2007 BAKAL MELABUHKAN TIRAI..
Alhamdulillah bersyukur saya kepada ALLAH kerana diiizinkan olehnya untuk menulis pada hari terakhir tahun 2007 ini. Ini entry yang terakhir bagi tahun 2007, inilah perkongsian terakhir daripada saya melalui blog ini pada tahun 2007 ini.
Bersyukur saya kepada ALLAH, kerana berpeluang merasa kebahagiaan dan kegembiraan sehingga ke penghujung tahun ini. Bersyukur saya kepada ALLAH di atas setiap anugerah yang telah dberikan kepada saya. Bersyukur kepada ALLAH, kerana dikurniakan ujian olehnya, seterusnya menguatkan kesabaran saya. Bersyukur saya kepada ALLAH atas setiap rezeki yang tidak pernah terbatas olehnya. Bersyukur saya kepada ALLAH, kerana terus mengizinkan saya untuk terus menulis di blog ini, seterusnya berkongsi segala ilmu bersama anda.
Bersyukurlah kita kepada ALLAH kerana bermula tahun 2008, blog ini akan menerima seorang penulis baru, yang sama-sama akan berkongsi ilmu bersama kita. InsyaALLAH mungkin anda akan membaca tulisan beliau seminggu sekali, mungkin lebih, terpulang kepada masa yang beliau miliki. Siapakah beliau?.Tunggu!. Walau bagaimana pun, beliau adalah seorang yang sangat saya kagumi, mempunyai karisma yang tersendiri, dan saya yakin beliau mempunyai banyak ilmu yang bakal dikongsikan bersama anda di blog ini. Tunggu ye, siapakah gerangan itu.
Hari ini 2007 akan berakhir, sayu hati saya apabila mengingati, tidak mungkin dapat kembali lagi merasai saat-saat indah tahun 2007 ini, kerana masa tidak mungkin akan berundur, semua itu tidak akan berulang lagi. Ianya sekadar menjadi memori indah yang akan menjadi pegangan bagi meneruskan kecemerlangan.
Sekiranya anda turut berkongsi perasaan ini, rawat kesayuan hati dengan mencipta azam atau tekad untuk terus mencipta kejayaan yang lebih cemerlang di akan datang. Walaupun sejarah lama tidak akan berulang kembali, semoga dengan kejayaan dan kecemerlangan yang bakal anda miliki, akan menghadirkan perasaan , seperti apa yang telah anda lalui diwaktu dahulu. Kegembiraan dan kebahagian yang sama. Semoga kita bersama -sama memperolehi kejayaan dan kecemerlangan .
2007 bakal melabuhkan tirai…Selamat datang 2008 yang sentiasa menjanjikan kejayaan dan kecemerlangan di dalam hidup kita.
Inginkan memori indah?
Tinggal lagi 2 hari untuk kita menemui tahun baru 2008. Tahun 2007 pula bakal menjadi sebuah memori di dalam hidup anda. Adakah memori yang bakal anda tinggalkan nanti memori indah yang bakal anda kenang dan menjadi penguat diri anda untuk terus berjaya, Atau ianya adalah satu memori hitam yang perlu anda lupakan dengan harapan ianya tidak akan berulang kembali satu hari nanti.
Sekiranya anda bertanya saya, apakah memori buruk yang tidak dapat saya lupakan pada tahun 2007. Secara jujur, saya mengatakan di sini, saya mengatakan saya tidak mempunyai satu pun kenangan atau memori yang pahit pada tahun 2007. Malah kehidupan saya penuh dengan memori indah yang tidak mungkin saya lupakan. Malahan di tahun 2007 saya mempunyai memori yang paling indah yang tidak dapat saya lupakan kerana ianya benar-benar mengubah kehidupan saya terutama dari segi kekuatan spiritual. Syukur Alhamdulillah. Apa yang saya tulis di atas adalah pengakuan jujur dan tulus dari lubuk hati saya. Adakah anda ingin mempunyai memori yang sentiasa indah seperti saya? . Adakah anda ingin tahu apakah rahsianya?
Sebenarnya kaedah yang digunakan adalah tidak sukar, ianya cukup mudah. Malahan anda tidak perlu mengeluarkan satu sen pun untuk memperolehi segala memori yang indah dalam kehidupan anda.Kaedahnya ialah…
Sentiasa bersangka baik atau mempunyai persepsi yang baik dalam apa jua keadaan yang berlaku. Sekiranya anda inginkan kegembiraan dan berpanjangan sentiasalah mempunyai persepsi yang baik samada terhadap orang lain atau apa jua keadaan yang berlaku dalam kehidupan anda.
Setiap apa jua yang berlaku dalam kehidupan anda, terima ianya sebagai sesuatu yang positif. Sekiranya anda masih sukar juga untuk mencari ianya sebagai sesuatu yang positif, carilah walau sedikit kebaikan yang hadir disebalik kejadian itu. Individu yang terlalu banyak mempunyai memori yang buruk adalah individu yang sentiasa mempunyai pemikiran dan persepsi yang negatif, cara berfikir lebih kepada yang negatif. Jadi tidak mustahil kehidupan penuh dengan peristiwa yang negatif seterusnya meninggalkan memori buruk dalam kehidupannya. Tidakkah anda terfikir setiap kejadian yang berlaku adalah anugerah ALLAH. Setiap perkara yag berlaku pasti ada kebaikannya kerana ALLAH amat penyayang kepada hambanya. Jadi tidak keterlaluan saya mengatakan, sekiranya setiap kejadian yang anda alami anda pandang ianya sebagai sesuatu yang negatif .Ini bermakna anda mempunyai persepsi yang buruk terhadap Sang Pencipta. Jadi sekiranya anda inginkan kebahagiaan dan kegembiraan yang berpanjangan,sentiasalah mempunyai persepsi yang positif dalam kehidupan anda. Bagaimana kalau saya sarankan dalam list azam untuk tahun 2008 nanti. Masukkan sekali “sentiasa mempunyai persepsi yang positif dalam kehidupan”. Anda pasti akan bahagia.
Rahsia kedua, bagaimana untuk sentiasa gembira dan bahagia ialah, sentiasa bersyukur. Adakah bersyukur benar-benar membuatkan kita bahagia? . Ya, benar anda akan merasa benar-benar bahagia jika anda bersyukur. Saya telah mengalaminya dan saya ingin anda mengalaminya . Beryukurlah dengan penuh keikhlasan, bersyukurlah sehingga anda mengeluarkan air mata sebagai tanda keikhlasan anda. Anda pasti akan merasa nikmat disebalik perasaan syukur itu. Saya sudah mengalaminya dan saya ingin anda juga mengalaminya.
Saya tidak dapat menggambarkan betapa bahagianya perasaan saya, kerana itu, saya ingin anda merasai dan mengalaminya sendiri. Rasakan sentuhan spiritual yang benar-benar akan mengubah perasaan dan kehidupan anda. Jika dulu, anda menangis, kerana kesakitan atau kesedihan. Belajarlah untuk menangis kerana anda benar-benar ikhlas. Lakukan, anda pasti akan merasa nikmatnya. Nikmat menangis ketika anda menadah doa tanda bersyukur kepada yang Esa. Terlalu bahagia, kebahagiaan yang hanya dapat dirasa hanya bagi yang mengamalkannya.
Sekali lagi saya sarankan masukkan ‘bersyukur ‘ ke dalam list azam anda 2007. InsyaALLAH saya akan sambung lagi tentang tajuk bersyukur dalam entry yang akan datang.
Mengapa perlu bersyukur?
Syukur alhamdulillah, kerana hari ini saya mampu mengemaskini blog ini, semalam saya cuba untuk mengemaskini namun terdapat sedikit gangguan yang membantutkan proses mengemaskini semalam. Bagaimana pun saya bersyukur walaupun saya gagal mengemaskini blog ini, namun semua perkara lain dapat saya lakukan dengan lebih lancar.
Bagaimana sekiranya hari ini kita bercerita tentang konsep bersyukur dan berterima kasih. Banyak pendapat mengatakan, untuk menjadi seorang yang berjaya, seorang yang hebat. Kita perlu tahu untuk bersyukur. Bukan bersyukur yang dibuat-buat . Tetapi rasa syukur dan berterima kasih dengan penuh keikhlasan.
Pakar-pakar Law Of Attraction juga sentiasa menekankan aspek bersyukur supaya LOA akan memberi kesan , dan seterusnya mencipta kejayaan. Mengapa?
Ini kerana perasaan syukur yang penuh ikhlas merupakan asas yang menghasilkan persepsi yang positif di dalam diri kita. Perkara penting yang perlu anda tahu bahawa setiap perkara yang kita rasakan dan fikirkan merupakan hasil olahan minda kita sendiri. Semua itu tidak lain dan tidak bukan merupakan persepsi kita terhadap dunia, bukan dunia itu sendiri terhasil seperti setiap persepsi anda.
Sekiranya kita sentiasa membiasakan diri kita dengan selalu mengucapkan terima kasih dan bersyukur tentang perkara-perkara kecil, maka alam bawah sedar kita semakin terbiasa untuk menerima hal-hal positif . Dan dengan ini akan menghasilkan diri kita yang baru. Iaitu diri yang lebih positif.
Mempunyai minda yang positif, inner soul yang baik ianya akan menggambarkan keadaan di dalam diri ke luar diri kita. Dengan mempunyai minda yang positif dan persepsi-persepsi yang positif, Ianya akan membantu kita mengatasi segala hal yang negatif dari luar diri kita.
Dengan minda dan perasaan yang positif, ianya akan menarik perkara-perkara yang positif. Pendek kata, semakin tinggi nilai persepsi diri yang positif, anda akan menjadi lebih positif, dan seterusnya akan menjadi magnet bagi setiap perkara yang anda inginkan. Termasuklah dari segi kewangan atau apa jua yang anda inginkan.

