Selamat tinggal 2006..
Ini adalah post terakhir saya untuk tahun 2006 . 2006 terlalu banyak meninggalkan kenangan yang tidak saya lupakan.
Alhamdulillah pada tahun ini juga, perjalanan hidup saya telah berubah. Jika sebelum ini selama 3 tahun iaitu bermula 2003, saya diuji dengan penuh kesusahan dan kepayahan, berkat kesabaran, 2006 ini ALLAH telah merubah kehidupan saya menjadi lebih baik dan setiap kesuraman hidup saya telah diganti dengan cahaya walaupun sinarnya masih belum benar-benar terang.
Bersyukur saya kepada ALLAH diatas setiap ujian yang telah diberikan kepada saya. 2006 jugalah saya dapat merasakan hasil dari sikap sabar yang telah saya miliki.Hanya yang merasai akan mendapat nikmat kemanisannya.
Tinggal sehari lagi 2007 akan menjelma. Harapan saya semoga tahun 2007 benar-benar membuka langkah untuk saya terus cemerlang dalam kehidupan dan setiap azam saya akan tertunai dan segala perancangan saya akan menjadi, dan saya juga berharap setiap apa yang saya miliki dapat saya berkongsi bersama anda semua. Semoga 2007 menjanjikan kecemerlangan kepada kita semua . InsyaALLAH
Teknik pernyataan diri ( Affirmation)
Hari ini saya ingin berkongsi teknik atau rahsia bagaimana untuk meningkatkan lagi keupayaan minda bawah sedar anda iaitu Teknik Pernyataan diri.
Pernyataan diri ialah sesuatu kenyataan yang anda cipta dan berkaitan dengan apa yang anda inginkan dalam kehidupan anda. Dengan memberi saranan melalui prnyataan diri berulangkali, anda pasti dapat mengubah program minda bawah sedar anda serta mencipta kehidupan yang lebih baik bagi diri anda.
Anda hendaklah menggunakan saranan yang positif bagi menggantikan pernyataan negatif berkaitan diri anda. Ianya mudah diamalkan dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Teknik ini boleh dilakukan melalui tiga cara iaitu menulis berkenaan diri anda, bercakap dan menggunakan pita rakaman.
Anda boleh mencipta saranan atau pernyataan positif tentang diri anda bergantung kepada kreativiti anda. Kenali setiap masalah anda dan kualiti yang terdapat pada diri anda.Gantikan sesuatu yang anda rasakan negatif dalam diri anda saranan yang lebih positif. Tuliskan pada kertas dan amalkan membacanya secara kuat sekurang-kurangnya sekali setiap hari. Lakukan dihadapan cermin, Lebih kerap anda mengulanginya ianya akan lebih memberi kesan kepada diri anda.
Sekiranya anda merasakan anda seorang yang lemah-Berikan pernyataan positif dengan mengatakan’ saya adalah seorang yang hebat dalam apa jua tindakan’.Â
Sekiranya anda mempunyai masalah yang anda rasakan sukar untuk menyelesaikannya- Berikan saranan positif dengan mengatakan ‘masalah adalah kecil bagi saya dan saya mampu menyelesaikannya.’
Anda boleh mencipta lebih banyak lagi saranan positif mengikut apa jua masalah anda. Saya doakan semoga anda berjaya dan selamat mencuba.
Kuasai minda anda..
Saya yakin, setiap orang pasti mempunyai impian yang tersendiri. Sebagaimana saya yang mempunyai cita-cita dan impian tersendiri, begitu juga anda.
Tidak kira betapa hebatnya impian anda, Perkara penting yang perlu ada dalam diri anda ialah percaya kepada diri anda sendiri dan yakin kepada kebolehan anda.
Tidak kira apa jua saiz badan manusia, ALLAH telah menganugerahkan manusia dengan anugerah yang sama iaitu minda, dan setiap minda itu memiliki fungsi yang sama dan tiada perbezaaan, yang membezakannya ialah cara kita menggunakannya.
Ada manusia mengawal minda untuk menjadikan dirinya yang terbaik, namun ada juga yang mengunci minda sehingga membiarkan minda yang menguasai diri sendiri.
Peringatan! minda terletak di dalam salah satu tempat yang dimiliki oleh tubuh manusia,iaitu otak,dan manusia bukan salah satu daripada organ minda, jadi siapa yang lebih patut untuk dikuasai atau dikawal?.Sudah tentu anda yang patut mengawal minda anda, bukan anda yang dikuasai oleh minda.
Ramai manusia tidak sedar akan kebolehan diri sendiri. Ada yang membiarkan diri sendiri dikawal sehingga tidak dapat membezakan yang mana boleh membawa kebaikan atau keburukkan. Itulah adalah satu realiti dan saya juga pernah mengalami.
Saya pernah mengalami penyakit kurang keyakinan diri yang amat kronik, sehingga pernah menjejaskan karier pekerjaan saya, pantang bila nampak seseorang ataupun beliau berada disebelah saya, pasti perasaan gugup saya akan datang, badan menggeletar dan akibatnya terlalu banyk kesilapan yang saya lakukan sehingga menjejaskan tumpuan saya kepada pekerjaan.
Kenapa semua itu berlaku? kerana insan tersebut pernah merendahkan saya dan memarahi saya pada hari yang ke 10 saya bekerja ditempat tersebut, dan masalah ini saya alami selama 3 tahun,bayangkan betapa tidak selesa saya bekerja ketika itu, akhirnya saya resign dan bekerja ditempat lain dengan azam dan impian untuk berubah.
Alhamdulillah, dengan sedikit ilmu yang saya perolehi dari pembacaan dan panduan seseorang, saya berjaya mengubah kehidupan saya kearah yang lebih positif. Cuma satu yang saya kesal, saya terlalu mengambil masa yang lama untuk berubah, jika tidak saya tidak perlu meninggalkan tempat kerja saya tersebut.
Itu hanya sedikit pengalaman yang saya boleh kongsi bersama anda, dan itu adalah sejarah dalam hidup saya. Mungkin pengalaman tersebut anda juga pernah alami dan ketika ini masih lagi mengalami.
Cuma satu pesanan, cara penyelesaiannya cuma satu. Iaitu ‘unlocked’ minda anda. Keluar dari belenggu atau kawalan minda anda. Andalah yang patut mengawal minda anda. InsyaALLAH untuk hari yang seterusnya saya akan berkongsi dengan anda bagaimana untuk membuka kunci yang sentiasa membelenggu tersebut.Semoga kita sama-sama berubah kearah kehidupan yang lebih positif.

