Kaya harta tetapi jiwa kosong, tiada gunanya..
Alhamdulillah, hari ini saya amat gembira. Walaupun saya hanya menghadiri ESQ sebagai alumni hanya untuk satu sessi sahaja, tetapi saya amat gembira apabila melihat wajah-wajah kegembiraan para peserta yang hadir untuk training itu. Yang paling menggembirakan saya apabila bertemu dengan salah seorang pembaca blog ini yang juga menghadiri training ESQ tersebut. Harapan saya semoga beliau akan sentiasa tenang setelah mendapat kepuasan yang diinginkan. Saya gembira apabila beliau mengatakan,” akak dah sedar, mengapa ALLAH menduga akak dengan pelbagai masalah, rupa-rupanya ini yang ALLAH hendak berikan“. Terus terang saya katakan saya amat gembira dengan kata-kata yang diluahkan tersebut.
Pengalaman saya menghadiri training ESQ dan mission statement benar-benar memberikan saya pemahaman apakah itu kejayaan yang sebenar. Apakah nilai yang perlu ada bagi sebuah kehidupan dan juga kejayaan.
Selain visi dan misi kesedaran spiritual amat perlu untuk berjaya, supaya kita tidak keluar daripada landasan yang sepatutnya. Sentiasa bergerak di dalam orbit yang sebenar seperti ataom dan planet sentiasa bergerak melalui landasan yang disediakan. Apa yang penting kita perlu tahu apakah jati diri kita, sebelum kita mencipta visi kehidupan.
Empayar AlBukhary yang dibina oleh Pemiliknya iaitu Syed Mokhtar AlBukhary juga dibina atas landasan spiritual yang amat kuat. Saya ada menulis dan meletakkan segelintir daripada bukti-bukti tersebut di dalam blog kejayaan.net .
Saya yakin, kejayaan atau kekayaan yang dibina tanpa mempunyai nilai spiritual , tidak akan berkekal lama. Tidak akan bertahan. Mempunyai harta yang banyak, tetapi hati dan jiwa yang kosong, ianya tidak menjanjikan kebahagiaan. Kita sebagai manusia, pasti akhirnya kembali kepada pencipta, kerana itulah kita sebagai manusia terutamanya umat Islam visi dan misi hidup kita sebenarnya telah ditetapkan oleh ALLAH. Apakah visi dan misi yang telah ditetapkan itu?
The Ultimate Meaning
Adakah anda pernah bertemu dengan individu yang telah berjaya?. Jika anda biasa bertemu atau berbual mesra dengan golongan yang berjaya, anda boleh bertanya kepada mereka, apakah perkara yang paling penting dan memberi kesan dalam perjalanan hidup mereka mencipta kejayaan yang hebat.
Adakah mereka akan bercerita tentang jumlah kekayaan yang telah beliau alami? Atau adakah mereka bercerita tentang bagaimana mereka menikmati kekayaan mereka, atau adakah mereka lebih suka bercerita tetang perjuangan dan pengorbanan yang telah mereka lalui untuk mencapai impian mereka?
Anda pula sebagai pendengar, kisah yang manakah membuat anda tertarik untuk mendengar?. Adakah jumlah wang mereka atau perjuangan yang mereka lalui bagi mencapai impian yang diinginkan.
Saya benar-benar yakin dan percaya, samada pencerita atau pendengar cerita tersebut tentu lebih suka bercerita dan mendengar tentang perjuangan yang dilalui bagi mencapai kejayaan tersebut.
Kejayaan bukan satu destinasi , tetapi adalah satu pengembaraan yang panjang. Perjalanan dalam satu perjuangan itulah yang paling indah, iaitu di saat kita perlu bersabar dalam mengharungi penderitaan dalam menuju sesuatu kejayaan. Jadi tidak mustahil sekiranya saat seperti inilah menjadi satu peristiwa yang tidak dapat kita lupakan.Itulah kejayaan kita yang sebenarnya. Inilah yang dikatakan ‘The ultimate meaning ‘ atau sesuatu yang paling bermakna di dalam kehidupan daripada kecergasan spiritual. Wang ataupun kekayaan hanyalah satu simbol, tetapi setiap halangan yang anda tempuhi dengan penuh kesabaran itulah kejayaan yang paling bermakna.

