Jaga diri hiasi peribadi…..

Salam perkongsian untuk semua….kali ini saya ingin berkongsi cerita yang mungkin agak berbeza dari cerita-cerita yang pernah saya kongsikan sebelumnya…

Pada tahun 2006 emak saya terlibat dengan kemalangan, menyebabkan kaki kiri beliau mengalami keretakan yang agak teruk. Dengan usia yang menjangkau 50an memang agak lama untuk memulihkan keretakan tersebut.

Namun apa yang merungsingkan, kaki beliau semakin membengkak dan tidak boleh digerakkan walau selepas di ‘ simen ’ dan keadaan ini amat meyukarkan pergerakannya dan proses pemulihan juga agak terbantut.

Setiap hari beliau terpaksa menjalani pemeriksaan darah untuk memastikan tahap kecairan darahnya. Makan juga turut dijaga. Setiap hari perlu disuntik untuk mencegah darahnya dari terus membeku. Akhirnya beliau disahkan menghidap penyakit Deep Vein Thrombosis atau DVT.

Pernahkah anda mendengar perkataan ini ? atau lebih tepat pernahkah anda mendengar penyakit ini ? Penyakit Deep Vein Thrombosis (DVT) disebabkan darah beku yang menyebabkan salur pembuluh darah terutamanya di bahagian peha dan betis tersumbat. Keadaan ini berlaku kerana aliran darah yang tidak baik hasil dari aktiviti yang pasif dan rehat yang berlebihan.

Mengapa ia berlaku ? Ini kerana manusia memiliki sepasang paru-paru. Darah secara konsisten dipam dari kanan jantung ke paru-paru dan kembali ke sebelah kiri jantung. Dalam paru-paru, darah mengambil oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida, iaitu sisa metabolisme.
Arteri membawa darah yang kaya oksigen ke seluruh tubuh. Pembuluh darah pula membawa darah kurang oksigen kembali ke jantung. Darah beku yang terjadi dalam pembuluh darah boleh mengalir ke salur darah di kanan jantung sebelum masuk ke arteri paru-paru, di situ sekatan mungkin boleh berlaku.

Sekatan itu boleh terjadi pada arteri yang kecil tetapi paru-paru sangat ‘rapuh’ kerana semua darah dalam tubuh melalui paru-paru setiap kali diedarkan. Kerap kali, darah beku berisiko untuk terbentuk dan tersebar ke seluruh bahagian paru-paru. Jika pulmonari embolisme yang dialami mengancam nyawa, biasanya doktor akan menyarankan terapi thrombolitik (mengeluarkan darah beku dari sistem tubuh dengan enzim yang bertindak memecahkannya).

Antara simptom penyakit dikatakan seperti cepat penat, lemah dibahagian kaki, kurang selera makan, batuk, nafas pendek sama ada dalam keadaan rehat atau aktif, mengah dan denyutan nadi laju.

Antara langkah pencegahan yang boleh diambil adalah seperti memakai sarung kaki ( stokin ) untuk mengelakkan berlakunya darah beku dalam saluran darah. Ini kerana ia mampu mencengkam kulit dan mengempiskan vena dan mengelakkan darah dari bertakung, memperbanyakkan gerakan terutamnya di bahagian kaki, elakkan meminum ais, membuka alat penghawa dingin terlalu sejuk, sentiasa mengamalkan meminum air panas / suam dan amalkan bersenam.

Hampir enam bulan emak saya melalui detik-detik getir ini dan ALHAMDULILLAH beliau telah pulih sepenuhnya dan mampu berjalan sebagaimana sebelumnya walau kadangkala sesekali tetap terasa ketidakselesaan pada kaki kirinya.

Jadi kepada kita yang masih sihat , jaga diri dan hiasi peribadi…bak kata orang mencegah lebih baik dari mengubati…..jangan dah terhantuk baru terngadah

Sebelum mengundurkan diri terimalah kata-kata ini untuk santapan kita bersama….Kehidupan menjanjikan segalanya. Pahit, manis, suka dan duka. Satu perjalanan anugerah dari maha PENCIPTA yang menjanjikan kematian dalam kembara kehidupan. Bagi kaki yang melangkah dan tangan yang menadah terpulanglah pada insan itu sendiri untuk mencoretkan hidupnya.

Salam Hormat
- Ima Harlina -

Comments

3 Responses to “Jaga diri hiasi peribadi…..”

  1. Ishaq on February 3rd, 2010 11:32 pm

    Saya terpanggil juga nak berkongsi masaalah DVT yang sering dialami oleh penumpang kapal terbang jarak jauh melebihi 8 jam. Sedia maklum bahawa perjalanan kapal terbang yang mengambil masa 14 - 18 jam adalah perkara biasa terutama dari negara kita ke Eropah dan Amerika. Satu soalan apa pula kepentingannya dengan kita. Perlu diingat bahawa emak bapa,datuk,pakcik dan makcik kita yang lazim nya sudah berusia emas baru berkesempatan untuk menunaikan haji ke Mekah. Perjalanan nya adalah dalam lingkungan 8 - 9 jam. Risiko mengalami DVT itu tetap ada terutama nya bagi mereka yang berusia emas. Oleh yang demikian adalah disarankan supaya mereka yang berada dalam kapal terbang dalam tempoh yang panjang itu supaya mengambil kesempatan untuk bergerak gerak jalan ke tandas atau pun sengaja berjalan dari hadapan ke belakang selang 2 - 3 jam sekali supaya melancarkan perjalanan darah. Alhamdullilah setakat ini tiada kes DVT secara spesifik direkodkan oleh pihak Kementerian Kesihatan tetapi perkara ini perlu untuk kita maklumkan kepada mereka yang berhadapan dengan risiko DVT. Wallahualam.

  2. linn_comel on February 4th, 2010 9:28 am

    Pengalaman saya bekerja banyak menemukan kes-kes neuro seperti ini.
    DVT, Kebiasaan DVT berlaku apa seseorang itu kurang pergerakan dan rehat yang berlebihan.

    Bagi yang menghabiskan masa terlalu banyak dengan mengadap komputer, terutama yang seharian bekerja dengan komputer risiko untuk mengalami DVT amat besar, terutama jika bilik yang digunakan mempunyai aircond kerana ianya mempercepatkan pembekuan darah terutama di bahagian kaki.

    Jadi kepada yang banyak mengadap komputer tanpa aktiviti, sila ambil perhatian dan banyakkan pergerakan.Kerja -kerja juga, kesihatan kena jaga.

  3. Ima Harlina on February 4th, 2010 1:24 pm

    Hi Ishaq,

    Terima kasih di atas perkongsian yang diberikan. Saya rasa masih ramai yang tidak tahu dan menyedari apakah itu DVT ? Ramai yang merasakan sakit kaki adalah disebabkan terlalu banyak pergerakan tapi tidak menyedari kurang pergerakan juga akan mendatangkan implikasi kepada kaki kita. :lol:

    Hi Linn,

    Bagi mereka yang kerjanya tidak memerlukan banyak pergerakan, belajar-belajarlah bagaimana nak melakukan senaman diruangan sendiri. Senaman tidak memerlukan kita berada di luar sebaliknya di tempat duduk kita pun kita masih boleh dan mampu melakukan senaman untuk meregangkan otot-otot kita. :roll:

Got something to say?