Tak kenal maka tak kaya

Semalam saya menghabiskan masa siang saya untuk menghadiri workshop “Siri tak kenal maka tak kaya”. Workshop tersebut boleh dikatakan atau dianggap sebagai workshop bagi mengenal potensi dan kelemahan diri. Alhamdulillah persoalan yang sentiasa menghantui diri saya selama ini terjawab. InsyaALLAH saya akan cuba berusaha untuk mengatasinya. Selepas ini mungkin saya boleh membantu Anda melalui ilmu sedikit ilmu yang saya miliki ini. Jika selama ini, kita sentiasa mendengar ungkapan “Tak kenal maka tak cinta”, tetapi semalam saya sukakan ungkapan “Tak kenal maka tak kaya.

Jika sebelum ini kita sentiasa cuba untuk memahami dan mengenali diri orang lain, saya merasakan sudah tiba masanya untuk kita mengenal diri kita sendiri. Kenal apakah kekuatan, kelebihan yang kita miliki, apakah potensi kita dalam bidang perniagaan dan sesuai dengan diri dan dari itulah  kita dapat gunakan sebaiknya dalam meneruskan kehidupan.

Adakalanya kita terlalu sibuk membantu orang lain atau cepat kasihan apabila melihat seseorang itu berada dalam kesusahan, tetapi kita tidak sedar adakalanya sikap itulah yang akan memudaratkan diri kita sendiri.

Alhamdulillah semalam segala persoalan saya terjawab. Selama ini saya tercari-cari mengapa sesuatu perkara itu berlaku terhadap diri saya dan sentiasa berulang-ulang . Dan dengan adanya kesedaran itulah, saya perlu lebih berhati-hati dalam menguruskan  setiap perkara yang memberi kesan kepada diri saya sendiri.

Anda yang bertanggungjawab 100% terhadap kejayaan Anda

Satu perkara yang saya sentiasa percaya, kita memainkan peranan yang amat penting dalam mewujudkan apa yang berlaku dalam hidup kita dan kita perlu BERTANGGUNGJAWAB di atas setiap perkara yang kita lakukan.

Seperti yang saya sentiasa tekankan selama ini, hidup kita sentiasa mempunyai pilihan. Dan kita sentiasa mempunyai pilihan untuk melakukan yang terbaik bagi mencapai kejayaan dalam apa jua yang kita lakukan.

Mereka yang tahu mengawal kehidupan sentiasa percaya bahawa mereka yang mewujudkan setiap apa yang mereka alami ketika ini. Apabila setiap perkara yang dilakukan sentiasa menghasilkan kejayaan,merekalah yang mewujudkan kejayaan tersebut. Apabila gagal, mereka juga percaya itu hasil daripada diri mereka sendiri.

Saya ambil satu contoh. Seperti yang kita tahu, tugas seorang guru ialah mendidik dan mengajar , tetapi jika guru tersebut gagal untuk mendidik dan mengajar dengan sebaiknya . Sebagai seorang guru yang bertanggungjawab, kepada siapakah kegagalan itu perlu diletakkan. Siapa yang perlu dipersalahkan. TANGGUNGJAWAB siapakah yang mendidik dan mengajar.

Jika seorang guru meletakkan kegagalan seorang pelajar itu gagal kerana tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh, tidak terfikirkah kita mengapa pelajar tersebut tidak bersemangat dan tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh?

Siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab memberi galakan untuk belajar bersungguh-sungguh. Siapakah yang sepatutnya mendidik dan menarik minat pelajar untuk berusaha. Seorang guru yang baik dan kreatif sentiasa mempunyai pilihan untuk menjadikan setiap perkara yang dilakukan akan berjaya.

Dalam apa jua yang kita lakukan, sekiranya kita bertanggungjawab atas perkara yang kita lakukan, kita pasti akan cuba melakukan yang terbaik untuk mencapai kejayaan. Sekiranya Anda sedang berusaha untuk menjadi seorang yang berjaya, dan sehingga sekarang Anda masih lagi gagal. Siapakah yang bertanggungjawab atas kegagalan tersebut?. Sekiranya kita hanya tahu menyalahkan orang lain, adakah kegagalan itu akan bertukar menjadi kejayaan dengan sekelip mata?. Anda yang bertanggungjawab  100% atas kegagalan itu.

Apa jua pekerjaan yang kita lakukan, tidak kira samada Anda seorang guru, doktor, pelajar  , atau apa jua pekerjaan, kita sentiasa mempunyai pilihan untuk menukarkan kegagalan kepada kejayaan dengan syarat, kita perlu BERTANGGUNGJAWAB 100%  terhadap apa jua yang kita lakukan.

Next Page »