Berikan kegembiraan
Semalam, ketika saya sedang leka menonton drama korea kegemaran saya Hwang Ji ni, saya menerima satu panggilan telefon daripada seseorang yang mengatakan bahawa suaminya telah pun meninggal dunia. Sekiranya anda telah pun lama mengikuti blog ini, anda pasti akan teringat, saya pernah bercerita tentang kekuatan minda seorang pesakit saya yang mengidap barah paru-paru.
Doktor pernah menjangkakan beliau hanya dapat hidup selama 6 bulan dan berkat kekuatan dan keazaman beliau, sehingga semalam beliau dapat meneruskan kehidupan lebih daripada 2 tahun, daripada jangkaan yang telah doktor berikan. Al-fatihah untuk beliau.
Sebenarnya saya tidak terkejut, kerana kematian adalah sesuatu yang pasti bagi beliau. Malahan bagi sesiapa sahaja dan makhluk hidup di dunia ini. Sebenarnya sebulan yang lepas, kami pernah berhubung. Salah satu perkara yang beliau berkongsi bersama saya , beliau berkata ” Walaupun saya sentiasa bersemangat untuk melawan penyakit dan kesakitan saya, tetapi adakalanya saya pasti jua akan tewas, apabila terdapat individu yang datang melawat saya, memberikan tanggapan negatif tentang kanser. Walaupun mereka bercerita tentang individu lain, tetapi apabila saya mendengarnya kerisauan saya pasti akan ada”.
Masih jelas di telinga saya kata-kata tersebut, kerana saya sentiasa berfikir, bagaimana untuk membantu beliau bagi menangani masalah tersebut. Ya, minda separa sedar sentiasa cekap bekerja dan akan terus bekerja untuk beliau dan untuk sesiapa sahaja, tetapi akibat kebodohan minda separa sedar yang tidak dapat membezakan sesuatu yang positif ataupun negatif, akhirnya memakan diri apabila dikuasai oleh minda separa sedar. Itulah bukti bahawa faktor persekitaran dan orang sekeliling benar-benar mempengaruhi minda dan kehidupan seseorang individu. Jadi apa yang perlu dilakukan? . Adakah pesakit tersebut perlu dikuarantin?. Apa guna hidup lama, jika tidak dapat menikmati keindahan dunia.
Sebenarnya orang disekeliling juga perlu memainkan peranan penting dalam membantu apa jua pesakit dalam mengharungi kehidupan. Mereka tidak ingin dilayan seperti seorang raja. Cukuplah jika sentiasa memberikan saranan yang positif, bercakap sesuatu yang positif, supaya mereka sentiasa gembira,kuat dan bersemangat di dalam mengharungi cabaran seperti itu.
Bagi seorang manusia, sesuatu yang paling penting adalah kegembiraan. Dengan adanya kegembiraan segalanya pasti akan menjadi milik anda. Gembira dapat menghilangkan kesedihan, gembira dapat menghilangkan kesakitan, gembira juga dapat menghilangkan keresahan. Pendek kata, anda boleh memprolehi apa sahaja jika anda gembira. Bak kata Joe Vitale di dalam bukunya ‘attractor factor ‘ kunci kejayaan adalah kegembiraan. Jadi tidak rugi sekiranya kita memberi dan berkongsi kegembiraan dengan individu yang lain. Tidak salah sekiranya berkongsi kegembiraan jika ada individu disekeliling anda yang menderita dalam kesakitan. Peganglah prinsip, anda akan gembira jika melihat individu lain gembira. InsyaALLAH saham kebahagiaan dan kagembiraan tersebut juga menjadi milik anda. Bukankah ianya juga satu keuntungan bagi diri kita. Inilah yang dinamakan hukum ganjaran.
Percaya , percaya dan percaya
Sekiranya anda mengikuti perkembangan blog daripada awal, saya sangat-sangat suka menyentuh tentang kepercayaan. Hari ini saya masih lagi menekankan tentang tajuk kepercayaan. Secara personal saya mengatakan bahawa saya percaya, bahawa saya boleh berjaya jika hanya saya percayakan diri sendiri. Saya juga percaya saya boleh berjaya, sekiranya saya tidak ragu tentang kebolehan diri saya, saya pasti akan memperolehi apa sahaja yang saya inginkan.
Anda boleh menonton video yang dirakamkan oleh saudara Raymond, tersebut diambil ketika beliau menghadiri millionaire mind intensive seminar yang dianjurkan oleh T.Harv Eker. Bagaimana dengan kepercayaan yang kuat, beliau berjaya mematahkan anak panah yang diletakkan di leher beliau. Itulah yang dikatakan the power of belief.
Ramai diantara kita percaya bahawa terdapat pelbagai kaedah untuk mendapatkan wang dan kekayaan. Ramai juga diantara kita percaya bahawa terdapat pelbagai kaedah untuk berjaya.Tetapi mengapa masih ramai diantara yang masih tidak kaya dan berjaya? Jawapannya mudah, kerana mereka tidak percayakan diri sendiri. Mereka ragu tentang keupayaan dan kebolehan diri. Itu adalah pemusnah kejayaan anda yang utama.
Sekiranya anda adalah pembaca ebook magnet rezeki. Anda boleh lihat saya amat menekankan informasi mengapa seseorang itu gagal dan berjaya, dan bagaimana minda bekerja. Itu adalah satu cara yang saya lakukan untuk mewujudkan kepercayaan dalam diri anda bahawa sesiapa sahaja mempunyai peluang untuk berjaya. Yang penting, kita sentiasa percaya, percaya dan terus percaya sehingga kita dapat mencapai apa yang kita inginkan.
Sentiasa percaya anda boleh berjaya dan fokus matlamat, anda pasti berjaya.
Terima kasih segalanya
Blog saya berwajah baru sejak semalam. Sebenarnya masih belum lengkap tema baru ini, Tetapi saya sudahpun menukarkannya sebagai peringatan kepada diri saya. Bahawa fasa baru dalam kehidupan saya sudah pun bermula. Pejam celik mata, bertambah lagi usia saya. Jadi fasa perancangan dan azam saya sudahpun berubah. Jadi hari ini saya bercuti dari sebarang tugas bagi meraikan kemasukan fasa baru usia saya.
Meraikan kehidupan bukan bermakna saya meraikannya secara besar-besaran. Tetapi cukuplah saya muhasabah diri dan meneliti kembali diri saya. Apakah kebaikan yang saya telah lakukan sepanjang setahun terakhir usia.
Setiap kali masuk ke fasa usia baru, saya pasti tidak dapat melupakan satu kenangan yang sentiasa kekal dalam ingatan saya. Kali pertama saya meraikan sambutan ulangtahun usia saya bersama ibu saya iaitu pada 7 tahun yang lepas iaitu tahun 2000.
Sejak kali pertama saya mengenali ibu saya pada waktu saya pada tahun 1995, sejak itulah selama 5 tahun saya menantikan ucapan ulangtahun daripada ibu saya. Tetapi penantian saya itu tidak pernah dimakbulkan. Sehinggalah pada tahun 2000, saya dengan sengajanya pergi bercuti ke rumah beliau, semata-mata untuk merayakan kelahiran saya.
Selepas dengan penuh gembiranya, saya memberitahu tarikh kelahiran saya, satu soalan yang ditanyakan oleh ibu saya kepada diri saya benar-benar membuatkan saya mengingat kisah ini sehingga saat ini. Saya ditanya oleh beliau, apakah kebaikan yang saya telah lakukan pada tahun yang lepas, apakah peningkatan yang saya telah lakukan pada tahun yang terakhir dika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. adakah kehidupan saya benar-benar memberikan manfaat kepada diri saya dan yang penting kepada orang lain. Satu soalan yang benar-benar membuat saya terkesan ialah apakah penghargaan yang saya telah lakukan terhadap diri saya sendiri , selama saya hidup, diberikan nyawa.
Hanya yang hadir di dalam kepala saya saat itu, hebatnya che( ibu) aku . Walaupun tak sekolah tinggi, tak masuk universiti, tetapi cara berfikir mengalahkan aku yang berpelajaran hingga ke Universiti.
Sebelum ini, saya tidak pernah meneliti diri, kerana saya memegang prinsip ‘life must go on’. Yang lepas biarlah berlalu . Tak perlu dikenang lagi. Tetapi sejak peristiwa tersebut, ianya benar-benar mengajar saya bahawa hidup bukan sekadar hidup semata-mata. Tetapi hidup biarlah memberi manfaat kepada semua.
Azam baru saya semoga, saya akan sentiasa dapat memberikan manfaat kepada anda semua, walaupun ianya hanya sekecil-kecil manfaat. Sepanjang tahun lepas, banyak perubahan kearah kejayaan saya telah saya lalui. Bersyukur saya di atas segala perubahan yang telah saya lalui. Semoga kehidupan akan sentiasa bergerak di atas landasan yang positif.
Kepada sahabat-sahabat yang tidak henti-henti menghantar sms, sejak pukul 12 malam selama. Saya ucapkan ribuan terima kasih.Doa daripada anda semua,memberikan saya semangat untuk terus berjaya dalam kehidupan . Terima kasih untuk kehidupan yang saya lalui. Terima kasih atas segalanya.

