hadapi?. Ingat,kegagalan yang anda lalui itu sebenarnya adalah jalan atau pembuka ruang untuk kejayaan yang bakal anda kecapi kelak. Melalui kegagalan tersebutlah anda akan dapat mematangkan diri serta menimba pengalaman dan dapat membuat keputusan yang bijak dalam menuju perjalanan ke arah kejayaan tersebut.

Gagal sekali, bukan bermakna anda akan terus gagal. Saya pasti ramai di antara kita sudah tahu dan biasa membaca atau mendengar kisah Thomas Alva Edison atau Alexander Graham Bell tentang kisah kegagalan demi kegagalan yang mereka alami dan juga kutukan dan ejekan yang dilemparkan terhadap mereka sebelum mereka berjaya mengubah sejarah teknologi hari ini.

Namun saya tidak berniat untuk berkongsi cerita mengenai mereka sebaliknya saya ingin berkongsi mengenai kisah Sylvester Stallone.

Pada kemuncak kariernya, Stallone adalah salah seorang pelakon yang menerima bayaran tertinggi di Hollywood. Dia menerima sehingga 20 juta dolar Amerika bagi sebuah filem. Adakah Stallone bernasib baik? Adakah dia seorang pelakon yang mempunyai bakat semula jadi? Adakah dia berada di tempat yang betul pada masa yang tepat? Tidak sama sekali!

Stallone berasal dari sebuah keluarga yang daif. Ibunya melahirkannya di tangga sebuah sekolah dan kelahirannya di-bantu oleh para pelajar sekolah itu. Pada saat kelahirannya, saraf mukanya cedera dan bahagian kanan wajahnya menjadi lumpuh.

Dengan itu, Stallone tidak mampu bertutur dengan jelas. Sewaktu dia kanak-kanak, ramai kanak-kanak lain mengejeknya kerana kekurangannya ini. Tambahan pula,namanya Sylvester sama dengan nama satu karakter kartun Looney Tunes. Tanpa menghiraukan semua kelemahannya, Stallone berazam hendak menjadi pelakon terkenal. Dia ingin memberikan inspirasi kepada orang lain melalui filem.

Seperti yang anda tahu, ramai remaja mempunyai impian menjadi bintang filem tetapi bagi kebanyakan daripada mereka, ia hanyalah angan-angan. Namun, Stallone menjadikan impian-nya suatu kemestian. Dia komited bagi melakukan apa sahaja demi mencapai cita-citanya. Langkah pertamanya adalah mendaftar di sebuah sekolah lakonan.

Kemudian, dia menghadiri sesi uji bakat. Dengan pertuturannya yang kurang jelas, wajahnya yang tidak menarik, ditambah pula dengan lakonan yang kaku, tidak ada pihak yang mahu mengambilnya sebagai pelakon. Semua kegagalan itu tidak menyebabkan Stallone berputus asa. Dia sentiasa mengubah strateginya dan terus bertindak.

Bagaimana akhirnya Stallone berjaya mendapatkan peluang pertama menjadi pelakon? Apabila sekali lagi dia ditolak dalam suatu uji bakat, dia terus duduk dalam bilik pengurus dan enggan pulang selagi dia tidak mendapat peluang berlakon. Selepas berjam-jam dia duduk di situ, orang-orang yang berada di situ mula kasihan kepadanya. Mereka juga kagum dengan semangatnya yang tidak mahu mengaku kalah. Akhirnya, dia mendapat peluang melakonkan watak kecil. Bagi Stallone, lakonan itu begitu bermakna.

Malangnya selepas itu, dia terus gagal mendapatkan sebarang peluang sehingga isterinya menyuruhnya melupakan sahaja impiannya itu dan mula mencari pekerjaan lain. Tetapi, Stallone masih ingin memperjuangkan impiannya. Dia tidak rela berputus asa. Stallone jatuh miskin sehingga pada suatu hari dia terpaksa menjual anjing kesayangannya dengan harga 50 dolar. Dia begitu sedih kerana selama ini anjingnya itulah yang menjadi sahabat karibnya.

Tidak lama selepas itu, Stallone menonton perlawanan tinju di antara Muhammad Ali dengan Chuck Wepner. Ramai orang berkata Chuck pasti menyerah kalah selepas beberapa pusingan sahaja. Tetapi, Chuck bertahan sehingga 15 pusingan dan memberikan tentangan hebat kepada Ali.

Daripada perlawanan tinju itu, Stallone mendapat inspirasi dan dia ingin membuat sebuah filem mengenai ahli tinju. Dia mula menulis skrip filem tanpa henti selama 84 jam. Filem ini diberi tajuk Rocky iaitu nama watak utamanya. Stallone berasa teruja kerana dia yakin filem ini bakal mengubah hidupnya.

Selepas skrip itu selesai, dia berusaha menjualnya tetapi tiada siapa yang berminat dengan skrip itu. Para penerbit filem menganggap tidak ada sesiapa yang mahu menonton filem mengenai ahli tinju. Stallone tidak berputus asa. Dia terus berjumpa pihak pengeluar filem sehingga akhirnya ada sebuah syarikat yang bersetuju membeli skrip itu dengan harga 75 ribu dolar. Stallone sepatutnya gembira tetapi impiannya belum tercapai. Dia ingin menjadi pelakon dan bukan penulis skrip.
Dengan demikian, dia memberikan syarat kepada syarikat filem itu. Dia bersetuju menjual skripnya kepada mereka asalkan dia menjadi pelakon utamanya. Pada mulanya mereka tidak bersetuju dan berkata, “Anda seorang penulis skrip, bukannya seorang pelakon! Tidak mungkin kami bersetuju dengan syarat anda itu.”

Mereka menaikkan tawaran kepada 255 ribu dolar dan seterusnya kepada 1 juta dolar tetapi Stallone tetap berkeras dengan pendiriannya. Sungguhpun pada waktu itu, dia miskin dan sering kelaparan, dia masih komited pada impiannya! Akhirnya, syarikat filem itu mengalah tetapi kali ini mereka pula yang meletakkan syarat. Mereka hanya membayar sebanyak 35 ribu dolar pada Stallone bagi skrip dan juga lakonannya. Selain itu, Stallone juga bakal menerima royalti daripada keuntungan filem itu. Stallone bersetuju.

Perkara pertama yang dilakukan selepas itu adalah mencari semula orang yang membeli anjingnya. Stallone menawarkan 100 dolar pada orang itu bagi membeli semula anjingnya tetapi orang itu menolak. Stallone menaikkan harga tawaran sehingga 1,000 dolar dan orang itu tetap menolak. Sekali lagi, Stallone tidak berputus asa. Dengan apa cara sekali pun, dia mahukan anjingnya semula. Akhirnya, orang itu bersetuju apabila Stallone menawarkan 15 ribu dolar dan juga peluang berlakon dalam filemnya.

Apabila filem Rocky ditayangkan, ia mencapai tahap box-office dengan keuntungan melebihi 171 juta dolar. Bukan hanya itu, ia juga dicalonkan dalam 10 kategori Anugerah Akademi termasuklah pelakon terbaik. Daripada 10 pencalonan itu, Rocky memenangi anugerah filem terbaik dan arahan terbaik.

Stallone terus mencipta nama sebagai pelakon aksi yang hebat dan dia menerima banyak tawaran yang lumayan selepas itu.

Stallone mencapai impiannya kerana ia menjadikannya suatu kemestian. Dengan ini, dia tidak berputus asa mencari jalan bagi mencapainya.

Sebelum mengundurkan diri saya tinggalkan anda semua dengan kata-kata ini “ Bangunlah dari tidurmu kerana mimpimu tidak akan tercapai hanya dengan tidur “ dan kecepatan memang baik tetapi ketepatan adalah segalanya. Hal yang dapat kita kawal dan ubah adalah SIKAP…..