Antara berdoa dan bertindak

Alhamdulillah kerana masih lagi diberi kesempatan untuk mengemaskini blog ini. Masih diberi peluang untuk berkongsi cerita bersama anda. Kebelakangan ini banyak perkara atau peristiwa yang berlaku dan agak menarik untuk saya kongsikan bersama anda, terutamanya tentang sesuatu yang berkaitan dengan tenaga atau energi terutamanya yang berkaitan dengan ilmu numerology yang telah saya pelajari.

Alhamdulillah, dengan sedikit pengetahuan yang saya miliki tentang kitaran tahunan, bulanan dan harian terutamanya sesuatu yang melibatkan emosi, ia dapat menjelaskan lagi kemusykilan yang sentiasa menjadi tanda tanya di dalam diri saya selama ini.

Percayakah anda, jika saya mengatakan selepas 9 kitaran kehidupan kita akan kembali semula menghadapi dan melalui situasi atau keadaan yang sama. Namun yang membezakannya bagaimana untuk kita menghadapi dan menangani situasi tersebut.

Jika 9 tahun dulu, kita pernah hidup susah diuji dengan pelbagai ujian, namun itu tidak bermakna kita perlu melalui kesusahan yang sama. Selagi kita hidup kita akan sentiasa belajar dan terus belajar samada melalui ilmu atau apa juga pengalaman hidup yang berlaku.Apa yang penting adalah bagaimana untuk kita mengaplikasi setiap pengalaman dan ilmu yang dipelajari bagi menghadapi situasi atau keadaan tersebut. Apa yang paling penting adalah bagaimana untuk kita bertindak.

Ya, tindakan itu amat penting jika ingin meraih sesuatu perkara, tetapi tindakan juga bukanlah segalanya, kerana tindakan hanyalah salah satu komponen untuk kita meraih apa yang kita inginkan. Malah ramai diantara kita yang terus bertindak dalam sesuatu perkara , tetapi sehingga ke akhir hayatnya, masih tidak dapat apa yang diinginkan.

Ramai orang yang bekerja keras dari subuh sampai malam, namun kehidupannya tidak pernah berubah. Sementara ada orang yang tindakannya biasa saja, tetapi dia mendapatkan jauh lebih baik dibanding orang yang bekerja keras.

Saya dapati ada yang mengatakan jangan hanya berdoa sahaja, tetapi kita harus bertindak. Ya,kata-kata itu tidak salah, namun jika diamati, ianya bermaksud doa kita hanyalah sia-sia jika kita tidak tahu bagaimana untuk bertindak. Maksud disebalik kata-kata itu perlu kita amati.

Bagi saya berdoalah komponen yang paling penting untuk kita berjaya meraih apa yang diinginkan.Samada kita sedar atau tidak, Jika kita benar-benar berdoa dan yakin dengan doa kita maka ALLAH akan mengabulkan keinginan kita dengan berbagai cara yang tidak terbatas sebab ALLAH itu Maha berkuasa.

Tindakan hanyalah salah satu cara ALLAH memperkenankan doa kita. ALLAH akan memberikan kita idea inspirasi, kekuatan dan apa jua untuk bertindak bagi meraih apa yang kita minta dari ALLAH.

Jadi berdoalah dengan penuh yakin, insyaALLAH tindakan akan mengikuti jika ianya memang diperlukan.

Kaya satu keperluan

Rutin saya ketika ini sedikit berubah semenjak kedatangan 4 penghuni baru kerumah saya. Jika anda ada membaca perkongsian saya yang lepas, pasti anda mengetahui bahawa saya mempunyai 4 ahli keluarga yang baru iaitu Google, Shell, Starbuck dan ibu mereka.

Jika dulu bangkit awal pagi hanya melakukan rutin biasa, namun sekarang tidak lagi. Apabila lampu dinyalakan pada pukul 4 pagi, pasti kedengaran suara ahli-ahli baru tersebut. Apabila diberi salam, si ibu seolah-olah menyambut salam yang diberikan. Timbul satu perasaan bahagia yang tidak dapat saya ungkapkan kepada anda.
Selepas diberi makanan dan di tukar pasir najis mereka barulah saya dapat menjalankan rutin saya seperti kebiasaan.Dari situ juga saya belajar lagi satu komitmen menyayangi makhluk ALLAH yang lain, komitmen yang menghasilkan satu perasaan tenang dan bahagia.

Panjang juga mukaddimah saya hari ini, walaupun saya mepunyai niat untuk berkongsi perkara yang lain iaitu ingin meneruskan cerita tentang kaya adalah satu keperluan.

Menjadi kaya adalah satu keperluan, kita perlu kaya kerana kemiskinan akan menjerumuskan kita kepada kekufuran.

Sebagai umat Islam mengapa kita perlu kaya?
Sudah tentu untuk beribadah kepada Allah, untuk berdakwah, membantu yang miskin, untuk umat. Seluruh harta kekayaan tersebut digunakan untuk beribadat kepada Allah.
Adakah anda dapat solat dengan tenang dalam keadaan perut yang kelaparan?Adakah anda dapat berzikir dengan tenang bersama tangisan anak kelaparan yang meminta susu dan makanan?

Adakah anda boleh bersedekah, menunaikan zakat ataupun haji jika anda tidak mempunyai wang.

Alangkah bahayanya hidup dalam kemiskinan.Disebabkan miskin, ada suami yang rela menjual isterinya. Kerana miskin juga ada ibu yang tertekan sehingga sanggup menjual dirinya . Kerana miskin ada yang sanggup menjual keimanannya kerana menginginkan hidup yang yang lebih baik.

Saya akhir perkongsian saya hari ini dengan perkongsian hadis dibawah:
“Dan tidak ada satu binatang melata (makhluk ciptaan Allah yang bernyawa) pun di bumi melainkan ALLAH lah yang memberi rezekinya. Dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semua tertulis dalam kitab yang nyata (Lauhil mahfuuzh ).” (QS. Huud [11]:6).. Ini bererti rezeki kita masing masing sudah disediakan oleh Allah, bergantung kepada kita sendiri bagaimana kita menjemput rezeki tersebut.

Tawakal

Beberapa hari saya tidak mengemaskini blog ini. Kebelakangan ini fikiran saya agak buntu, malahan emosi juga sedikit sebanyak mengganggu tugas harian saya semenjak saya mendapat berita tentang keadaan kesihatan nenek saya yang kurang stabil.

Alhamdulillah, selepas seorang hamba ALLAH mengijazahkan saya zikir untuk lebih bertawakal kepada Yang Maha Kuasa, emosi saya ketika ini lebih baik, lebih tenang, malah lebih stabil berbanding emosi saya sebelum ini. Alhamdulillah, disebalik sesuatu kejadian itu pasti ada hikmah yang tersembunyi. Jika sebelum ini, hanya mulut yang mengatakan , aku redha dan tawakal, tetapi alhamdulillah saya diizinkan ALLAH untuk merasa, apa yang dimaksudkan dengan tawakal.

Dulu, jika saya menerima berita sedih, sudah pasti air mata yang akan menemani saya. Tetapi apabila dikaji perubahan yang saya alami beberapa hari ini, saya dapat menerima sesuatu perkara dengan lebih tenang, malah saya dapat rasakan air mata saya tidak lagi mengalir semudah itu. Adakah ini yang dinamakan tawakal, ataupun mungkin secebis dari rasa tawakal yang sebenar-benarnya. Namun begitu jika ini hanya secebis daripada rasa tawakal, sudah pasti hebatnya diri kita jika kita dapat 100% tawakal kepada yang esa.

Lagi beberapa hari ramadhan bakal meninggalkan kita. Semoga kita masih berpeluang untuk menemui ramadhan yang seterusnya. Segala yang baik dan buruk itu datangnya dari ALLAH.Semoga kita dikurniakan kebaikan di dunia dan akhirat.

Next Page »