Apa khabar pembaca-pembaca yang disayangi. Raymond Chua di sini. Ramai yang menghantar emel untuk bertanya mengapa tak dapat baca Bicara Selasa kebelakangan ini.
Minta maaf la ye. Saya agak sibuk kebelakangan ini.
Sebelum tahun baru, ada banyak persiapan yang perlu dilakukan untuk mengahadapi tahun baru. Persiapan ini termasuklah persiapan perniagaan, persiapan diri, dari segi emosi, fizikal, mental dan rohani, mengkaji balik peratusan matlamat yang telah dicapai dan yang belum dicapai.
Banyak masa telah dilaburkan dalam persiapan perniagaan dan pelaburan.
Pokoknya, persiapan yang saya lakukan sebelum tahun baru adalah dalam peringkat perancangan.
Selepas tahun baru (sekarang) pula, persiapan yang saya lakukan adalah peringkat pelancaran ataupun dengan kata lain, mengambil tindakan mengikut perancangan yang dilakukan sebelum ini. Maklumlah, ada banyak matlamat baru yang MESTI direalisasikan.
Menetapkan matlamat amat mudah. Terutamanya dalam musim tahun baru ini. Ramai yang menetapkan matlamat serta azam baru. Menetapkan matlamat merupakan suatu perkara yang baik. Akan tetapi, menetapkan matlamat sahaja tidak dapat menjamin kejayaan seseorang.
Lihatlah bilangan orang yang menetapkan matlamat mereka dan bilangan yang berjaya mencapai matlamat tersebut.
Menetapkan matlamat sahaja tanpa disusuli oleh tindakan yang wajar serta disiplin yang kukuh adalah tidak berguna.
Untuk mencapai matlamat anda, anda perlu berdisiplin untuk melakukan apa yang perlu, bukan untuk sehari dua, tetapi untuk satu jangka masa yang tertentu sehingga matlamat anda tercapai.
Misalnya, jika matlamat anda adalah untuk meningkatkan pendapatan anda sebanyak RM1000 sebulan. Anda perlu merancang apa yang perlu anda lakukan untuk mencapai matlamat tersebut. Adakah dengan bekerja sambilan, bekerja lebih masa, memulakan perniagaan selepas waktu kerja atau melabur dalam pelaburan-pelaburan tertentu.
Katakanlah strategi anda adalah untuk berniaga. Maka anda perlu mengambil tindakan yang perlu seperti menetapkan jenis perniagaan yang hendak anda jalankan, mencari modal, menyenaraikan peralatan yang perlu dibeli, merancang kewangan anda dan sebagainya.
Selepas merancang, anda perlu bertindak. Pada peringkat permulaan, perniagaan anda mungkin tidak berapa baik kerana anda masih baru dalam bidang ini dan belum lagi ada pelanggan tetap. Anda perlu teruskan usaha anda (disiplin) dan melakukan sesuatu yang baru untuk menarik pelanggan.
Segala usaha ini perlu dilakukan sehingga anda mencapai matlamat anda iaitu untuk meningkatkan pendapatan anda sebanyak RM1000 sebulan.
Jika anda tidak menyuap matlamat anda dengan tindakan yang bijak serta disiplin yang kuat, matlamat anda hanya akan kekal sebagai matlamat sahaja dan pada tahun depan, kehidupan anda masih kekal tidak berubah.
Formula kejayaan ini adalah seperti berikut:
Matlamat + Tindakan + Disiplin = Kejayaan
Formula ini bukan hanya digunakan dalam perniagaan sahaja tetapi untuk apa-apa sahaja matlamat yang anda tentukan.
Selamat berjaya,
P.S. Dapatkan podcast percuma “financial blueprint” anda di sini!
P.P.S. Semua kejayaan bermula dari minda anda? Klik sini.




