Nostalgia & Cabaran yang menyeronokkan
Sejak semalam kawasan tempat tinggal saya keputusan bekalan air, disebabkan kerja baik pulih dilakukan oleh SYABAS . Seperti sebelum ini, apabila lori syabas menghantar bekalan air ianya bagaikan satu pesta. Tidak kira bangsa atau keturunan sama-sama beratur sambil membawa baldi, botol dan apa saja bekas yang dapat menakung air.
Pada pukul 11 malam semalam, tempat tinggal saya riuh rendah umpama pesta. Dan pagi ini orang tidak ramai datang untuk menadah air, jadi saya mengambil kesempatan mengangkut air Sebanyak 4 ulangan, dikesempatan tersebut, dapatlah saya mandi seperti biasa, dan selepas mandi pergi sekali lagi menadah air untuk dijadikan simpanan. Memang penat, tetapi bagi saya ianya amat menyeronokkan.
Sebenarnya ketika saya bergelar pelajar dulu , kalau tak silap pada tahun 2001, masalah kemarau melanda di Lembah Klang, situasi yang sama juga berlaku kepada kami, malahan berbulan lamanya setiap hari kami terpaksa menadah air dari lori tangki air, namun bagi kami ianya adalah satu keseronokkan. Itulah cabaran yang menyeronokkan ketika kami bergelar pelajar. Malahan apabila sekali sekala perjumpaan kami lakukan, pasti kami akan sama-sama mengenang peristiwa tersebut. Ada yang jatuh tangga, kerana licin dan macam-macam kejadian yang berlaku. Apa pun ianya benar-benar memberikan nostalgia kepada kami.
Ketika zaman kanak-kanak pula, masalah ketiadaan air adalah satu keseronokkan bagi kami iaitu saya dan adik saya yang tinggal bersama nenek disebuah perkampungan. Inilah masanya kami akan berpeluang untuk mandi sungai bersama datuk dan nenek kami. Jika tidak kami hanya mampu melihat kawan-kawan yang lain mandi sungai, kerana larangan yang dikenakan oleh datuk dan nenek. Apabila berpeluang mandi sungai, sampai merah mata kami pulun mandi sungai, malahan tidak sabar untuk menunggu waktu solat yang seterusnya untuk ke sungai lagi, ini kerana kebiasaan datuk dan nenek saya akan mandi sebelum masuk waktu zohor dan asar, selain subuh.
Namun pengalaman tersebut telah kami tinggalkan lebih 20 tahun, kerana setelah kami mula bersekolah, kami tidak lagi tinggal di kampung tersebut, malahan lebih 20 tahun saya sendiri tidak pernah menjejakkan kaki saya ke sana. Sudah pasti sudah banyak pembangunan yang telah di terima. Rumah tempat tinggal kami tersebut telah disewakan, dan hanya nenek saya sekali sekala pergi menjenguk rumah tersebut yang berdekatan dengan tasik kenyir.
Cabaran air yang berlaku hari ini, benar-benar membangkitkan nostalgia indah untuk dikenang.
Comments
One Response to “Nostalgia & Cabaran yang menyeronokkan”
Got something to say?


Salam Linn,
Sememangnya jika kita melihat sesuatu itu dari pelbagai sudut, jelas kelihatan hikmah nya. Setidak tidak nya akan mengembalikan saat saat kegembiraan waktu dulu dulu. Kenangan manis untuk kita kongsikan bersama. Anda ada cerita, saya pun ada ceritanya tersendiri. Begitu lah perjalanan sebuah penghidupan.
Yang pentingnya adalah untuk melihatnya secara positif dan tidak keluh kesah dengan apa pun masaalah yang kita alami. Kalau hari ini kita susah, ada orang lain yang lebih susah dari kita. Kita mungkin terputus bekalan air untuk sementara waktu tetapi orang lain terputus bekalan makanan. Kita masih lebih jauh bernasib baik dari mereka. Maka mengenang kembali waktu silam itu, waktu kita kanak kanak memang seronok dan tiada apa yang merunsingkan fikiran. ” The good old days “. Wallahualam.