Anda Tidak Selalu Dapat Apa Yang Anda Berikan

5

Category : LOA, Petua & Tips

Each One Teach One album cover

Salam sejahtera. Sekelip mata sahaja, Selasa lagi. Ya, masa untuk menerbitkan Bicara Selasa. :) Kepada yang masih baru di blog ini, saya Raymond Chua dari blog Law of Attraction dan saya akan menerbitkan artikel-artikel yang memuatkan tip-tip yang berguna kapada anda setiap hari Selasa.

Dalam Bicara Selasa minggu lepas, saya berkongsi tentang bagaimana kita menarik orang yang kita gemari serta benci ke dalam kehidupan kita sama ada secara sedar ataupun tidak.

Dan konsep ataupun perkongsian ini menerima beberapa bantahan daripada pembaca-pembaca dari blog ini dan juga blog saya. (Ini merupakan suatu perkara yang baik :) )

Ya. Kadangkala kita merasakan bahawa kita tidak menerima apa yang kita berikan dan cerita pasal cermin yang dikongsikan pada minggu lepas mungkin sukar untuk diterima dan tidak masuk akal.

Artikel ini akan menerangkan dengan lebih lanjut.

Anda tidak mendapat apa yang anda berikan?

Hukum cermin” ini hanya berfungsi pada tahap am sahaja dan tidak berkesan pada tahap yang spesifik.

Apabila anda berbelanja, anda memberikan wang kepada penjual tetapi anda tidak mendapat wang daripada penjual tersebut. Sebaliknya anda mendapat perkhidmatan ataupun barangan daripada penjual tersebut.

Adakah ini bermaksud anda tidak mendapat apa yang anda berikan?

TIDAK!

Mari kita kaji secara am.

Kita memberi apa yang penjual tersebut perlukan (wang) dan penjual tersebut berikan apa yang kita perlukan (barangan/perkhidmatan)

Dah nampak logiknya?

Saya selalu tanya, mengapa hukum ini tidak berfungi pada tahap yang lebih spesifik dan apabila saya memikirkan jawapannya, saya mula sedar bahawa semua ini berlaku untuk kebaikan kita juga.

Bayangkan senario ini. (Jika anda betul-betul menerima apa yang anda berikan)

Anda mengajar anak anda matematik dan apa yang anda terima ialah anak anda mengajar anda Matematik (yang anda telahpun tahu)

Seorang majikan memberi gaji kepada pekerjanya dan pekerja itu memberi balik gaji tersebut kepada majikannya (Saya pun nak jadi majikan macam ni)

Apa yang berlaku ni?

Adakah kita hendak dunia kita jadi kelam kabut macam ni? Tentu tidak!

Ini bukan cara Law of Attraction berfungsi.

Kita SELALU mendapat balik apa yang kita berikan.

Cuma kadang-kadang, kita TIDAK mendapatnya daripada orang yang sama, dengan cara yang sama, pada masa yang sama.
Apabila anda mengajar anak anda matematik, anda sebenarnya sedang memberi ilmu kepadanya dan akibatnya anda akan mendapat ilmu daripada orang lain pada masa yang lain. Tak semestinya daripada anak anda dan tak semestinya ilmu Matematik. Mungkin anda akan mendapat ilmu tentang Law of Attraction daripada Raymond Chua :)
Sejak saya berkongsi ilmu Law of Attraction dalam blog saya, saya mula mendapat banyak ilmu daripada orang-orang di sekeliling saya (termasuk anak murid saya). Ilmu tersebut tidak semestinya berkaitan dengan Law of Attraction. Saya banyak belajar tentang motivasi diri, perniagaan, pelaburan, sukan, dan banyak lagi.
Satu lagi …
Orang yang tak pernah berlawan boleh kena pukul juga. Mengapa?
Mungkin orang tersebut selalu menyakiti hati orang lain. Jadi, apa yang dia dapat kembali ialah “disakiti”. Tak semestinya dengan cara yang sama. Mungkin anda mendapatnya dengan cara yang berbeza.
Bak kata pepatah “Kerana nila setitik, santan binasa; kerana mulut badan binasa”
Ingat. Ia tidak berlaku serta merta. Apabila anda menanam pokok durian, anda pun kena menunggu untuk satu jangka masa sebelum anda dapat menikmati durian tersebut.
Saya masih mendapat apa yang saya berikan bertahun-tahun dahulu. Ramai anak murid saya yang mencerminkan diri saya semasa saya kecil dahulu. :)
Saya berharap perkongsian saya pada minggu ini cukup untuk memberi kefahaman yang lebih mendalam kepada anda.
Dalam Bicara Selasa minggu depan, saya akan kongsikan bagaimana anda boleh mencipta hidup anda dengan hukum yang mudah ini.

Selamat berfikir,

Raymond Chua

P.S. Dapatkan podcast percuma “financial blueprint” anda di sini!

P.P.S. Semua kejayaan bermula dari minda anda? Klik sini.

Reblog this post [with Zemanta]

Cara Dapat Gaji Besar

6

Category : Petua & Tips

Average salaries of faculty of :en:California ...
Image via Wikipedia

Salam sejahtera kepada semua pembaca Bicara Selasa. Terima kasih kerana masih lagi setia bersama saya di sini.

Dalam Bicara Selasa yang lepas, saya berkongsi tentang kualiti fokus dan ada seorang pembaca yang bertanya tentang cara-cara untuk mendapat gaji besar dengan menggunakan kuasa fokus yang dibincangkan.

Jadi, saya pun menulis artikel ini untuk menjawab pertanyaan beliau.

Untuk mendapat gaji yang besar ada banyak caranya. Ada yang mungkin sesuai untuk anda, ada yang mungkin tidak.

Apabila kita kata tentang gaji, ia merujuk kepada pekerjaan makan gaji dan bukannya perniagaan. Dalam perniagaan, kita menggunakan istilah pendapatan, bukannya gaji.

Ada banyak cara untuk mendapat gaji yang besar. Antaranya adalah mendapat bonus yang lumayan, komisyen yang tinggi dan dinaikkan pagkat serta gaji.

Untuk perbincangan hari ini, saya akan fokuskan kepada kenaikan gaji kerana ia merujuk kepada golongan majoriti.

Mari kita mula fokuskan kepada beberapa soalan yang berkualiti seperti:

Apakah yang perlu anda lakukan untuk mendapat kenaikan gaji?

Salah satu faktor yang dapat meningkatkan kebarangkalian kenaikan gaji ialah tahap pendidikan. Dengan kata lain, sijil. Apakah lulusan tertinggi anda?

Adalah lebih mudah untuk anda mendapat gaji yang lumayan sekiranya anda mempunyai sijil-sijil cemerlang yang berkaitan dengan pekerjaan anda seperti ijazah, pengetahuan yang tertentu seperti perakaunan, sains, tahu berbahasa inggeris, pandai menggunakan komputer dan sebagainya (bergantung kepada jenis pekerjaan anda)

Jika anda tidak ada sijil-sjil serta pengetahuan di atas, fokuskan kepada aspek yang lain seperti sikap kepimpinan, kerajinan, berfikiran positif dan taat kepada syarikat.

Anda juga boleh bertanya kepada diri anda, Andaikata anda ialah seorang majikan, apakah syarat-syarat yang akan anda letakkan untuk menaikkan gaji seorang pekerja?

Dalam syarikat saya, pekerja yang lebih pandai Bahasa Inggeris dan kemahiran tertentu yang lain akan diberi kerja-kerja yang lebih mudah seperti membuat usahasama, berkomunikasi dengan rakan kongsi dan sebagainya manakala pekerja yang kurang mahir akan diberikan kerja-kerja yang tidak memerlukan kemahiran yang spesifik seperti menulis, menyalin dan lain-lain.

Dari segi bonus pula, saya tidak akan memberikan bonus kepada pekerja yang tidak mempunyai sikap yang baik walaupun dia mahir dalam beberapa perkara.

Saya hanya akan memberikan bonus kepada mereka yang patuh kepada arahan, bertanya apabila berasa ragu-ragu (bukan buat pandai) dan berkomunikasi dengan saya dengan cara yang elok.

Adakah anda merasakan diri anda layak untuk mendapat gaji yang besar? Berikan sebabnya.

Jika anda malas bekerja, kurang pengetahuan dan tidak mahu belajar, asyik merungut serta menyalahkan orang lain apabila berlaku sesuatu dan suka bergosip, anda mungkin boleh mendapat gaji tetapi bukan gaji BESAR.

Sesetengah syarikat mempunyai syarat-syarat kenaikan pangkat. Jika anda kurang pasti, anda boleh bertanya kepada majikan anda tentang syarat-syarat yang diperlukan dan apa yang anda perlu lakukan ialah memenuhi syarat tersebut sahaja.

Adakah majikan anda mampu untuk memberikan gaji yang lumayan kepada anda?

Akhir sekali, lihatlah keadaan syarikat. Jika syarikat anda kecil, tidak berkembang ataupun hampir bankrap, janganlah berharap untuk mendapat gaji besar melainkan anda tukar syarikat.

Saya berharap tip-tip di atas dapat membantu anda untuk mendapat gaji besar dalam pekerjaan anda.

Selamat berjaya,

Raymond Chua

P.S. Dapatkan podcast percuma “financial blueprint” anda di sini!

P.P.S. Semua kejayaan bermula dari minda anda? Klik sini.

Reblog this post [with Zemanta]

Kualiti Fokus

6

Category : Petua & Tips

Looking for a blue world...
Image by Tonyç via Flickr

Salam sejahtera. Saya Raymond Chua dari blog Law of Attraction dan dalam Bicara Selasa minggu ini saya akan bincangkan sedikit tentang kualiti fokus.

Sepertimana yang anda telah tahu, fokus amatlah penting dalam proses penciptaan kejayaan.

Misalnya, jika anda ingin membuat sebuku roti, anda perlu fokuskan kepada langkah-langkahnya mengikut susunan yang betul.

Akan tetapi jika anda ingin mencipta kejayaan yang lebih besar, apa yang anda perlukan adalah lebih daripada fokus sahaja.

Saya memanggilnya Fokus yang Berkualiti Tinggi.

Katakan ada seorang yang langsung tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan ingin membina senuah perniagaan yang berjaya dengan membaca sebuah buku perniagaan sahaja. Adakah dia akan berjaya?

Mungkin. Tetapi peluangnya amatlah tipis kerana, secara amnya, dengan hanya membaca sebuah buku tentang perniagaan, amatlah sukar bagi seseorang untuk membina perniagaan yang menguntungkan.

Untuk membina sebuah perniagaan yang menguntungkan, anda perlu mengetahui banyak perkara dan mempunyai banyak pengalaman.

Ramai ahli perniagaan yang saya tanya mengatakan bahawa mereka bermula dengan menjadi pekerja biasa ataupun sebagai seorang sukarelawan sahaja.

Dari situ, mereka mendapat kemahiran serta pengalaman yang diperlukan. Dan dengan modal yang mereka kumpul selama bertahun-tahun, akhirnya mereka berjaya memulakan perniagaan sendiri yang menguntungkan.

Jadi, untuk mencapai kejayaan yang besar, fokus yang berkualiti tinggi adalah amat penting. Maksudnya, setiap gerak-geri anda perlulah difokuskan kepada kejayaan anda pada masa hadapan.

Jika anda mengumpul wang untuk memulakan perniagaan kecil dalam 2 tahun yang akan datang, fokuskanlah kepada matlamat anda.

Jangan dipengaruhi oleh nafsu untuk membeli kamera baru, telefon bimbit baru dan sebagainya yang menyimpang daripada matlamat anda.

Apabila anda bekerja ataupun membantu orang lain dalam kerjanya, fokuskan kepada pengalaman yang boleh anda dapat serta ilmu yang diperlukan dalam perniagaan anda kelak.

Untuk mencapai kejayaan yang lebih besar, fokus anda tak boleh macam lampu suluh. Fokus anda perlukan betul-betul menumpu tepat pada matlamat anda seperti cahaya laser.

Selamat memfokus,

Raymond Chua

P.S. Dapatkan podcast percuma “financial blueprint” anda di sini!

P.P.S. Semua kejayaan bermula dari minda anda? Klik sini.

Kegawatan Ekonomi?

8

Category : Petua & Tips

Suntec City Mall with Fountain of Wealth in th...
Image via Wikipedia

Ramai orang yang dihantui ketakutan dan perasaan panik apabila memikirkan crisis ekonomi yang melanda.

Ketakutan, kerisauan, dan kebimbangan ini diburukkan lagi oleh media massa yang tidak berputus-putus untuk melaporkan angka pekerja yang dipecat, bilangan kilang yang ditutup, graf ekonomi yang jatuh merundum dan sebagainya.

Tidakkah mereka tahu bahawa berita-berita ini akan mengeruhkan lagi keadaan semasa?

Persoalannya bukan tahu atau tidak tahu. Sebabnya ialah, jika mereka asyik menulis berita yang baik, berita mereka tidak laris. Secara amnya, manusia lebih suka mengambil tahu tentang perkara-perkara buruk yang menimpa daripada berita-berita baik yang dapat memberi inspirasi.

Itu juga merupakan sebab mengapa ramai yang suka bergosip tentang hal-ehwal orang lain. Ramai yang lebih gemar untuk mengambil tahu tentang kes rompakan bank di kawasan perumahan mereka daripada hal kejayaan yang dicapai oleh anak jiran mereka.

Jadi, itulah sebab mengapa kebanyakan berita berunsur negatif. SAMBUTAN!

Memandangkan kita tidak dapat mengawal aktiviti serta tindakan media massa, adalah lebih mudah untuk kita untuk mengawal diri sendiri.

Jauhkan diri anda daripada berita-berita yang tidak memberikan manfaat kepada anda, misalnya berita tentang kegawatan ekonomi. Adakah ekonomi kita benar-benar begitu teruk?

Saya tidak tahu kerana saya tidak membaca surat khabar, tak ada TV di rumah dan tak dengar radio.

Yang saya tahu ialah, perniagaan saya pada tahun ini jauh lebih baik daripada tahun lepas dan seterusnya memecahkan rekod pendapatan saya.

Yang saya tahu ialah IT fair di Suntec City penuh dengan orang sehingga pasukan sekuriti perlu mengubah sistem eskalator untuk mengelakan kesesakan, semua tempat letak kereta di kawasan sekeliling penuh dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk dalam masa kegawatan ekonomi.

Di Amerika, tempat duduk kelas pertama dalam kapal terbang penuh sementara tempat duduk ekonomi masih ada yang kosong.

Semua ini tidak dilaporkan dalam surat khabar. Apakah benarnya ada kegawatan ekonomi?

“Ada 2 jenis ekonomi iaitu ekonomi am dan ekonomi peribadi. Keadaan ekonomi am amat teruk sekarang, tetapi keadaan ekonomi peribadi saya masih dalam keadaan yang hebat” – T Harv Eker

Saya amat kagum apabila mendengarnya. Semua kata-katanya masuk akal. Banyak jutawan “dilahirkan” dalam masa kegawatan ekonomi. Mengapa?

Sebab kegawatan ekonomi memberi peluang kepada mereka untuk melabur. Harga rumah dan tanah rendah. Harga saham murah. Orang yang pandai melabur dalam masa kegawatan ekonomi ini akan menjadi kaya secara automatik apabila keadaan ekonomi kembali pulih.

Kejayaan tidak dipengaruhi oleh keadaan ekonomi ataupun keadaan sekeliling. Ia dipengaruhi oleh minda serta pemikiran anda. Ada yang menggunakan keadaan ekonomi sebagai alasan. Ada yang menggunakan kegawatan ekonomi sebagai satu peluang.

Saya memilih untuk melihatnya sebagai satu peluang dan sudahpun mula mencari rumah yang sedia untuk dilelong. Pihak bank amat memberi kerjasama sekarang. Banyak pihak pemaju rumah pun sudah mengabaikan yuran guaman dan duti setem. Ini peluang keemasan.

Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda melihatnya sebagai satu peluang ataupun kesusahan? Komenkan pendapat anda!

Selamat bertindak,

Raymond Chua

P.S. Dapatkan podcast percuma “financial blueprint” anda di sini!

P.P.S. Semua kejayaan bermula dari minda anda? Klik sini.

Reblog this post [with Zemanta]

Mengarang Impian Anda

13

Category : Petua & Tips

Awakening...!!!Image by Denis Collette…!!! via Flickr

Salam sejahtera kepada semua. Dalam Bicara Selasa minggu ini, saya ingin kongsikan satu tip ataupun petua yang amat berguna dengan anda.

Anda telah pun tahu akan kuasa visusalisasi dan bagaimana ia mencipta realiti kita.

Akan tetapi ada pula segelintir yang memberitahu saya tentang kesukaran mereka untuk melahirkan perasaan ghairah mereka semasa melakukan visualisasi.

Dengan kata lain, mereka tidak dapat merasakan impian mereka sebenar-benarnya semasa melakukan visualisasi.

Saya berharap dengan tip yang saya kongsikan pada hari ini, masalah ini dapat diatasi (dengan mudah).

Teknik ini dipanggil, “Mengarang Impian Anda”

Dalam teknik ini, anda bukan sahaja perlu menulis impian anda tetapi menggambarkannya setepat mungkin.

Berikut adalah contohnya:

Dalam perjalanan ke pejabat, saya dapat merasakan suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Akan tetapi, saya dapat merasakan bahawa ia merupakan suatu perkara yang baik.

Jantung saya berdengup kencang dan saya tersenyum tanpa sebab. “Apa yang tak kena dengan aku ni?” ku tanya kepada diriku sendiri.

Sekarang saya sudah pun berada di pejabat dan sebelum saya sempat duduk di tempat duduk saya, saya dipanggil untuk berjumpa dengan majikan yang berada di pejabatnya.

Oh, sungguh tidak disangka. Saya telah dinaikan pangkat. Identiti saya tiba-tiba berubah. Apakah aku ni sedang bermimpi? Aku dinaikan pangkat untuk menjadi pengurus syarikat ini. Impianku selama ini tercapai. Syukur.

Hidup aku berubah. Sekarang aku sudah mempunyai tempat letak kereta yang “special”. Berteduh. Tak payah jalan jauh lagi. Lot tempat kereta tersebut mempunyai papan tanda kecil yang tertulis, “PENGURUS” dan tiada siapa pun yang boleh meletakkan keretanya di sini selain aku.

Aku mula sibuk sekarang sebab nak pindahkan barang-barang aku dari satu “cubicle” yang kecil ke ruang pejabat yang besar. Dah lama saya tidak mengemaskan fail-fail tersebut. Inilah peluangnya.

Oh ya! Ada seperkara yang penting yang perlu saya lakukan dengan segera. Saya segera capai gagang telefon dan menempah satu papan plastik yang bertulis “Pengurus – Raymond Chua” untuk dilekatkan pada hadapan pintu pejabat saya.

Walaupun teringin sangat untuk memberitahu ahli keluarga saya tentang kenaikan pangkat ini, namun saya batalkan niat tersebut kerana ingin memberikan satu kejutan kepada mereka.

Dengan kenaikan gaji ini, dapatlah saya membawa anak dan isteri saya untuk bercuti di Australia pada cuti penggal yang akan datang.

Lamunan saya ghaib apabila telefon bimbit saya berbunyi. Itu ialah panggilan daripada broker saham saya. Menurutnya, saham yang saya labur 2 bulan yang lepas telah memberikan pulangan 20 ganda.

“JUAL!” kata saya dengan penuh keghairahan. Dengan keuntungan ini, dapatlah saya membayar pinjaman rumah serta kereta saya. Rezeki datang melimpah-limpah …

(Saya berhenti di sini sahajalah. Nanti jadi ebook pula)

Itulah contohnya di mana anda menulis dengan spesifik perkara-perkara yang anda inginkan. Anda tidak perlu menjadi penulis yang terkenal untuk menulis impian anda. Janji anda faham apa yang dituliskan.

Jangan bimbang tentang kesalahan ejaan ataupun kesalahan tatabahasa. Yang penting, aktiviti ini dapat melahirkan perasaan ghairah untuk mencapai impian anda.

Ini merupakan aktiviti visualisasi yang berkeamatan tinggi. Jika anda melakukan aktiviti ini setiap hari, saya amat yakin bahawa hidup anda pasti akan berubah.

Kita jumpa lagi dalam Bicara Selasa minggu depan.

Selamat mengarang,

Raymond Chua

P.S. Dapatkan podcast percuma “financial blueprint” anda di sini!

P.P.S. Hendak mengubah hidup anda? Klik sini.