Sejak saya menerbitkan artikel yang lepas iaitu artikel tentang Hukum Penyesaran, saya telah menerima beberapa emel yang menanyakan soalan yang sama iaitu bagaimanakah pemikiran negatif dapat disingkirkan supaya ia dapat memberi laluan kepada pemikiran positif.
Soalan yang baik.
Sebenarnya, terdapat banyak cara untuk menyingkirkan pemikiran negatif ini bergantung kepada dari mana datangnya pemikiran negatif tersebut.
Cara pertama untuk menyingkirkan pemikiran negatif ialah jangan fokuskan kepada perkara negatif tersebut.
Misalnya jika anda menghadapi masalah kewangan, jangan fikir atau risau tentang masalah tersebut. Adakah ini bermakna anda perlu melepaskan tanggungjawab anda? Tidak sama sekali. Apa yang anda perlu laku serta fikirkan ialah cara-cara untuk menyelesaikan masalah dan bukannya fokus kepada masalah tersebut.
Fokuskan perhatian anda kepada cara-cara untuk meningkatkan lagi pendapatan anda seperti membuat kerja sambilan, membuat promosi dan sebagainya. Jangan hanya risau dan ridau sahaja. Ianya tidak produktif dan hanya akan menjejaskan motivasi anda.
Cara kedua ialah memaafkan orang lain. Saya rasa, Linn telah banyak berkongsi tentang kaedah ini. Anda boleh membacanya di sini.
Perasaan dendam hanya akan memudaratkan diri kita dan bukannya orang lain. Perasaan dendam akan menyuburkan lagi pemikiran negatif anda dan pemikiran negatif ini akan menghalang pemikiran positif daripada memasuki minda anda.
Cara ketiga adalah penjatkan syukur. Bersyukurlah terhadap segala nikmat yang anda perolehi. Saya mempunyai seorang kawan yang baru sahaja balik daripada bercuti di India.
Beliau berkongsi dengan saya bahawa kita kena bersyukur dengan segala kurniaan tuhan termasuklah bekalan air dan elektrik 24 jam, komputer, tandas yang bersih, lampu, kipas, makanan yang bersih, tubuh yang sihat dan sebagainya.
Perasaan yang penuh dengan kesyukuran dapat membawa kita kepada kebahagiaan. Bersyukur dapat menghalau pemikiran negatif daripada minda kita.
Cara keempat ialah jangan bergosip. Biasanya gosip membawa fokus kita kepada perkara-perkara yang kurang baik ataupun bersifat negatif. Apabila kita memberikan tumpuan kita kepada perkara-perkara yang negatif. Kita akan mendapat perkara-perkara yang negatif sebagai hasil kerja minda kita.
Sebenarnya banyak lagi cara-cara untuk menyingkirkan pemikiran negatif dan kebanyakkannya pun telah anda tahu. Masalah sebenarnya bukan tidak tahu cara-cara untuk menyingkir pemikiran negatif tetapi tidak mengaplikasikan ilmu yang telah diperolehi.
Jadi saya berharap agar anda mengaplikasikan ilmu yang anda peroleh pada hari ini untuk memajukan lagi hidup anda.
Kejayaan di dalam tangan anda,
Raymond Chua
http://attractingyourgoals.com




