Apa Gunanya Kekuatan Tanpa Akal Fikiran

13

Category : Motivasi

Salam sejahtera. Terima kasih kerana masih lagi setia bersama Bicara Selasa . Saya Raymond Chua dari blog Law of Attraction .

Pada minggu ini, saya akan kongsikan sebuah cerita yang menarik dengan anda.

Di dalam sebuah hutan, tinggal seekor harimau yang garang. Pada suatu hari, semasa Sang Harimau sedang mencari makanan, ia terjumpa dengan seekor Poodle (sejenis binatang yang agak comel) yang tidak pernah dilihatnya.

Maka harimau tersebut pun mengambil keputusan untuk menjadikan poodle tersebut sebagai sasarannya. Poodle tersebut berasa terkejut apabila menyedari bahawa ia telah menjadi sasaran Sang Harimau.

Otak poodle itu berpusing ligat bagi mencari jalan untuk melepaskan dirinya daripada maut. Sambil ia berfikir, ia ternampak setimbun tulang binatang yang terletak tidak jauh darinya.

Apabila Sang Harimau bergerak secepat kilat untuk menerkamnya, poodle itu pun berkata, “Hmm … sedapnya harimau ini,” sambil melihat ke arah timbunan tulang tersebut.

Sang Harimau pun menghentikan langkahnya serta merta, berasa terkejut dan segera menjauhi poodle tersebut. Poodle itu berasa bersyukur kerana terselamat daripada menjadi mangsa Sang Harimau.

Semuanya berjalan dengan lancar kecuali satu perkara …

Kejadian ini disaksikan oleh seekor monyet yang memerhati dari atas sepohon pokok rambutan. Si Monyet mengambil peluang ini untuk mendapatkan perlindungan daripada Sang Harimau dengan membelot poodle tersebut.

Si Monyet pun segera pergi mendapatkan Sang Harimau untuk menyuarakan tawarannya.

“Saya ada satu maklumat yang amat penting untuk diberikan kepada kamu. Sebagai balasannya, saya ingin mendapatkan perlindungan daripada kamu” ujar Si Monyet.

Sang Harimau bersetuju dan menerima tawaran ini. Kemudian Si Monyet pun memberitahu Sang Harimau tentang hal sebenar mengenai poodle tersebut.

Sang Harimau berasa amat marah dan pergi ke tempat tadi dengan Si Monyet untuk membunuh poodle tersebut serta merta.

Poodle tersebut segera faham tentang apa yang sedang berlaku apabila ia ternampak Si Monyet duduk di belakang Sang Harimau dan menuju ke arahnya.

Selepas berfikir sejenak, poodle itu pun berkata, “Geramnya aku, suruh Si Monyet pergi mendapatkan Sagn Harimau bagi saya pun dia mengambil masa yang begitu lama.”

Apakah yang anda pelajari daripada cerita ini? Bincangkan …

Salam kajayaan,

Raymond Chua

P.S. Dapatkan podcast financial blueprint anda di sini !

Adakah Ia Sudah Penuh?

36

Category : Motivasi

Salam sejahtera kepada pembaca-pembaca blog sekalian. Saya Raymond Chua dan pada hari ini, saya ingin berkongsi satu cerita yang menarik dengan anda semua.

Seorang profesor berdiri di hadapan sebuah kelas falsafah dengan sedikit perkakas bersama-sama dengannya. Apabila kelasnya bermula, profesor tersebut mengeluarkan sebuah balang kaca lalu meletakkan balang kaca tersebut di atas sebuah meja di hadapannya.

Kemudian, beliau mengeluarkan sekotak bola ping pong dan mula mengisi balang kaca tersebut sehingga penuh. Profesor itu pun berkata, “Adakah balang kaca ini penuh?” Semua pelajarnya pun menjawab, “Ya”.

Profesor tersebut pun tunduk ke bawah lalu mengeluarkan sebungkus guli. Beliau menaburkan guli-guli tersebut ke dalam balang kaca itu lalu menggoncang-goncang balang tersebut supaya guli-guli tersebut memenuhi ruang kosong pada balang kaca itu.

Sekali lagi beliau bertanya kepada pelajar-pelajarnya, “sudahkah balang ini penuh?” Pelajar-pelajarnya berfikir sejenak lalu menjawab, “Ya, ianya penuh.”

Profesor itu pun membuka begnya lalu menarik keluar sebungkus pasir. Dengan mahirnya, beliau memasukkan pasir tersebut untuk memenuhi ruang yang berlebihan di dalam balang kaca tersebut.

Ada beberapa pelajar yang sudah mula ketawa. “Sekarang, adakah balang ini sudah penuh?” tanya profesor itu. Memandangkan balang itu sudah betul-betul penuh, semua pelajarnya pun bersetuju bahawa balang kaca itu sudah penuh.

Profesor itu kemudiannya mencapai botol airnya yang terletak di sudut meja tersebut, buka penutupnya lalu menuangkan airnya ke dalam balang kaca itu sehingga ia penuh.

Selepas itu, profesor itu pun berkata,

“Balang kaca ini bagaikan hidup anda.

Bola ping pong itu diibaratkan sebagai perkara-perkara yang penting dalam hidup anda, misalnya keluarga, kesihatan dan anak anda. Jika anda kehilangan segala benda yang lain, hidup anda tetap penuh.

Guli-guli tersebut pula umpama perkara yang kedua penting seperti kerjaya, wang, rumah serta kereta anda manakala pasir pula seperti perkara-perkara kecil yang lain.

Jika anda penuhkan masa anda dengan pasir, maka anda tidak akan mempunyai ruang untuk bola ping pong dan guli.

Jaga baik-baik bola ping pong anda dan pastikan anda tahu apa yang penting dalam hidup anda. Jadi, tak kira sesibuk mana pun anda, anda perlu isikan masa anda dengan perkara-perkara yang penting dahulu seperti membuat senaman dan meluangkan masa dengan anak-anak anda. Yang lain-lain hanyalah pasir.”

Seluruh kelas terdiam buat seketika memikirkan ilmu yang baru dicurahkan oleh profesor mereka.

Tiba-tiba kesunyian itu dipecahkan oleh satu soalan daripada seorang murid.

“Bagaimana pula dengan air itu?”

“Oh, soalan yang baik. Tak kira sesibuk manapun anda, ingat, anda sentiasa mempunyai masa untuk meminum segelas air untuk mengekalkan kesihatan anda”

Tamat cerita.

Apakah yang anda pelajari daripada cerita ini? Apakah yang anda suka tentang cerita ini? Mari kita bincangkan bersama.

Kekayaan Anda Tersembunyi

13

Category : Motivasi

Tahukah bahawa anda telah kaya? Eh … saya dengar keluhan serta rungutan anda!

“Kalau aku dah kaya, tak perlulah aku hutang banyak-banyak!”

Itulah yang saya maksudkan dengan perkataan “tersembunyi” dalam tajuk di atas.

Izinkan saya untuk kongsikan satu cerita yang saya dengar daripada radio beberapa bulan dahulu. Begini ceritanya …

Seorang pemuda asyik merungut tentang keperitan hidupnya yang penuh dengan kemiskinan. Dia berasa amat sedih. Keinginannya untuk bercuti di tepi pantai selama 3 hari sahaja pun dia tidak mampu lakukan kerana dia tak mampu.

Pada suatu hari, sedang dia merungut seorang diri, seorang pak cik tua terdengar rungutannya. Jadi, pak cik itu pun menegurnya, “Wahai orang muda. Kenapa nak merungut ni.”

“Saya ni miskin lah pak cik. Entah apa nak buat dengan hidup saya ni.”

“Oh, gitu ye! Saya boleh berikan kekayaan kepada anda dengan syarat-syarat tertentu.” Ujar pak cik itu.

Dengan perasaan yang gembira, pemuda tersebut pun bersetuju, “Baiklah, saya akan terima sebarang syarat”

“Bagus, saya hendak membeli otak anda dengan harga setengah juta ringgit”

Dengan air muka yang terkejut, pemuda tersebut terdiam seketika lalu berkata, “kau gila, pak cik.”

Pak cik itu tersenyum dan teruskan, “Tak cukup? Apa kata Sepasang tangan anda dengan harga RM2 juta?”

Pemuda itu tidak dapat mengeluarkan kata-katanya sambil menggigil ketakutan.

Pak cik tu akhirnya ketawa sambil berkata, “Anda telah pun kaya. Cuma anda belum menggunakan kekayaan anda sebaik-baiknya”

Apakah betul kata-kata pak cik itu?

Apakah gunanya kekayaan jika kita tidak tahu atau tidak dapat menggunakannya.

Saya tidak perlukan kekayaan kerana saya telah pun kaya. Apa yang saya idam-idamkan ialah nikmat yang diberikan atau nikmat yang dapat ditukarkan dengan kekayaan yang saya ada.

Tak percaya? Cuba fikirkan diri anda memiliki berjuta-juta ringgit tetapi terperangkap di dalam sebuah pulau yang terpencil.

Adakah anda perlukan kekayaan ataupun nikmat yang dibawa oleh kekayaan? Bincangkan.

- Raymond