Cinta itu..


Spread the love

 

Salam cinta kasih untuk sahabat semua,

Untuk perkongsian kali ini, saya terfikir untuk berkongsi dengan anda tentang cinta mengikut versi kefahaman saya. Pengalaman saya melakukan terapi  sejak tahun 2013 benar-benar membuka keinginan untuk saya mencari apakah cinta yang sebenar.

Ramai yang datang kepada saya dengan pelbagai isu yang berkait rapat dengan  cinta mengikut anggapan mereka. Ada yang datang kerana ditinggalkan oleh buah hati yang dicintai, ada juga yang datang kerana terluka disebabkan sikap suami  dan ada yang datang diuji dengan masalah kewangan dan pelbagai lagi masalah yang kononnya merasa terluka kerana cinta.

Persoalan yang hadir dibenak fikiran saya, adakah cinta itu menyakitkan? adakah cinta itu penderitaan? Hampir setahun juga saya mencari jawapan bagi persoalan ini, dan masih lagi teringat kata-kata saya pada seorang teman, jika ditanya apakah ilmu yang ingin saya cari dan pelajari, saya ingin memahami ilmu tentang cinta yang sebenar. Iaitu cinta yang tidak menyakitkan, cinta yang tidak membuat hati menderita dan cinta yang tidak membawa kepada kemurungan kerana ramai yang datang menemui saya mengalami kemurungan kononnya kerana cinta.

Apakah cinta yang sebenarnya? Cinta itu membebaskan dan ianya hadir tanpa syarat. Jadi perkara pertama yang harus kita lakukan adalah jangan mengharap sesuatu ketika kita memberikan cinta kepada orang lain, ingatlah bahwa konteks kecintaan kita adalah kecintaan sejati pada ALLAH , bukan duniawi, kerana cinta duniawi bersifat egois  dan hanya mementingkan diri sendiri, cinta yang datang  dari rasa obsesi ingin memiliki sehingga akhirnya menjadi satu kemelekatan (attachment).

 

Adakah benar cinta harus memilki? bagi saya itu bukan cinta tetapi kemelekatan kerana ianya akan membawa kepada situasi yang merbahaya jika perhubungan yang dianggap cinta itu mengalami kegagalan.

 

Pertama, kehancuran  diri sendiri, seperti tekanan, menyiksa diri dan akhirnya kemurungan. Kedua, keinginan untuk melukakan individu yang dicintai, dengan tujuan agar orang tersebut mengalami penderitaan yang sama.

Situasi Cinta seperti ini tidak boleh  disebut cinta kerana pencinta yang sejati itu memiliki hati yang besar samada memiliki atau tidak memiliki sesuatu yang dicintai hatinya tetap bahagia kerana kebahagiaan adalah tanggung jawab kita sendiri. Bukan kewajipan orang lain untuk membahagiakan kita.