mental block lagi..

Lebih kurang 20 minit saya terpaku  memandang Laptop , mencari idea apakah yang akan saya kongsikan bersama anda hari ini. Kebiasaan saya bangkit sebelum pukul 5 pagi, banyak idea yang ingin saya kongsikan, tetapi sekarang sudah pukul 5.10 pagi, saya masih lagi tercari-cari apakah yang cerita yang akan saya kongsikan bersama anda.

Mungkin agak keletihan, seharian saya ulang-alik mengangkut air, sehinggalah dalam pukul 4.30 petang, air paip dapat disalurkan seperti biasa. Sebenarnya ada cerita yang ingin saya kongsikan kepada anda tentang kaitan air dan kitaran harian yang telah saya pelajari.  Ya, selepas segalanya reda, saya terfikir untuk mengaplikasikan kitaran harian melalui tarikh lahir  yang saya baru saja belajar (Advance).

Rupanya kitaran harian untuk sabtu dan ahad   ada elemen air lebih dari 3 kali. Iaitu pengulangan nombor 2 melebihi 3 kali, malah jika tak silap terdapat juga nombor 7 yang juga elemen air. Jadi sememangnya kitaran  harian yang dikaji melalui tarikh lahir saya , sudah menunjukkan kehidupan saya ada kaitan dengan air. Jadi benarlah kata guru saya, saudara Eddie, kehidupan kita sebenarnya umpama komputer atau robot yang sudah diprogramkan.Jadi jika kita sudah mengenal diri kita, pasti kita akan dapat menguasai diri kita. Saya tinggalkan kisah kitaran harian melalui tarikh lahir ini buat seketika, kerana untuk lebih penjelasan, ianya memerlukan gambarajah untuk dikongsikan.

Hari ini saya ingin berkongsi sedikit cerita tentang proses bagaimana minda kita diprogramkan, sehingga wujudnya keadaan mental block yang kerap saya tekankan, kebelakangan ini.

Sebenarnya minda kita telah pun diprogramkan sejak kita berusia 3 bulan. Pada ketika ini, minda separa sedar kita telah dapat  bekerja dengan  baik, merakam setiap perkara  yang telah dialami  . Tidak kira apa jua peristiwa, samada pengalaman, suara, atau emosi ianya akan masuk  terakam dengan sangat kuat di minda separa sedar dan ianya menjadi sebuah program yang disimpan di minda kita.

Pada waktu kita lahir, kita hanya mempunyai minda separa sedar sahaja, jadi sehingga ke umur 7 tahun,kita mengalami pemrograman minda secara terus menerus, melalui interaksi kita dengan dunia di luar dan di dalam diri kita.

Ketika kita masih kecil, proses pemprograman terjadi dengan sangat mudah kerana minda kita masih tidak dapat menolak informasi yang diterima kerana kita masih belum mempunyai minda sedar yang bertindak sebagai filter, Jadi critical factor kita masih lagi belum terbentuk. Sebenarnya saya ada berkongsi tentang perkara ini di dalam ebook magnet rezeki.

Kebiasaan proses pemprograman yang berlaku pula, datangnya dari dua keadaan yang berbeza iaitu imprint dan misunderstanding.

Keadaan imprint wujud apabila sesuatu perkara itu berlaku dengan wujudnya kehadiran emosi yang seterusnya mengakibatkan perubahan kepada kelakuan atau sikap kita.

Manakala misunderstanding pula wujud apabilaberlakunya  salah faham dalam mentafsirkan, atau membuat kesimpulan dari sesuatu pengalaman yang dialami.

Samada imprint atau misunderstanding, setelah ianya selamat terakam di minda separa sedar ianya akan menjadi satu program fikiran seterusnya ia akan mengendalikan kehidupan kita.

Sekiranya program fikiran kita bersifat ‘mental block’, ianya akan menyusahkan hidup kita, walaupun program fikiran sebenarnya bertujuan untuk memberikan kita kehidupan yang bahagia mengikut apa yang kita fikirkan. Terlalu bahagia, sudah tentu amat sukar untuk kita melakukan perubahan, kerana itulah ramai diantara kita yang tidak ingin keluar dari zon selesa, walaupun zon selesa tersebut bakal memudaratkan diri kita, kerana kita telah disabotaj oleh minda separa sedar kita sendiri.

Manakala sekiranya program fikiran kita bersifat ‘ stepping block’ ianya adalah bantu loncatan yang akan membantu kita untuk lebih berjaya.

Mental block akan dapat kita rasakan ketika wujudnya penolakan atau kesukaran untuk mencapai suatu target yang lebih tinggi. Penolakan ini jugakebiasaannya wujud di saat kita ingin berubah.

Sebagai contoh,jika anda telah menetapkan target yang lebih tinggi, dari apa yang telah anda capai ketika ini, dan anda merasa ada kurang yakin dan amat sukar untuk mencapainya, yakinlah bahawa masalah mental block telah menyerang anda.

Malahan, sekiranya anda sentiasa gagal dan terus gagal, dengan pola kegagalan yang sama, ini juga menunjukkan anda telah disabotaj oleh minda separa sedar anda.

Setakat ini dulu perkongsian hari ini..

Nostalgia & Cabaran yang menyeronokkan

Sejak semalam kawasan tempat tinggal saya keputusan bekalan air, disebabkan kerja baik pulih dilakukan oleh SYABAS . Seperti sebelum ini, apabila lori syabas menghantar bekalan air ianya bagaikan satu pesta. Tidak kira bangsa atau keturunan sama-sama beratur sambil membawa baldi, botol dan apa saja bekas yang dapat menakung air.

Pada pukul 11 malam semalam, tempat tinggal saya riuh rendah umpama pesta.  Dan pagi ini orang tidak ramai datang untuk menadah air, jadi saya mengambil kesempatan mengangkut air Sebanyak  4 ulangan, dikesempatan tersebut, dapatlah saya mandi seperti biasa, dan selepas mandi pergi sekali lagi menadah air untuk dijadikan simpanan. Memang penat, tetapi bagi saya ianya amat menyeronokkan.

Sebenarnya  ketika saya bergelar pelajar dulu , kalau tak silap pada tahun 2001, masalah kemarau melanda di Lembah Klang, situasi yang sama juga berlaku kepada kami, malahan  berbulan lamanya setiap hari kami terpaksa menadah air dari  lori tangki air, namun bagi kami ianya adalah satu keseronokkan. Itulah cabaran yang menyeronokkan ketika kami bergelar pelajar. Malahan apabila sekali sekala perjumpaan kami lakukan, pasti kami akan sama-sama mengenang peristiwa tersebut. Ada yang jatuh tangga, kerana licin dan macam-macam kejadian yang berlaku. Apa pun ianya benar-benar memberikan nostalgia kepada kami.

Ketika zaman kanak-kanak pula, masalah ketiadaan air adalah satu keseronokkan bagi kami iaitu saya dan adik saya yang tinggal bersama nenek disebuah perkampungan. Inilah masanya kami akan berpeluang untuk mandi sungai bersama datuk dan nenek kami. Jika tidak kami hanya mampu melihat kawan-kawan yang lain mandi sungai, kerana larangan yang dikenakan oleh datuk dan nenek. Apabila berpeluang mandi sungai, sampai merah mata kami pulun mandi sungai, malahan tidak sabar untuk menunggu waktu solat yang seterusnya untuk ke sungai lagi, ini kerana kebiasaan datuk dan nenek saya akan mandi sebelum masuk waktu zohor dan asar, selain subuh.

Namun pengalaman tersebut telah kami tinggalkan lebih 20 tahun, kerana setelah kami mula bersekolah, kami tidak lagi tinggal di kampung tersebut, malahan lebih 20 tahun saya sendiri tidak pernah menjejakkan kaki saya ke sana. Sudah pasti sudah banyak pembangunan yang  telah di terima. Rumah tempat tinggal kami tersebut telah disewakan, dan hanya nenek saya sekali sekala pergi menjenguk rumah tersebut yang berdekatan dengan tasik kenyir.

Cabaran air yang berlaku hari ini, benar-benar membangkitkan nostalgia indah untuk dikenang.

Bangunkan potensi diri yang ada

Saya merasakan diri ini amat kerdil. Semakin banyak ilmu yang saya perolehi, semakin kerdil diri saya, semakin banyak yang saya tak tahu, betapa luas dan dalamnya ilmu ALLAH.

Buat masa ini, fokus saya hanya pada pembangunan minda dan potensi diri. Ada ilmu yang telah saya pelajari saya gunakan, namun ada juga ilmu yang saya perolehi saya jadikan ia sebagai satu tambahan pengetahuan. Namun begitu, saya tidak dapat lari daripada merasakan betapa bodohnya diri saya.

Saya hanya fokus pada satu bidang, sudahpun merasakan diri ini terlalu bodoh dan banyak lagi  ilmu yang perlu saya pelajari. Bagaimana pula sekiranya saya belajar lebih banyak ilmu dalam bidang yang berbeza, sudah pasti saya akan terkapai-kapai kerana tiada fokus,sedangkan minda kita hanya boleh berfikir satu perkara sahaja dalam satu masa . Maka, jadilah saya semakin bodoh dan dungu. Namun saya bersyukur, sekurang-kurangnya walau betapa bodohnya saya merasakan diri ini, saya masih berusaha untuk mengejar ilmu tidak kira daripada buku atau seminar. Semakin saya merasakan diri saya tidak tahu, semangat ingin tahu itu datang dengan lebih mendalam.

Ramai orang yang tidak  sanggup mengeluarkan wang untuk mencari ilmu dengan alasan faktor kekangan kewangan. Namun saya berpendapat ianya umpama satu alasan yang datang akibat mental block yang ada pada diri seterusnya menyekat seseorang itu untuk berjaya.

Sebenarnya tiada alasan untuk kita berjaya. Sekiranya faktor kewangan dijadikan alasan, berusahalah untuk menyelesaikan masalah tersebut. Binalah tabung untuk tujuan pendidikan.

Belajarlah menabung untuk pendidikan dan pembangunan diri, dengan menyimpan serendah RM10. Sedikit-sedikit, lama lama jadi bukit.

Setiap orang ada potensi untuk berjaya. Jadi carilah ilmu dan bangunkan potensi diri yang ada.

Next Page »