Ibu..Adik Nak tanya…

Adik cuma nak tanya ibu, kenapa begini jadinya? cinta Feb

Bu, adik Cuma ingin bertanya…
Rasanya ibu tak akan mampu menjawabnya…
Ibu ingat 14 feb tak
Malam tu ibu ada janji temu
Ibu jumpa jejaka tu
Ibu kata dia cintakan ibu

Benarkah bu?

Dia puji dan puja ibu
Dia rayu dan belai ibu
Katanya cintanya hanya untuk ibu

Benarkah bu?

Ibu terkhayal dengan bujukannya
Ibu terbuai dalam bicaranya
Ibu terlena oleh bisikannya
Benarkah bu?

Ibu tak kisah dia peluk ibu
Ibu izin dia sentuh jasad ibu
Ibu puas dapat buktikan setia ibu
Macam dia kata.. mahu bukti cinta dari ibu
Tapi benarkah bu?
Masa berlalu,
Hari ini lepas 9 bulan…
Pohon yang ibu dan lelaki tu tanam telah membuahkan hasil
Hari ini buah cinta kalian telah terzahir
Hari ini bukti kasih jejaka itu pada ibu telah lahir…
tapi benarkah bu?

Kenapa dia tidak sama menyambut kami?
Kemana dia telah pergi tidak azankan kami?
Mengapa ibu pun benci kami?
Sedangkan inilah semaian tanda cinta kalian?

Mengapa ibu?

Tak terasakah sakit dan perit
tak berbakikah kasih dan sayang dan
Tidak lagi kah ibu berTuhan?

Benarkah ibu?
Benarkah begitu?

**Sekadar renungan kita bersama .Kredit untuk shamkj, wangcyber.com atas perkongsian ini

Si Taukeh Kedai dan telur

Salam perkongsian untuk semua. Sejak kebelakangan ni agak sibuk dengan tugas seharian, tak putus-putus dengan site visit. Tapi peluang untuk berjumpa dan berbincang bersama otai-otai dalam bidang ni memang sesuatu yang berguna, kalau pun bukan untuk hari ini tapi untuk masa akan datang.

Dalam pada itu, salah seorang rakan kurang sihat dan meminta saya membelikannya panadol untuk mengurangkan ketidakselesaannya, jadi saya singgah di sebuah kedai runcit. Bila masuk ke kedai runcit tersebut saya terdengar perbualan tuan punya kedai ( agaknya sebab dia ada kat kaunter kedai runcit tersebut ) dan seseorang yang ada di situ, mungkin pelanggannya.

“Boss terror kan, cuba teka apa yang ada di dalam tangan saya ini?”, tanya pelanggan kepada taukeh kedai sambil menunjukkan genggaman tangannya.

“ Apa u ingat ini nujum pak belalang kah ? bagi clue lah”, pinta si taukeh.

“Baiklah, benda ini bentuknya bulat seperti telur.”, ujar pelanggan tadi.

“Tips lain?”, tanya si taukeh lagi.

“Warnanya seperti telur juga.”

“Bayangan lain?”, rayu si taukeh lagi.

Pelanggan tersebut menggeleng-gelengkan kepalanya sambil berkata : “Belum cukup clue lagi kah boss ?”

“emmm, jika ia dimasak rasanya seperti telur. Isinya cair dalam keadaan biasa, tetapi apabila dimasak ia akan berubah menjadi keras (pepejal).”, katanya untuk tidak menghampakan si taukeh, agaknya.

Setelah berfikir panjang, taukeh kedai menjerit dengan yakin dan penuh kegembiraan, “Aku dah tahu jawapannya. Ia adalah sejenis kuih! Betul tak?”

“Ish ish ish ish”. Pelanggan menepuk dahinya sambil menggelengkan kepala. Lantas membuka genggamannya……

Nak tak tahu apa yang ada di dalam genggaman pelanggan tadi ? ianya sebiji telur ! telur tu pulak di ambil dari tray yang ada di depan taukeh tersebut…..Emm terpikir apa rahsia disebalik perbualan mahupun gurauan tadi……

Setiap kali memberi pembayang, pelanggan tadi mengatakan sama seperti telur, tapi jawapan si taukeh langsung tidak berkaitan dengan telur. Kenapa ek ? Loyar buruk kah dia ? Mungkin anda di luar sana ada jawapannya atau memahami maksud tersirat disebalik cerita ini….apa kata kita kongsikan bersama

Kepayahan vs kesenangan

Ramai yang beranggapan ujian datang tatkala kita dilanda musibah, manakala mendapat kejayaan dan kesenagan merupakan satu anugerah.

Tapi sedarkah kita, setiap yang berlaku mempunyai hikmah yang tersembunyi. Benarkah ujian itu datang ketika kita dalam kepayahan dan kesusahan ? Bagaimana kalau saya katakan, ujian datang sewaktu kita menghadapi kesenangan. Mungkin ada yang bersetuju dan ramai juga yang tidak bersetuju dengan pendapat saya ini.

Saya percaya walau di mana pun kita berada, kita sering terdengar rungutan dan keluh kesah manusia tentang kepayahan. Kepayahan bagi sesetengah orang adalah milik mereka yang tidak tahu mengatur hidup. Betulkah begitu ?

Tidakkah kesenangan itu memungkinkan kita untuk menjadi tamak, bertambah sibuk dan kadangkala melalaikan kita kepada pencipta kita ? Bagaimana kalau kita mengatakan kesenangan itu merupakan satu ujian, tidakkah ini menjadikan kita lebih berhati-hati dan menguasainya lebih daripada apa yang kita lakukan sewaktu zaman kepayahan kita dulu

Saya rasa ramai yang sedar bahawa kesenangan itu boleh menjatuhkan kita lebih teruk dari kepayahan. Disaat kita dilanda kesusahan, kita hanya jatuh dari segi fizikal dan emosi, tetapi sewaktu kita senang, kita jatuh malah mungkin akan kehilangan rohani. Jika tidak dibendung mungkin kita akan lebih mengingati kesenangan daripada mengingati ALLAH.

Ketika kita susah kita sering memohon dan menadah tangan kepadaNYA tetapi bila kita diulit kesenangan kita seringkali mengabaikanNYA apa lagi berterima kasih.

Sewaktu kita senang, kita lebih takut untuk menjadi susah berbanding takut akan kehilangan cinta ALLAH. Kita merasakan apa jua yang kita kecapi adalah kerana usaha kita dan bukan kerana pemberian-NYA.

Dapatkah kita menilai dan memikirkannya secara bijaksana. Kepayahan mungkin boleh membunuh kita dengan cara yang lebih kasar dan keras, manakala kesenangan membunuh kita dengan cara yang paling halus dan ini jauh lebih bahaya.

Walaubagaimana pun, ini tidak bermaksud kita tidak perlu mencari kesenangan. Saya percaya kita memang memerlukan kesenangan tetapi biarlah kita menguasai diri kita ketika kita berada di dalam lingkungannya. Pasti anda ingat akan kata-kata ini..” berusahalah kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi dan beramallah kamu seolah-olah kamu akan mati pada esok hari”….

Sebenarnya kesusahan dan kepayahan adalah latihan untuk kita dan kesenangan itu adalah ujian dan kita perlu menempuhinya. Kita perlu lulus dalam ujian tersebut untuk mendapat kesenangan dunia dan akhirat. Jika kita tidak pernah menghadapi kepayahan mungkin kita juga tidak pandai menilai erti kesenangan.

Saya tinggalkan anda semua dengan bait-bait indah nukilan Alllayarham Sudirman Hj Arshad, untuk kita hayati bersama….dan janganlah pula kita lupa hakikat sebenar kenapa ALLAH menciptakan kita.

Perpisahan adalah pahit
Dan ini adalah satu pengalaman

Kita tidak akan merasa
Bertuahnya hidup di bumi ini
Jika kita tidak membuka mata
Dan melihat
Malang yang bertimpa-timpa
Di tempat orang

Setiap seorang dari kita
Mempunyai tujuan
Dan cita-cita yang berbeza
Tujuan untuk mengecapi kebahagiaan dan ketenangan…..

Next Page »