Hal Peribadi dan internet

Salam perkongsian dan Selamat menyambut Hari Wanita Sedunia ….

Emm pada minggu yang lepas Saudari Linn ada berkongsi mengenai kegilaan umum mengenai facebook. Pelbagai cerita dan paparan yang ada untuk dikongsi bersama jutaan pengunjung laman web itu.

Umum mengetahui adanya komputer dan Internet, banyak kerja sekolah, tugasan kerja dan urusan peribadi boleh kita lakukan. Pendek kata, banyak urusan menjadi semakin mudah, cepat, berkesan dan bermanfaat pada pengguna. Tak perlu beratur panjang untuk membuat pembayaran dan sebagainya. Memang menguntungkan terutama bagi mereka yang dihambat kesibukan seharian.

Ironinya, revolusi komputer dan Internet ini juga membawa bersamanya unsur-unsur negatif ekoran tindakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakan kemudahan teknologi maklumat sehinggalah yang menjurus ke arah mengaibkan individu lain.
Memandangkan kuasa penyebaran maklumat begitu pantas yang ada kalanya menjangkau sasaran ribuan pengguna/pengunjung laman web sosial, begitu mudah maklumat disebarkan.

Inilah yang kita dapati baru-baru ini mengenai penyebaran klip video lucah seorang artis, komen kurang sensitif terhadap agama lain sehingga kepada membuat kenyataan berbaur perkauman yang boleh dimuat naik/turun di laman web sosial.

Namun terdetik satu persoalan, mengapakah dewasa ini perlunya merakam sesuatu adegan yang dianggap peribadi dan sensitif? Bukankah ia ibarat membuka pekung di dada dan memberi laluan, ruang dan peluang kepada umum mengetahui rahsia kita.

Lebih memburukkan lagi, apabila kita ketahui sesuatu yang berbentuk peribadi seperti rakaman video dan tulisan boleh jatuh ke tangan individu yang tidak bertanggungjawab dan boleh juga dihebahkan kepada umum.

Kita harus ingat, dalam dunia siber, ruang peribadi kita boleh didedah kepada umum ataupun dipecah masuk golongan penggodam.

Sebab itu, perlu kita berhati-hati apabila memasukkan sesuatu kandungan dalam komputer khususnya yang berbentuk peribadi agar sudah terhantuk baru tengadah dan kita pula yang menerima padahnya. Bukan saja hak peribadi telah dibolosi malah maruah dan kreadibilti turut dipertaruhkan dan menjadi buah
mulut orang ramai. Silap haribulan kita pula dicop sebagai tidak bermaruah dan sebagainya. Salah kita kah ?

Pada saya, ada baiknya jika kita belajar selok-belok penggunaan Internet daripada mereka-mereka yang lebih arif dan pakar mengenai komputer agar kita tidak terjerat dengan masalah berkaitan Internet seperti penipuan kata kunci, virus dan sebagainya. Tapi harus diingat jangan harapkan pagar, pagar makan padi pula…..

Akhir kata, pelanduk selalu lupakan jerat, tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk…siapa yang menjadi pelanduk dan siapa menjadi jerat, sama-samalah kita fikir-fikirkan.

Ditindih atau paralisis ?

Salam perkongsian untuk semua, Selamat beristirehat dihujung minggu, sambil minum pagi dan membaca akhbar…pasti suatu yang seronok dilakukan. Iyealah hari-hari biasa kita dihimpit dengan kesibukan kan.

Antara topik yang menarik minat saya ialah isu yang hadapi oleh mereka yang seolah-olah ternampak ‘benda / bayang’ tertentu yang seolah-olah menindih tubuh mereka hingga tidak boleh bergerak. Hendak memanggil, tetapi tidak mampu untuk bersuara.

Pernahkah anda melalui pengalaman ini ? Bersama-sama ini saya sertakan pandangan-pandangan dari sudut perubatan yang mungkin boleh menjawab persoalan ini.

Apa yang berlaku itu merupakan fenomena paralisis tidur. Ia merujuk kepada suatu tempoh singkat yang membuatkan seseorang tidak dapat membuat pergerakan mana-mana bahagian badan ketika baru memasuki fasa hendak tidur (hipnogogik atau predormital), atau ketika hendak sedar daripada tidur (hipnopompik atau posdormital).

Lazimnya seseorang akan mengadu hilang upaya gerak anggota tangan atau kaki ketika baru mula tidur atau hendak sedar. Berlaku juga episod singkat paralisis otot skeletal, sama ada sebahagian atau sepenuhnya. Ia biasanya dikaitkan dengan halusinasi hipnogogik atau aktiviti otak yang mencetus situasi seperti mimpi.

Paralisis tidur selalunya dikaitkan dengan narkolepsi, iaitu gangguan neurologikal yang membuatkan seseorang mengalami rasa mengantuk yang ekstrem lalu boleh tertidur secara tiba-tiba. Namun begitu, ada orang yang mengalami paralisis ini tanpa menunjukkan petanda narkolepsi.

Antara penyebab paralisis tidur ini adalah seperti tidur dalam posisi terlentang terlalu lama, jadual tidur yang tidak menentu, tidak cukup tidur dan istirehat, stres dan juga pertukaran gaya hidup secara mendadak (misalnya peralihan daripada mod rehat kepada aktiviti ekstrem secara mengejut).

Dalam kes halusinasi hipnogogik tertentu, seseorang akan merasa seperti ada orang lain di dalam bilik tidur mereka. Ada juga yang trauma apabila menyangka ada ‘sesuatu’ yang duduk di atas dada hingga menyukarkan pernafasan.

Walau bagaimana pun, dalam dunia ini memang ada makhluk lain di dimensi yang tidak dapat ditembusi mata kasar kita. Tetapi janganlah kita jadikan ia satu-satunya alasan bagi setiap kejadian yang tidak dapat dihuraikan.

Jadi apa yang yang mereka nampak atau rasa itu sekadar cerita rekaan kerana tidak tahu hendak menghuraikan fenomena lumpuh sementara? sama-samalah kita fikirkan…..mungkin anda yang berada di luar sana ada jawapannya…apa kata kita kongsikan bersama.

Mulakan dari dalam

Walau dalam apa jua keadaan kita hari ini,samada bahagia atau derita, jangan sekali-kali kita cuma menyalahkan takdir. Walau apa pun juga yang berlaku kepada kita sepanjang hidup ini, pasti ada sebabnya yang perlu kita terokai dengan mata hati kita kerana setiap sesuatu yang ALLAH jadikan, pasti ada penyebabnya.

Jika ketika ini anda sedang bergelut dalam pelbagai masalah tidak kira apa juga masalah yang dihadapi, janganlah merungut, tapi renungkanlah hikmah yang tersembunyi disebalik masalah itu.

jika ketika ini anda sedang bergelut dengan masalah kewangan, carilah hikmah disebalik setiap masalah kewangan yang anda alami.

Lihatlah keadaan anda ketika ini. Jika anda sudah bekerja keras tetapi masih belum menampakkan hasil kewangan yang baik, jadi buatlah perubahan. Mungkin perubahan di atas setiap usaha anda, atau mungkin juga perubahan perlu dilakukan dari dalam diri anda. Seperti berubah dari cara atau kaedah berfikir. Berubah dalam menguruskan emosi dan perubahan juga dari segi meningkatkan kekuatan spiritual.Perubahan yang paling baik adalah bermula dari dalam diri kita sendiri.

Ramai yang menghantar email kepada saya, sudah bekerja keras membanting tulang mencari rezeki, malah ada yang melakukan sehingga 3 kerja sehari semata-mata untuk mendapatkan pendapatan yang baik. Tetapi duit yang datang umpama air, masih sukar untuk menyimpan wang atau mengumpul harta.

Malah saya juga ada menemui individu yang amat mudah untuk mendapatkan wang, adakalanya wang hadir ketika beliau tidur, malah adakalanya wang hadir ketika beliau bergelak santai bersama kawan dan teman. Malah kebanyakkan wang yang datang ketika beliau tidak menjalankan apa-apa urusan urus niaga secara fizikal. Pendek kata ianya boleh dianggap sebagai pendapatan pasif.

Adakah hanya individu yang terpilih sahaja yang mampu memperolehi wang seperti itu? Oh tidak! kerana ALLAH itu Maha Adil, setiap hambanya memperolehi peluang untuk berjaya dan gagal, malah setiap hambanya disediakan rezeki masing-masing.
Cuma bergantung kepada diri kita yang mencorakkan perjalanan hidup kita. Mulakan dengan perubahan dalaman..pasti ianya akan menghasilkan perubahan diri yang hebat. Apa yang penting lihatlah sesuatu perkara yang berlaku pada diri dalam pandangan yang positif, pasti hikmah disebalik kejadian dapat kita lihat dengan sejelasnya.

Next Page »