Merdekakan minda

Gangguan kesihatan menghantui saya kebelakangan ini, akibatnya banyak kerja yang tergendala, emosi juga kurang stabil. Blog ini juga menerima kesan akibat gangguan kesihatan yang saya alami, minggu lepas banyak hari saya tidak mengemaskini blog ini. Maafkan saya, idea tak datang, minda juga tidak dapat mengeluarkan idea seperti biasa.

Beberapa hari lagi , akan tiba hari kemerdekaan bagi negara kita. Tetapi apa yang saya rasakan ketika ini, bahang kehangatan untuk menyambut kemerdekaan tidak seperti biasa. Suasana menyambut kemerdekaan dirasakan terlalu hambar. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya suasana kemerdekaan amat dirasakan. Apa yang terjadi pada tahun 2008 ini, saya pun tidak mengerti. Apa pun harapan saya semoga sambutan hari kemerdekaan yang disambut oleh rakyat Malaysia setiap tahun akan menjadi iktibar buat kita benar-benar merdeka.

Kita hanya merdeka dari segi fizikal, tetapi kita belum lagi merdeka dari segi mental. Kita masih lagi dijajah dan sudah pastinya akan terus dijajah sekiranya kita tidak dapat lari daripada penjara yang terdapat di dalam minda kita.

Kadangkala saya merasakan adalah teramat sukar untuk minda kita benar-benar merdeka. Minda kita dijajah sejak beratus tahun dahulu dan sehingga sekarang penjajahan itu masih belum berakhir. Penjajahan itu berlarutan dari zaman nenek moyang kita, sehingga ke generasi kita kehari ini. Malahan saya merasakan generasi hari inilah yang menerima impak penjajahan yang paling besar, selari dengan kemajuan dan teknologi yang semakin canggih. Hati saya sentiasa tertanya-tanya apakah yang saya boleh lakukan untuk mengeluarkan generasi kita daripada dijajah?

Teknologi semakin berkembang dan semakin maju. Kita sudah pasti tidak  mampu untuk mengekang kemajuan teknologi yang berubah amat pantas. Tetapi kita masih lagi boleh mengawal mental kita daripada terus dijajah asalkan kita mempunyai spiritual digital yang amat tinggi.

Apakah spiritual digital itu. Seperti komputer yang menggunakan binary code 01. Kita juga perlu mempunyai spiritual digital 01. Ianya juga boleh ditafsirkan sebagai ‘Laa’ilahaillallah’.

Saya amat yakin, selain daripada kekuatan minda, kekuatan spiritual adalah amat penting untuk mengelakkan diri dan minda daripada terus dijajah. Walaubagaimana pun, satu perkara penting yang perlu Anda tahu. Tiada siapa yang dapat menjajah diri dan minda Anda, kecuali Anda yang membenarkan diri dan minda Anda di jajah.

Survival politik VS rakyat

Saya merasakan indeks untuk kecenderungan untuk fokus ke arah sesuatu yang negatif makin meningkat. Saya melihat senario politik makin menuju ke arah sesuatu yang amat negatif dengan pelbagai peristiwa besar yang saban hari disiarkan di dada akhbar.

Walaupun saya sudah lama tidak membaca akhbar, namun dengan iklim politik yang semakin panas ini, adakalanya membuatkan saya tertarik untuk mengetahui tentang kisah yang sebenar. Terutamanya pengakuan bersumpah blogger raja Petra mengenai pembunuhan Altantuya, dan yang terbaru adalah kisah pengakuan seorang lelaki yang berumur 23 tahun, kononnya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semua maklumat ini saya perolehi daripada internet.

Sebenarnya saya tidak berminat untuk mengulas samada benar Datin Rosmah Mansur terlibat dengan pembunuhan warga Mongolia tersebut , atau mengulas pendapat saya tentang pendapat saya tentang kebenaran bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat pembantu khas beliau iaitu Saiful Bahari. Tetapi saya sekadar ingin berkongsi pendapat kesan yang bakal berlaku akibat daripada permainan politik para pemimpin negara ini.

Sebenarnya otak saya agak penat apabila meneliti senario  yang berlaku hari ini terutamanya selepas berakhirnya pilihanraya  yang ke 12 yang lepas. Betapa banyaknya cerita yang tidak menguntungkan rakyat terpampang di dada akhbar ketika ini, ketika rakyat Malaysia merintih dengan keadaan ekonomi yang kurang baik, kita ditarik pula dengan cerita-cerita negatif  yang disebarkan secara sengaja akibat mengikut nafsu pemimpin yang takut kehilangan kuasa  dan akhirnya ia langsung tidak menguntungkan rakyat.

Alangkah baiknya , jika ketika ini, para pemimpin tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang sama-sama bersatu hati dalam menangani krisis ekonomi yang semakin meruncing dan sama-sama membangunkan ekonomi negara .

Malangnya para pemimpin  negara kita lebih mementingkan survival politik, walaupun terpaksa mengorbankan individu lain, daripada membantu  menyelesaikan masalah rakyat yang semakin meruncing.

Wahai pemimpin-pemimpin  Malaysia yang disayangi, Dunia bukan segalanya..yang kekal abadi hanyalah alam Akhirat!

Next Page »