Keinginan Yang Bertentangan

6

Category : LOA

Ode to sadness
Image by santacrewsgirl via Flickr

Saya ingin berkongsi satu tip yang amat berguna dengan anda dalam Bicara Selasa minggu ini. Tip ini merupakan salah satu penjelasan mengapa LOA tidak berkesan bagi sesetengah orang.Tip ini dinamakan keinginan yang bertentangan dan saya belajar rahsia ini daripada Dr. Joe Vitale, salah seorang guru dalam wayang The Secret.

Biar saya terangkan dengan terperinci.

Dalam kehidupan kita, kadang-kadang kita mempunyai suatu keinginan yang perlu dicapai tetapi kita tidak dapat mencapainya walaupun sudah membuat visualisasi dan berfikiran positif.

Salah satu sebabnya ialah kerana anda mempunyai satu lagi keinginan yang bertentangan dengan keinginan asal tersebut.

Biar saya berikan satu contoh (saya suka gunakan contoh dalam pengajaran saya :) )

Katakan anda ingin menjadi seorang yang baik dan kaya (bukan kaya yang sapu roti tu) dan ini telah menjadi keinginan matlamat anda. Akan tetapi mungkin jauh dalam minda separa sedar anda, anda mungkin percaya bahawa semua orang kaya adalah jahat, tamak, penipu dan wang adalah punca segala maksiat.

Jadi, dalam minda separa sedar anda, untuk menjadi orang yang baik, anda perlu hidup miskin supaya tidak menjadi tamak jahat dan penipu, betul tak?

Akibatnya, setiap kali wang dan rezeki datang kepada anda, minda separa sedar anda akan “menolong” untuk menghapuskannya. Kesemua ini berlaku secara luar sedar iaitu anda tidak akan menyedarinya.

Wang akan keluar dari kocek anda dengan mudah seperti kereta rosak, duit tercicir, ada keperluan baru yang kena beli dan banyak lagi perbelanjaan tambahan yang tidak dirancang.

Ini merupakan hasil kerja minda anda iaitu mempunyai keinginan yang bertentangan. Nak jadi orang yang baik, nak jadi kaya, tetapi percaya semua orang kaya adalah jahat pula.

Jadi, untuk memastikan minda anda sentiasa selari dengan matlamat serta keinginan anda, anda perlu hapuskan semua pemikiran serta kepercayaan yang bertentangan.

(Saya menulis artikel ini semasa waktu rehat. Kolam renang ditutup setengah jam sebab lifeguard kena makan malam. Jadi saya pun mengambil kesempatan ini untuk makan malam juga dan menulis artikel ini untuk santapan kalian. Sekarang, kolam renang dah dibuka semula. Masa untuk berenang!)

Selamat menarik,

Raymond Chua

P.S. Dapatkan podcast percuma “financial blueprint” anda di sini!

P.P.S. Semua kejayaan bermula dari minda anda? Klik sini.

Reblog this post [with Zemanta]

Wang Bersepah Di Merata-rata

8

Category : Motivasi

5 ringgit

Image via Wikipedia

Selepas seminggu membersihkan serta mengemaskan rumah saya (sedikit demi sedikit), akhirnya, saya berjaya mengumpulkan serta mengasingkan sampah sebanyak 3 beg besar. (Beg plastik yang berwarna hitam tu)

2 beg besar yang berisi sampah yang berasaskan kertas dan satu beg yang berisi bekas plastik.

Tujuan saya mengasingkannya ialah untuk mengitarkannya semula. Memang menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi bumi kita daripada pencemaran.

Daripada menjualkan sampah-sampah tersebut kepada lori “surat khabar lama” semata-mata untuk mendapatkan beberapa ringgit, saya lebih rela memberikannya kepada seorang pakcik yang berbangsa India yang rajin mencari kotak-kotak terbuang di sekitar kawasan perumahan saya untuk dijual bagi menyara hidupnya.

Masalahnya, saya tidak tahu pak cik tu tinggal kat mana. Jadi saya pun memberikan alamat rumah saya kepada security guard di pondoknya yang terletak berdekatan dengan rumah saya dan memintanya untuk menyuruh pakcik tersebut datang ke rumah saya untuk mengambil sampah yang boleh dikitar semula.

Untuk memendekkan cerita, akhirnya, pakcik tersebut pun datang ke rumah saya pada minggu lepas. Memandangkan sampah tersebut terlalu banyak dan pakcik tersebut hanya berbasikal sahaja, maka saya pun menawarkan pertolongan untuk menolong membawa beg-beg tersebut ke rumahnya dengan kereta saya.

Pak cik tu masuk juga ke dalam kereta saya untuk menunjukkan arah ke rumahnya.

Apa yang mengagumkan saya ialah, pak cik tersebut tinggal sebuah rumah teres 2 tingkat, corner lot, berjubin penuh sehingga ke pintu pagar, ada autogate, tembok di sekeliling rumahnya lebih tinggi daripada yang lain.

Dalam anggaran saya, rumahnya bernilai di sekitar RM300,000-RM400,000

Tanah lapang di tepi rumahnya digunakan untuk menanam sayur-sayuran dan dijaga dengan baik dan bersih.

Sebenarnya ini bukan kali pertama saya melihat kes-kes sedemikian. Sejak kecil lagi saya telah melihat ramai orang yang kelihatan biasa pada zahirnya tetapi mempunyai harta yang mencecah puluhan juta ringgit seperti saudara-mara saya serta rakan-rakan ayah saya.

Ada yang sampai pakai singlet buruk dan berselipar sahaja (seorang kawan ayah saya) tetapi harta mereka mencecah puluhan juta ringgit.

Apa yang saya ingin ketengahkan di sini ialah rezeki ada di mana-mana sahaja dan asalkan kita rajin berusaha, kita akan berjaya.

Jika seorang pakcik tua yang hanya bermodalkan basikal sahaja mampu menikmati kehidupan sebegini, kenapa tidak anda?

Jangan jadikan nasib sebagai alasan. Ambil kisah pak cik tersebut sebagai sumber inspirasi kita.

Hendak seribu daya. Tak hendak, seribu dalih.

Pak cik tersebut mengutip sampah yang boleh dikitar semula dari awal pagi hingga lewat petang tanpa dipengaruhi oleh cuaca (masa saya tolong angkut sampah ke rumahnya, hujan sedang turun)

Semasa saya berbual dengannya di dalam kereta, beliau amat positif terhadap kehidupannya. Dia tidak merungut kepada saya pasal hal kenaikan harga. Sebaliknya, kami berbincang pasal hartanah.

Selepas 2 perjalanan ke rumahnya (sampah terlalu banyak) dan dalam perjalanan balik ke rumah saya, beliau menjemput saya untuk pergi minum the di restoran yang berdekatan. Amboi, baiknya dia ni!

Tetapi aku menolak sahaja memandangkan aku masih ada banyak perkara yang perlu disiapkan. Ternampak ada sedikit perasaan kecewa pada air mukanya. Jadi aku pun bagitahunya, “lain kalilah”. :)

Baiklah, selepas membaca artikel ini, saya rasa anda tidak mempunyai sebarang alasan lagi untuk menjadi miskin.

Kenapa Wang Saya Selalu Tak Cukup?

13

Category : LOA

Selamat sejahtera kepada semua pembaca blog ini, Ini Raymond Chua lagi dari blog Law of Attraction.

Dalam artikel kali ini, saya ingin berkongsikan tentang cara-cara menggunakan Law of Attraction untuk menarik lebih banyak wang dan rezeki ke dalam hidup anda.

Bayangkan anak anda yang berumur 7 tahun baru sahaja balik dari sekolah dan ingin meminta RM2 daripada anda untuk membeli sebatang pensel baru di sekolahnya.

Memandangkan ianya cuma RM2, anda pun berikan sahaja kepadanya tanpa banyak soal dan berharap agar anak anda gembira selalu dan mempunyai motivasi untuk belajar setelah membeli pensel baru tersebut.

Pada keesokkan harinya, anda mendapati anak anda sedang menangis semasa anda menjemputnya dari sekolah. Anda pun segera bertanya anak anda tentang apa yang terjadi.

“Pensel baru saya hilang”, jawab anak anda.

Jadi, sebagai seorang ibu atau bapa yang prihatin dan sayang kepada anak, anda pun memujuk anak anda supaya jangan berasa susah hati. Setelah emosi anak anda stabil semula, dia memberitahu anda,

“Saya nak beli 3 batang pensel esok”

Berhenti sejenak …

Adakah anda akan memberikan anak anda RM6 untuk membeli 3 batang pensel tersebut?

Saya rasa kebanyakkan daripada kita akan menjawab tidak!

Mula-mula, kita ketepikan soal wang terlebih dahulu. Jika sebatang pensel pun dia tidak dapat jaga dengan baik, apatah lagi 3 batang pensel?

Jika dia menghilangkan ketiga-tiga batang pensel tersebut, dia akan lebih sedih lagi, bukan?

Jadi apakah kaitannya budak ini dengan Law of Attraction?

Dalam dunia ini, kita semua macamlah budak tersebut dan tuhan pula bagaikan penjaga kita.

Jika kita tidak tahu uruskan perkara yang kecil yang diberikan oleh tuhan, macam manalah nak harapkan perkara yang lebih besar.

Contohnya, jika rezeki RM600 pun kita tidak tahu uruskan dan syukur, jangan harapkan lebih daripada tuhan kerana tuhan menyayangi kita dan tidak mahu kita menjadi lebih sedih lagi seperti budak yang diceritakan di atas.

Saya dapati ramai orang yang tidak mempunyai pelan dan perancangan kewangan (termasuk saya pada suatu ketika dahulu).

Apabila ditanya soalan-soalan seperti:

Berapakah ansuran keretanya?

Berapa peratuskah wang pendapatannya dilaburkan untuk menimba ilmu?

Berapa banyak wang yang anda peruntukkan untuk makanan dan keguanaan harian?

Jawapannya satu sahaja. TAK TAHU!

Inilah yang saya maksudkan dengan tidak tahu menguruskan kewangan.

Satu lagi masalah yang dihadapi oleh ramai orang ialah tidak tahu bersyukur kepada wang yang sudah dimiliki. Kata-kata seperti

“Bosanlah aku dengan gaji yang tidak seberapa ini”

“Duit sikit-sikit ini nak buat apa?”

Sering diluahkan oleh orang-orang yang tidak tahu bersyukur. Salah satu unsur yang penting dalam Law of Attraction ialah bersyukur. Apabila kita mula bersyukur dan menghormati wang, wang akan datang kepada kita.

Jadi mulai hari ini, mulalah merancang perbelanjaan anda (walaupun sedikit) serta bersyukur kepada segala wang yang anda miliki. Jika anda mengamalkan tindakan ini secara berterusan, nescaya anda akan dapat melihat hasilnya dalam jangka masa yang singkat.

Jadikan Law of Attraction kawan anda!

Salam Ceria,

Raymond Chua