
- Image via Wikipedia
Minggu lepas, saya menerima beberapa emel yang bertanya mengapa saya tidak menerbitkan artikel untuk Bicara Selasa. Sebabnya ialah, saya pergi menghadiri Majlis Graduation untuk seminar UPW Anthony Robbins yang saya hadiri pada bulan yang lepas.
Majlis itu diadakan di Cititel KL dan kebetulan pula pada Hari Selasa. Jadi saya pun mengambil cuti sehari (maksudnya tanpa laptop) ke Kuala Lumpur.
Memandangkan majlis itu berlangsung pada sebelah malam. Saya pun mengambil peluang ini untuk berjalan-jalan sambil membeli-belah di Mid Valley.
Dalam Graduation Night tersebut, saya berpeluang untuk berkenalan dengan beberapa kawan baru yang saya rasa sesuai untuk diterapkan ke dalam hidup saya. Mereka adalah orang-orang yang berjaya, berfikiran positif dan sentiasa berusaha untuk mencapai impian mereka.
Antara orang-orang yang berjaya ini, saya mendapati mereka ada satu persamaan. Persamaan tersebut ialah, mereka melakukan sesuatu perkara kerana mereka ingin melakukannya dan bukannya kerana terpaksa.
Saya kategorikan orang-orang ini sebagai sukarelawan. Mereka melakukan perkara-perkara seperti membina perniagaan mereka, komited kepada keluarga, dan menjaga kesihatan mereka secara sukarela.
Mereka tidak bekerja semata-mata untuk wang tetapi untuk kepuasan diri juga. Mereka menjaga kesihatan diri untuk berasa lebih bertenaga dan bukannya kerana takut akan pandangan negatif orang lain terhadap mereka.
Jika anda melakukan sesuatu perkara secara sukarela, maka hidup anda akan menjadi lebih gembira. Bayangkan jika anda bangun setiap pagi dan berasa ghairah untuk bekerja. Seronok tak?
Itulah kepentingan memilih kerja yang kita suka. Jika anda berilmu, anda sentiasa dialu-alukan untuk memilih kerja anda. Jika anda rasa anda masih belum mempunyai cukup ilmu, anda masih tidak terlewat untuk menimba ilmu sekarang.
Salah seorang kawan baru yang saya kenal membuka sekolah hip hop. Beliau mempunyai keghairahan untuk mengajar serta melihat orang lain menari hip hop. Apabila saya bertanya sama ada beliau gembira dengan kerjayanya, beliau memberitahu saya bahawa dia amat gembira dan bersyukur dengan kerjaya yang dibina olehnya.
Beliau ialah seorang sukarelawan dan sebab itulah, beliau berjaya.
Saya suka mengajar dan mengajar dapat memberi banyak kepuasan kepada diri saya. Saya sentiasa menanti-nantikan masa untuk kelas saya kerana itulah passion saya. Saya mendapat keseronokan bekerja daripada kerjaya ini. (dan juga perniagaan-perniagaan yang lain).
Saya ialah seorang sukarela dan saya boleh mengajar secara percuma jika saya hendak. Saya pernah dan selalu memberi kelas-kelas percuma sehingga hari ini. Saya juga mengajarkan beberapa teknik-teknik perniagaan (secara percuma tanpa disuruh) kepada beberapa orang anak murid yang yang berniaga secara kecil-kecilan kerana dari situlah datangnya kepuasan saya.
Mangsa pula merupakan mereka yang melakukan sesuatu kerja kerana terpaksa dan bukan kerana mereka suka. Mangsa suka menyalahkan orang lain. Mangsa suka mengabdu banyak-banyak. Mangsa kerap berfikiran negatif.
Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda seorang sukarelawan? Ataupun mangsa?
Kongsikan pendapat anda.
Selamat berjaya,
P.S. Dapatkan podcast percuma “financial blueprint” anda di sini!
P.P.S. Semua kejayaan bermula dari minda anda? Klik sini.

![Reblog this post [with Zemanta]](http://img.zemanta.com/reblog_e.png?x-id=27f85677-7b0a-4614-8441-769d0eebb619)



