Selamat hari bapa

Salam perkongsian semua. Setiap tahun hari bapa jatuh pada hari ahad minggu ketiga dalam bulan Jun. Tahun ini, hari bapa jatuh pada 20 Jun 2010 iaitu hari ini.

Sama ada kita sedar atau tidak sambutan Hari Bapa tidak sehangat tatkala kita menyambut Hari Ibu. Masyarakat menghargai pengorbanan ibu dengan sambutan yang cukup meriah dengan pelbagai program. Tetapi pengorbanan bapa seperti dilupakan. Ramai yang tidak menyedari wujudnya sambutan Hari Bapa. Tidak ada tokoh Bapa Mithali atau Bapa Soleh seperti dianugerahkan kepada ibu sempena Hari Ibu.

Walaupun begitu saya berharap ianya tidak mematahkan semangat semua bapa di dunia ini untuk meneruskan perjuangan untuk menjaga, melindungi dan mendidik keluarga masing-masing.

Perkara penting untuk melahirkan keluarga bahagia terletak kepada ketua keluarga, iaitu sang suami dan juga bapa. Perkara itu meliputi keupayaan mendidik, menjaga keselamatan, memberi kasih sayang, menyara perbelanjaan dan mempertahankan maruah. Justeru, bapa perlu banyak berkorban demi melaksanakannya.

Sesungguhnya dalam hal ini bapa menanggung amanah yang besar.
Maka dalam melaksanakan tugas tersebut seorang bapa memerlukan keikhlasan, kesediaan, kesungguhan, pengetahuan tentang tugas kebapaan, kemampuan dan ketakwaan kepada ALLAH

Saya percaya tugas bapa bukan setakat menyediakan keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian kepada anak-anak. Rasanya tugas dan tanggungjawab itu belum sempurna biarpun berjaya memberi kemewahan material kepada anak-anak. Kerana tanggungjawab itu sepatutnya meliputi keperluan fizikal dan rohani.

Bapa tidak patut menganggap tugas yang dilakukan sebagai satu beban. Rasa terbeban akan tanggungjawab itu saya pasti akan menghilangkan rasa ikhlas yang ada.

Sempena sambutan Hari Bapa pada hari ini, saya mewakili linncomel.com ingin mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua insan yang bergelar bapa, ayah, abah, dad, daddy, walit, dan sebagainya.

Ingatlah kemahiran kebapaan itu tidak lahir secara ‘kebetulan’ apabila bergelar bapa. Jadi tidak salah untuk kita terus belajar dan belajar untuk kebahagian dan kesejahteraan keluarga tercinta :-)

Selamat Hari Guru

Salam semua, apa khabar agaknya di hujung minggu begini. Saya pasti ramai di antara kita meluangkan masa di hujung minggu untuk bersantai bersama keluarga.

Hari ini bersamaan dengan 16 Mei, merupakan sambutan hari guru, maksudnya penghargaan kepada semua insan yang bergelar guru. Saya ingin berkongsi cerita tatkala menjadi guru sementara 10 tahun yang lalu sebelum menyambung pelajaran.

Meski hanya sempat menyandang jawatan tersebut untuk tempoh 8 bulan tapi banyak kenangan yang tersemat indah di minda saya.

Hari pertama saya melaporkan diri di sekolah saya ditugaskan, saya melihat seorang pakcik dengan senjata tajam dan muka bengisnya, mencari salah seorang guru dengan tujuan untuk memberi amaran kerana guru tersebut memarahi anaknya.

Itu pengalaman hari pertama saya. Selepas itu pelbagai ragam yang saya lihat sepanjang bergelar guru. Memandangkan saya ditugaskan untuk menjaga kelas yang bakal menduduki peperiksaan saya perlu menggunakan skill yang ada untuk memberikan nota yang terbaik untuk pelajar saya. Masa tu ABM ( alat bantu mengajar ) tidak secanggih apa yang ada ketika ini, namun ianya tidak mematahkan semangat saya untuk terus menabur bakti.

Tidak kurang juga ada di antara ibu bapa yang menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada guru untuk mendidik anak-anak mereka, malah buat tidak tahu dan kisah perihal anak-anak mereka ketika di sekolah.

Ada juga di antara guru yang mengajar sambil lewa, sibuk dengan business jualan langsung, nota diberi hanya ala kadar. Emm susah gak kalau kerja tidak disertai dengan minat.

Emm kalau nak bercerita kisah seorang guru dan asam garamnya, saya pasti 1001 kisah akan tersingkap dan terungkap. So dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua guru tidak kira sama ada di desa mahupun di kota. Teruskan usaha untuk terus menabur bakti membimbing anak bangsa…….

Kepada semua guru, saya tinggalkan lagu ini agar kita tidak pernah lupa hakikat dan amanah yang telah diberikan kepada kita. Saya percaya bait-bait indah ini akan membakar semangat kita untuk memberikan yang terbaik kepada bunga bangsa.

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan

* kepada linncomel, saya percaya walau bukan bergelar guru, ramai yang ingin mengucapkan selamat hari guru kerana linn banyak membimbing mereka dalam dunia blogger, tidak terkecuali saya. So selamat hari guru, terima kasih di atas tunjuk ajar mu sifu. :-)

Salam Hormat
- Ima Harlina -

Selamat Hari Ibu

Salam ceria dan salam perkongsian untuk semua. Hari ini merupakan Hari Ibu, yakni penghormatan bagi semua yang bergelar ibu. Ibu, mama, mami, umi, bonda, emak dan apa saja panggilan untuk mereka, mereka tetap bermakna dalam hidup kita tidak kira di desa mahupun di kota. Untuk itu, kami di linncomel.com ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada ibu-ibu kami dan semua Ibu tidak kira di mana pun anda berada.

Islam memandang berat pengorbanan seorang ibu kerana merujuk kepada kepayahan dan kesusahan mereka ketika mengandungkan kita, membesar, memelihara dan mendidik kita sehinggalah kita menjadi seperti kita hari ini.

Firman Allah dalam Surah Lukman ayat 14: Maksudnya: “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya ,ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Dengan demikian bersyukurlah kepada ku dan kedua ibu bapamu dan ingatlah kepad Aku lah jua tempat dikembalikan untuk menerima balasan”. Pengorbanan mereka adalah pengobanan yang cukup besar. Maka atas dasar itulah Islam menggandingkan tanggungjawab mentaati ibubapa mengiringi persoalan mentauhidkan Allah.

“Muawiyah bin Haidah Al-Qusairi telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Siapakah orang yang paling patut untuk aku berbuat baik?. Baginda menjawab: Ibu Mu. Aku bertanya lagi: Kemudian siapa?. Baginda menjawab: Ibu Mu. Aku bertanya lagi: Kemudian siapa?. Baginda menjawab: Ibu Mu. Aku bertanya lagi: Kemudian siapa?. Baginda menjawab: Bapa Mu, seterusnya orang yang paling hampir denganmu” . Menurut maksud Hadis tersebut pengulangan lafaz ibumu menunjukkan tentang ketinggian martabat seorang ibu tanpa menafikan hakikat dan tanggung jawab seorang ayah.

Dalam kita mengenang jasa ibu sempena kita menyambut hari ibu setiap tahun marilah sama-sama kita bermuhasabah dan berikrar untuk sentiasa menyayangi dan menjaga hubungan baik dengan ibu kita. Berusahalah agar kita tidak menyakiti hati ibu kita yang selama ini entah berapa kali kita telah menyakiti dan menyentuh hati dan perasaan mereka. Ingatlah, perbuatan menyakiti hati seorang ibu adalah merupakan dosa yang cukup besar. Berjanjilah kita bahawa kita akan menjadi anak yang tidak menderhaka kepada kedua ibu bapa kita.

Adalah sesuatu yang amat mengecewakan kita pada hari ini apabila ada sebahagian anak-anak tidak lagi hormat kepada ibu-bapa, berani memaki hamun apabila tidak mendapat apa yang dihajati malah lebih dahsyat sanggup melakukan jenayah seperti memukul, sepak terajang bahkan lebih dahsyat hingga sanggup membunuh ibu-bapa sendiri. Ini adalah tanda jiwa mereka sudah tandus daripada keimanan. Sebelum mengundurkan diri, saya tinggalkan anda semua dengan sebuah cetusan rasa untuk mereka yang bergelar ibu.

Untukmu Ibu……

Ibu…
Kau ampunkanlah
Dosaku….
Kerana kelahiran ku
Darah mu tumpah ke bumi

Ibu…
Ampunkanlah dosaku
Kerana sakit dan sedih ku
Airmata mu membasahi pipi

Ibu…
Ampunkanlah dosaku
Dek kerana membesarkan ku
Resah gelisah kerap menyapa diri

Terima kasih ku pada mu
Kerana membesarkan ku
Kerana kasih sayang mu
Kerana bimbingan dan dorongan mu
Aku menjadi aku hari ini…

Ibu….
Doakan dan restuilah diriku agar berjaya
Mejadi ibu seperti mu jua
Melahirkan anak bangsa yang berwibawa

Setinggi gunung seluas lautan
Bukan ukuran
Pengorbananmu ibu tiada batasan
Kasih sayangmu tetap berkekalan

Doaku untuk mu ibu
Agar ALLAH memberi restu
Atas segala jasa dan bakti mu
Pahala Syurga ganjaran untuk mu

Next Page »