Alhamdulillah, terima kasih ya ALLAH kerana menghadiahkan kesedaran yang berharga di dalam hidupku. Semalam ketika saya sedang asyik menonton video-video rakaman anak-anak kucing saya, terdetik di dalam hati saya, tinggal beberapa hari lagi genap setahun saya berkongsi rezeki bersama anak-anak kucing saya.
Datang rasa sebak dalam diri saya apabila diberi kesedaran apakah hikmah ALLAH menghadiahkan kucing-kucing tersebut sebagai teman .
Jika direnung kembali, kucing-kucing tersebut saya temui selepas sebulan nenek saya mengalami masalah kesihatan dan sehingga sekarang masalah kesihatan itu masih belum sembuh, namun saya redha kerana saya yakin pasti ada hikmah yang tersembunyi yang perlu dicari disebalik kejadian tersebut terutama kepada semua anak-anaknya.
Setahun nenek saya mengalami masalah kesihatan, hampir setahun juga kucing-kucing tersebut berada di bawah peliharaan saya. Kucing-kucing tersebut yang pada asalnya hanya 4 ekor ianya bertambah apabila terdapat beberapa ekor lagi yang saya temui, ada yang ditemui di depan pintu rumah dan ada juga yang saya temui di tempat yang lain.
Alhamdulillah, semuanya mempunyai kelakuan atau sikap yang amat menyenangkan. Ini yang dikatakan, apabila dipelihara dengan penuh kasih sayang, kucing-kucing tersebut juga bersifat penyayang dan mudah menerima kucing yang lain tanpa bergaduh, walau pada asalnya ada juga yang merajuk apabila wujudnya kehadiran kucing baru.
Apa pun , kesedaran yang datang dalam diri saya benar-benar membuatkan saya sebak dan menitiskan air mata. Apa yang hadir dalam diri saya, mengapa ALLAH menghadiahkan kucing-kucing tersebut, kerana ingin saya merasa perasaan seorang ibu walaupun hanya ibu kepada kucing-kucing supaya saya dapat menghargai bagaimana perasaan kasih dan sayang nenek saya ketika memelihara saya sejak kecil. Memang beliau tidak melahirkan saya, tetapi pengorbanan nenek menjaga saya juga tidak ternilai.
Walau hanya dengan memiliki anak kucing , saya sudah terasa rindu bila berjauhan, bagaimana pula perasaan rindu yang ditanggung oleh nenek saya ketika saya berjauhan dengannya.
Jika saya sudah terasa risau kucing kelaparan apabila pulang lewat kerumah, bagaimana pula rasanya kerisauan seorang ibu yang memelihara apabila tiada di depan mata.
Ketika saya bersedih dan berdoa kerana salah seekor kucing saya demam, bagaimana pula perasaan seorang ibu yang bangun ketika di awal pagi kerana mendoakan saya supaya lulus di dalam peperiksaan, malah telinga saya ini masih lagi terdengar bait-bait doa tersebut ketika terjaga di awal pagi.
Itulah hikmahnya walau hanya menjadi ibu kepada kucing-kucing sudah datang rasa sayang rindu dan resah, Bagaimana pula jika menjadi ibu kepada 7 anak dan beberapa cucu yang dipelihara olehnya.
Walau betapa hebatnya sayang dan kasih seorang anak, ia tidak dapat menandingi kasih sayang seorang ibu terhadap anak-anaknya. Percayalah, inilah yang saya rasakan . Inilah hikmah sebenar mengapa saya dihadiahkan kucing-kucing tersebut. Ya hanya ALLAH yang maha mengetahui. Terima kasih Ya ALLAH kerana diberikan kesedaran ini.
HARGAILAH ibu anda ketika masih ada..




