Minggu lepas, saya membuat ulangkaji dengan anak-anak murid saya tentang Hukum Inersia dalam kelas Fizik.
Dalam pada itu, entah mengapa otak saya asyik mengaitkan Hukum Inersia ini dengan kehidupan harian kita. Maklumlah Fizik merupakan kajian terhadap fenomena alam. Jadi hukum fizik adalah bersamaan dengan hukum alam.
Jadi, saya pun bercadang untuk berkongsikan pemikiran saya dengan anda semua pada hari ini.
Untuk anda yang tidak faham atau tidak pernah dengar mengenai Hukum Inersia ini, biar saya terangkan kepada anda.
Hukum inersia ini mengatakan bahawa objek yang pegun (tidak bergerak) akan kekal pegun manakala objek yang bergerak pula akan terus bergerak dengan halaju yang malar dengan syarat tiada daya luar yang bertindak ke atas objek tersebut.
Nampaknya mudah, bukan.
Itulah yang saya selalu terapkan ke dalam minda anak murid saya, “Physics is easy. It’s just a bunch of common sense”.
Hidup kita banyak dipengaruhi oleh Hukum Inersia ini.
Jika anda sudah lama tidak bekerja, anda akan menjadi malas dan rasa susah nak bergerak pula (Ingat, objek yang pegun akan kekal pegun)
Lain pula jika anda suka melakukan sesuatu yang anda suka seperti bermain game, membeli-belah, melayari internet, menonton TV dan sebagainya. Kalau anda melakukan sesuatu anda anda suka, anda akan terus melakukannya kalau tiada halangan. (Ingat, objek yang bergerak akan terus bergerak dengan halaju malar)
Kadang-kadang, dalam kehidupan anda, anda hendak melakukan sesuatu untuk mengubah hidup anda seperti memulakan perniagaan, membersihkan halaman rumah, membeli rumah baru atau kereta baru dan sebagainya.
Akan tetapi, setiap kali, apabila anda ingin melakukannya, anda tidak mempunyai motivasi untuk mengambil tindakan. Jadi seperti yang diterangkan dalam Hukum Inersia di atas, untuk menggerakkan objek yang pegun, anda perlukan daya luar untuk menggerakkan anda. (perkataan yang bergaris di atas)
Berikut adalah beberapa cara untuk mendapatkan daya luar yang anda perlukan untuk menjadi penggerak kepada anda.
Tekanan Sosial – Beritahu semua orang yang anda kenal bahawa anda akan melakukannya dalam masa yang tertentu.
Langkah kecil – Mulakan dengan langkah yang kecil. Buat sedikit demi sedikit. Jika anda hendak membersihkan halaman rumah anda, mulakan dengan satu sudut kecil dahulu. Kemudian barulah beranjak ke sudut yang lain. Lama-kelamaan, selesailah kerja anda.
Jalan mati – Bawa diri anda ke jalan mati dan satu-satunya jalan untuk keluar dari jalan mati adalah dengan menyiapkan tugas anda. Misalnya meletakkan jawatan untuk memulakan perniagaan anda. Satu-satunya cara untuk terus menjana pendapatan ialah dengan memajukan perniagaan tersebut dan tiada jalan under lagi. (Pastikan anda benar-benar bersedia sebelum menggunakan cara ini. Jangan mengambil keputusan dengan membabi buta)
Saya berharap teknik-teknik ini dapat menghasilkan daya luar yang dapat menggerakkan anda ke arah kejayaan.
Semoga artikel ini dapat menggerakkan anda yang masih belum berusaha dan memecutkan anda yang sedang berusaha.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau sesuatu untuk dikongsikan, jangan pula rasa malu-malu untuk tinggalkannya di ruang komen.
Sehingga kita berjumpa lagi pada minggu depan,
Raymond Chua
http://attractingyourgoals.com/tharveker/




