Mengapa kita harus bersedih
Salam perkongsian untuk kesekalian kalinya…semalam adalah kenangan hari ini adalah realiti dan esok adalah fantasi….
ALLAH benar janji-NYA. ALLAH menentukan sesuatu. Yang hilang tidak bermakna binasa. Yang pergi tidak bermakna kita hilang segala. Andai diukur banyak mana yang ALLAH ambil dibandingkan dengan banyak mana yang telah ALLAH beri kepada kita….. ‘ kalau kita cuba hitung nikmat ALLAH nescaya tidak akan terhitung banyaknya’.
Mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan sebagainya. Harta yang melimpah ruah. Pandang disekitarmu. Apa yang kurang ? Tidak ada apa yang kurang…rumah, kereta, isteri, anak-anak, segalanya cukup.
Dan apabila musibah menimpa, ALLAH tarik balik sedikit sahaja dari kurnia – NYA, mengapa harus berdukacita ? Mengapa harus bersedih ? Bukankah itu petanda bahawa ALLAH mungkin menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik ? ALLAH tarik sesuatu untuk ALLAH berikan sesuatu yang lain, tidak mustahil kan ?
Berlapang dada kepada ALLAH, bahawa ALLAH menentukan segalanya. Yakinlah, janganlah takut dan janganlah kita berdukacita.
Kadang-kadang manusia berdukacita kerana beban hidup yang terlalu banyak. Penyakit yang menimpa, masalah keluarga yang banyak, masalah anak, masalah kerja, masalah itu dan sebagainya. Maka kita bersedih dan berdukacita menyebabkan jiwa tertekan.
Mengapa harus bersedih ? Adakah dengan bersedih semua masalah akan selesai ? Bukankah hidup ini penuh dengan perjuangan mengatasi segala masalah ? Hidup bermakna kita berdepan dengan masalah. Orang yang tidak mahu berdepan dengan masalah maka tidak layak hidup di dunia ini. Setiap dari kita punya masalah samada kecil atau besar…terpulang kepada kita bagaimana untuk menanganinya.
Masalah yang kita lalui akan mematangkan jiwa kita, mematangkan akal kita, mematangkan peribadi kita. Akhirnya orang yang sudah banyak melalui masalah akan menjadi manusia yang tenang kerana berasa lapang dengan segala penyelesaian yang dihadapi.
Tahun 2010 dijangka tahun yang mencabar dari segi ekonomi…setakat 15 Januari kita dikejutkan lebih 300 ribu orang kehilangan pekerjaan. Adakah mereka tidak mempunyai cukup kelayakan menyebabkan mereka tidak beroleh dan kehilangan perkerjaan ? Sedangkan ramai di antara mereka lulusan universiti. Adakah kita hanya perlu menongkat dagu dan bersedih meratapi apa yang telah kita hilang? Yang pepeh tak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek. Terokai dan kenalilah potensi kita. Potensi kita sebenarnya jauh lebih hebat dari apa yang telah kita tunjukkan.
Siapa sangka Malaysia bakal mengeluarkan kereta buatan sendiri, tatkala Tun Dr. Mahathir Mohamad mengilhamkannya ramai yang mempersoalkannya hanya kerana beliau berlatarbelakangkan perubatan dan bukanya kejuruteraan. Tetapi dengan kebijaksanaannya, keyakinan dan kesungguhan akhirnya impian menjadi kenyataan.
Oleh itu sama-samalah kita renung dan mulakan langkah pertama untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah kita. Untuk itu saya tinggalkan anda semua dengan kata-kata ini “ Cubalah kita tengok hujan itu. Sekarang ia tenggelamkan segala keindahan ciptaanNYA. Tapi setelah hujan berhenti keindahan ciptanNYA dapat kita lihat kembali malah cahaya pelangi akan menambah seri indah itu. Begitulah juga dengan kehidupan kita yang tak pernah sunyi dari ditimpa masalah, dilanda kekusutan namun akhirnya bahagia pasti dikecapi ”
Salam Hormat
- Ima Harlina-
Comments
Got something to say?

